Mari ikut blog ini

Saturday, 16 October 2010

Antara kawan dan sahabat

Salam,

Semua orang mempunyai mampu menjadi kawan tetapi tidak semua orang mampu menjadi sahabat. Apa bezanya kawan dan sahabat ini? Bukankah maksud kawan sama sahaja dengan sahabat?

Hurm, mungkin ya, mungkin juga tidak.

Bagaimana tu?

Bagi aku, semua orang yang boleh dibawa bercakap adalah kawan. Tetapi, sahabat pula adalah seseorang/mereka yang 'level'nya lebih tinggi.

Bagi sesetengah orang, semestinya kita mahu orang-orang yang berada disekeliling kita untuk sentiasa menyokong kita, bersama kita dalam apa sahaja yang kita buat. Sentiasa menyokong kita dari belakang.
Mungkin, hal itu benar bagi sesetengah perkara. Tapi itu juga mungkin menjurus kepada perkara yang salah. Mereka ini bukanlah 'sahabat', tetapi 'kawan'.

 Kenapa aku berkata begitu?

Sahabat sepatutnya adalah seseorang yang sentiasa menyokong usaha kita dalam berbuat kebaikan. Sahabat juga adalah seorang yang sanggup memarahi kita sekiranya kita berbuat salah. Sebagai contoh, sekiranya kita terjebak didalam sesuatu perbuatan/gejala yang tidak sihat. Kawan-kawan kita akan sekadar memandang dan lebih teruk lagi mungkin ada yang lebih menggalakkan perbuatan kita itu. Tetapi, sahabat pula akan berusaha untuk menarik kita keluar dari situ. Memberi nasihat, memberi sokongan. Mereka juga akan berkeras dalam menegah kita dari terus 'rosak'.

Mereka inilah sahabat.

Namun, tiada seorang pon di dunia ini yang sempurna, tiada cacat-cela, mempunyai semua sifat-sifat terpuji tanpa sebarang sifat-sifat negatif. Perlu diingati, kita adalah manusia. Itulah gunanya kita mempunya sahabat, supaya kita dan mereka boleh saling menasihati, mengajak kepada yang maaruf, yakni kebaikan dan mencegah kemungkaran.Rugilah mereka ini, yang dilahirkan kedunia ini tetapi tidak berpesan-pesan kearah yang lebih baik. Selaras dengan Firman Allah di dalam surah Al Asr:

"Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihat untuk kesabaran"

Mungkin, segelintir dari kita yang tidak suka dengan mereka. Dikatakan kepada mereka yang menasihati,"ah apa kau kesah?","Jaga tepi kain sendiri sudah la bro!","mati nanti kubur lain-lain","Aku reti la jaga diri aku sendiri", dan banyak lagi. Familiar tak dengan ayat-ayat diatas?



Tidak kurang juga ada yang sanggup mencaci dan mengutuk balik mereka yang menasihati mereka. Teringat aku sebuah kisah yang pernah aku terbaca dalam lebih kurang sebulan yang lepas. Kisahnya berbunyi lebih kurang begini.



Kisah ini berlaku di negara yang majoritinya orang Islam. Suatu hari didalam bas. Seperti biasa, semua orang sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang hendak pergi ke tempat kerja, ada yang hendak ke sekolah, dan tidak kurang juga mereka yang hendak pergi melawat saudara-mara mereka. Dan hendak dibuatkan cerita, ada seorang wanita ini. Cantik paras rupa. Tetapi malangnya, dia tidak menutup aurat. Pakaiannya seksi. Dalam perjalanan, seorang pakcik yang tua datang menghampiri wanita tersebut. "Cik, adalah lebih indah sekiranya cik memakai pakaian yang menutup aurat.". Wanita tersebut menoleh dan menjeling kearah orang tua itu sambil berkata," Ah, apa yang kau kisah". Wanita tersebut terus menerus mengutuk pakcik itu. Tidak cukup dengan itu, dicabarnya pakcik itu."jika benar apa yang kau katakan, maka doalah aku supaya terus masuk ke dalam neraka serta merta" sambil menunjukkan wajah yang seakan-akan menghina. Orang-orang lain didalam bas itu hanya diam sahaja. Mereka takut jika mereka berkata-kata maka akan bertambahlah kacau bilau yang ditimbulkan oleh wanita itu. Ditakdirkan, kemudiannya selepas peristiwa tersebut wanita itu telah terlena di tempat duduknya. Sampai di perhentian bas yang terakhir, semua penumpang yang tinggal pon turun. Tetapi wanita tersebut masih tetap,terlena di tempat duduknya. Orang ramai menjadi hairan. Setelah puas memanggil-manggil dan cuba mengejutkan wanita itu, akhirnya pakcik yang sebelum ini dimarahi oleh wanita tersebut mendekatinya. Beliau cuba mendapatkan bacaan nadi wanita itu. Pakcik itu menggelengkan kepala. Wanita itu telah meninggal dunia.


Ini, cerita yang aku baca dikongsikan oleh teman di laman maya. Benar atau tidak?Wallahualam. Tetapi sekiranya benar perkara ini, apa yang kamu semua rasakan akan berlaku pada wanita itu diakhirat kelak? Adakah akan dimasukkannya kedalam syurga atas sebab perbuatannya setelah dia mencabar kekuasaan Allah? Nauzubillah minzalik.

Nasihat yang diberikan, cacian yang diperolehi.


Jadi bagaimana untuk kita buat untuk mendapatkan kawan yang berkualiti sahabat?Juga bagaimana untuk menjadi seorang sahabat ini? Pertama-tama sekali untuk mendapatkan sahabat yang berciri-ciri yang baik ini, kita sendiri hendaklah cuba untuk menjadi baik.


“ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud)



Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.” 

Sekiranya kita tidak menyukai sesuatu perkara itu, maka sudah tentu jika seorang yang lain berbuat perkara tersebut itu akan menyebabkan kita tidak menyukainya, Begitu juga dengan orang lain yang berada disekeliling kita, apa yang kita tak suka itu janganlah kita lakukan kerana apa yang kita tidak suka semestinya tidak disukai juga oleh orang yang lain.

Sesuatu perkara itu, yang telah berubah menjadi 'habit' aka tabiat ini memanglah sesuatu yang sukar diubah. Namun sukar tidak bermaksud mustahil. Tidak benar sama sekali. Prosesnya mungkin lama, tetapi sekiranya disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Maha Pencipta, aku yakin kita akan mampu mengubahnya. Jika difikirkan secara logiknya, manakan mungkin akan air yang lemah, lagi lembut itu mampu membentuk/mengubah rupa batu yang keras itu. Ssebagai contoh, sekiranya usaha kita itu berterusan yakni kita istiqamah sepertimana setiap hari setitik air jatuh ke atas batu, lama kelamaan dengan berkat usaha berterusan air itu akhirnya batu itu pasti akan berubah bentuk.

Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berkekalan (berterusan) walaupun amalan itu dilakukan sedikit-sedikit. ( Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim daripada Saidatina Aisyah ra )

Tak begitu?



Sekian.

 
Tutup dulu lagu kat atas tu, baru play yang ni. Kalau tak nanti bunyi dia berkecamuk.

Wassalam