Mari ikut blog ini

Showing posts with label diari. Show all posts
Showing posts with label diari. Show all posts

Wednesday, 4 February 2015

Fly!

"Arfa, cepat sikit jalan tu. Kalau lambat nanti kantoi bai!", Aizat menjerit dalam berbisik. Mahu sahaja bercakap dengan kuat, namun bimbang sekiranya aktiviti rahsia mereka terbongkar.

Malam itu malam minggu. Jumaat malam Sabtu.

12.00 tengah malam.

Empat sekawan berjalan umpama berjalan di kawasan periuk api. Penuh cermat, sambil mata meliar memerhatikan persekitaran.

Senyap dan cermat. Sasarannya, pagar berdekatan asrama yang berlubang. Disekeliling kawasan sekolah, terdapat beberapa port yang digunakan untuk meloloskan diri ke dunia luar.

Selamat sampai ke lokasi.

"Nabil, kau usha sikit kalau-kalau ada pak guard lalu. Arfa, kau keluar dulu", Aizeq memberikan arahan.

"Wei, tolong tarik sikit pagar ni. Karang koyak pula baju aku", Arfa memanggil Aizat untuk membantunya keluar.

Port Fly 1: Lubang kecil belakang asrama lelaki

Port ini menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelajar yang ingin fly keluar. Maklumlah, dekat dan jauh dari pondok pak guard. Risiko pon kurang. Tapi, perlu berjalan jauh dan melalui kawasan semak samun sebelah masuk ke kawasan perumahan.

Jiwa kental? fly la seorang diri lalu Port Fly 1!

***

"Semua dah keluar? Ok jom gerak. Arfa, kau jalan depan macam biasa", Nabil yang dari tadi membisu bersuara.

Sepanjang melalui kawasan semak samun, tiada yang bersuara. Suasana sunyi sepi diselang-seli dengan bunyi cengkerik.

Masing-masing berjalan laju. Risau sekiranya ternampak kelibat yang bertenggek di atas pokok seperti yang pernah diceritakan Adib beberapa hari yang lepas.

"Fuh, lepas pon kawasan keras. Laju juga kita jalan tadi. Tiap kali lalu situ, mesti meremang bulu roma aku. Lagi-lagi lepas dengar cerita Adib 3 hari lepas", ujar Arfa.

Bertubuh sasa, namun jika berlaku apa-apa, pasti dia orang pertama yang hilang.

Hah! Kecik-kecik dah pandai panjat pagar

"Kita nak pergi Big Mug dulu ke Network?", Aizat bertanya dikala empat sekawan melewati kawasan perumahan teres majoriti didiami oleh bangsa Melayu.

Kawasan perumahan itu terletak betul-betul bersebelahan dengan pintu pagar MRSM Kuantan dan hanya dipisahkan dengan sebuah longkang besar.

"Kita pergi Network dulu la. Dah lama dah tak main ni. Lagi pun kalau lambat nanti penuh pula Network tu", sahut Aizeq.

Nabil dan Arfa mengangguk tanda setuju.

Tiba di jalan besar. Zon bahaya. Kawasan berisiko kerana lebih terdedah. Jalan raya lengang. Sekali sekala kereta melewati mereka dan sejurus kemudian hilang dari pandangan. 

Masing-masing berjalan laju. Sama ada tidak sabar hendak bermain games ataupun mahu cepat keluar dari zon bahaya.

Pernah sahaja beberapa kali rakan-rakan yang lain terserempak dengan kereta warden asrama ataupun cikgu-cikgu yang tinggal berdekatan. Habis, lintang pukang kesemuanya berlarian. Bagai lipas kudung.

Sehingga ada yang tertinggal selipar kerana mahu mengelakkan dari ditangkap oleh warden. Sambil berlari muka ditutup sebelah tangan bimbang kalau-kalau wajah mereka dicam warden asrama. 

Jika dicam, esok pasti naik nama dan dalam masa seminggu akan dipanggil oleh JDM (Jawatankuasa Disiplin Maktab). Yang dipanggil pasti tidak akan terlepas. Diberi amaran atau digantung sekolah. Namun bergantung pada budi bicara. 

Buat muka baik tak bersalah, rambut sikat tepi, baju tuck-in, inshaAllah lepas tanpa digantung sekolah.

***

Lepas zon bahaya, Jalan Dato Bahaman.

Apa lagi? Masa untuk bermain!

12.20 pagi.

Dari luar, kelihatan seperti tiada kedai yang masih beroperasi pada waktu ini. Namun, ada perkara yang hanya diketahui oleh orang-orang yang tertentu.

"Nabil, macam biasa. Do your thing", pesan Aizeq kepada Nabil.

Saturday, 15 February 2014

Ini kisah saya

Assalamualaikum,

Setiap individu ada hak mereka sendiri untuk menyimpan dan menyingkap kisah mereka sendiri kepada orang lain. Ada perkara yang bagi mereka tiada masalah untuk dikongsikan bersama orang lain, ada perkara yang mereka pilih untuk simpan dan dikongsi dengan orang-orang tertentu yang mereka buka hati padanya. 

"Trust is to be earned, not given",

 kita perlu menjadi orang yang dipercayai, dan kepercayaan perlu diperoleh, bukan pemberian. 

Hari ini, saya bertulis berkenaan saya, bukan orang lain.

Saya bukan orang yang mudah berkongsi berkenaan diri saya. Banyak perkara saya simpan, dan hanya helaian kecil dalam diari kehidupan saya yang saya kongsikan pada orang lain. Bagi saya, permasalahan diri dan kisah hidup saya bukanlah sesuatu yang penting dan besar sehingga perlu diceritakan pada orang. 

Tapi, hari ini saya ingin buka lagi beberapa kisah, yang selama ini saya simpan. Semoga yang membaca, mendapat manfaat walaupun sedikit.

****************************************

Saya seorang yang agak aktif dan periang. Saya tak suka mengingati kisah lalu yang sedih tetapi kesedihan itu tidaklah menjerumuskan saya ke lembah kemurungan.

Ayah saya meninggal ketika saya berada di tingkatan 2. Saya tidak ingat akan tarikhnya, dan mungkin tahunnya juga silap. Tetapi apa yang saya ingat adalah saya berada di sisi ayah ketika ayah meninggal. Dalam keadaan tidak mengambil serius apa yang berlaku. Berlari-lari di hospital, tergelak-gelak dan bergurau dengan adik.

Ketika mana orang sedang membaca Yaasin di majlis tahlil arwah ayah, saya pula bermain 'Wrestling' dengan sepupu-sepupu di tingkat atas rumah di kampung. Mungkin sikap terlalu periang itu sedikit sebanyak ada keburukannya. 

Tetapi, mungkin juga sikap positif dan ketidakmatangan itu yang menyelamatkan saya dari menjadi seorang yang murung dan negatif. Saya lihat, mama dan along (kakak)  tidak lalu makan untuk jangka masa yang lama, dan sentiasa menangis, terutamanya mama. Bagaimana hendak membesarkan anak-anak seramai 5 orang seorang diri dan kesemuanya masih belajar. Besar sekali pengorbanan mama.

Antara prinsip yang mama pegang adalah pendidikan mesti sentiasa diutamakan. Mama tak pernah kedekut untuk hantar anak-anak ke kelas tuisyen, beli buku pelajaran yang mahal-mahal, Berulang-alik hari-hari hantar anak ke tuisyen. Setiap kali anak-anak nak menghadapi peperiksaan, mesti berpuluh-puluh botol air yang dah dibacakan doa di Darus As-Syifa diterima.

Ketika zaman sekolah dahulu, selalu mama mengadu duit untuk belanja dapur tak cukup. Kena korek sana, korek sini. Ketika itu, apa yang boleh dibuat? Belajar rajin-rajin. Alhamdulillah Allah permudahkan jalan. Dibuka laluan untuk sambung belajar di MRSM Kuantan. Yuran bulanan RM30. Makan 6 kali sehari. Jimat disitu. Berbelanja hanya ketika 'outing', beli stok makanan dan ke bandar.

Kemudian selesai SPM Allah permudahkan lagi urusan, dapat biasiswa MARA untuk belajar di UTP. Selepas SPM, duduk di rumah seminggu sahaja. Jimat sedikit kos untuk mama tanggung dengan adanya biasiswa.

Keluar keputusan SPM, Allah buka jalan untuk ke negara orang. Dikurniakan biasiswa JPA untuk sambung belajar di Australia. Alhamdulillah dapat biasiswa, dapat ringankan beban mama. Tidak perlu mama berbelanja besar untuk membayar duit pengajian dan seumpamanya.

...

..Kesihatan

Saya menjejakkan kaki di bumi Kangaroo dalam keadaan kesihatan yang baik. Tiada penyakit kronik. Seperti kebanyakkan remaja yang lain. 

Australia, tanah seribu kenangan (belum habis pusing!)
2009, tahun pertama berada di Australia. menjelang sekitar bulan 5 sebelum peperiksaan semester 1, saya disahkan mengidap penyakit Diabetes Mellitus Type 1. Satu penyakit yang tidak asing di telinga, tetapi asing pada tubuh. Beberapa minggu sebelum berjumpa doktor, beberapa simptom hadir. 

Antara yang saya alami adalah sentiasa dahaga (dan lapar), kerap (sangat) ke tandas untuk membuang air, kulit kering, Terlampau amat cepat sangat letih (lagi-lagi ketika bersukan), turun berat badan (mendadak! 10 kg turun) dan kabur penglihatan.

Setiap hari akan ke tandas melebihi 10 kali. Perubahan fizikal yang berlaku sehinggakan ada kawan yang tidak mengenali saya jika hanya melihat sekilas pandang. Kurus kering.

Saya memandu scooter ke klinik kesihatan di dalam kampus universiti (lebih kurang 8km dari rumah) untuk membuat ujian darah, dan kembali semula keesokan harinya. 

"Mate, i'm afraid i have a very bad news for you. You are suspected to have Diabetes", doktor memberitahu saya ketika kembali ke klinik untuk mengetahui keputusan ujian darah. [diabetes Type 1, baca sini]

"Oh, yeke"

Doktor menulis surat untuk merujuk saya ke Royal Adelaide Hospital(RAH), yang jaraknya hanya berjalan kaki dari universiti. 

Segera, dimasukkan ke dalam ICU, selepas saya singgah untuk makan tengahari di sebuah restoran warga Malaysia (swinging Bowl, [baca sini]) yang berdekatan. Doktor memaksa untuk bermalam di situ.

Di situ, ditahan sekitar 2 hari 1 malam (rasanya). Nutritionist, dietitian, endocrinologist semua datang bertemu janji. Ada yang cakap, terkejut dengan reaksi saya. Macam tidak ada apa-apa. Teringat apabila doktor kata, kalau dah faham semua yang diajarkan, nanti bole discharge awal. Jadi saya angguk faham pada semua soalan. 

Keesokan hari, dilepaskan dari hospital dan pulang ke rumah. 


Telefon mama, "Mama, Ayit diagnosed with Diabetes"

Terdengar suara mama menangis di corong telefon.

Sejak dari waktu itu sehingga penghujung tahun 2009, saya hanya dapat tidur 1-3 jam sehari. Hampir setiap hari. Bukan senang untuk menyesuaikan diri. Malam-malam pasti terbangun untuk ke tandas 4-5 kali. Lebih kurang 6 bulan. 


Bersukan, 10-15 minit sudah letih. Bila cepat letih, prestasi juga menurun. Bersukan tidak lagi seseronok sebelumnya. Apabila hendak masuk tournaments, tak boleh main lama. Kebanyakkan masa, hanya memanaskan bangku simpanan. Mungkin orang kesian, jadi tetap dapat sertai.

Letih, cepat letih
Pulang ke Malaysia pada musim panas penghujung 2009. Teringat wajah mama ketika bertemu di KLIA.

Tahun 2010, cabaran lain pula.

Beberapa hari selepas peperiksaan akhir tahun semester 2. Semua teman serumah bersama rakan-rakan yang lain bercuti di Goolwa Beach. Antara aktiviti utama adalah mengutip cockles (kerang) dan mandi pantai (musim panas). 

Ditakdirkan saya tidak mengikuti mereka dan tinggal seorang diri di rumah. Keluar sebentar singgah ke Coles di Northpark Shopping Centre untuk membeli barangan makanan.

Selesai membayar, tiba-tiba badan terasa tidak sedap. Jantung berdegup kencang. Kepala pusing. Hampir pitam. Tak mampu untuk berjalan ke kereta, berbaring di bangku yang berdekatan. Capai telefon di dalam kocek, terus menelefon naqib (murabbi, senior juga sahabat) memberitahu keadaan diri. 

Beberapa ketika, tiba beliau bersama seorang rakan (kemudian menjadi housemate). Cemas. Terus dihantar saya ke hospital( RAH lagi!). Apabila tiba di hospital, sakit tadi dah berkurang sedikit. Masuk bahagian EMERGENCY, sekali lagi kena bermalam di hospital. 

Lebih dari 10 wayar yang disambung dari badan ke sebuah mesin, mungkin untuk memantau kondisi badan. Pakar-pakar dari bahagian tertentu datang untuk mengenalpasti punca penyakit. Akhirnya, jawapan ditemui.

Graves' Disease aka Hyperthyroidism [baca sini] 
Secara mudah, suatu penyakit yang menyebabkan degapan jantung super tinggi (metabolisme tinggi), badan lemah (muscle weakness), tidur terganggu dll.

Penyakit yang agak bertentangan dengan Diabetes. 

Diabetes = Perlu kurangkan makan

Hyperthyroidism = Perlu kerap makan (cepat lapar, kerana metabolisme tinggi)


Ada doktor cakap, "Poor guy. You got your diabetes from your late father and now Graves' Disease from your mother"

Saya senyum. 

"They (the diseases) are not misfortunes, they are gifts"


Think positive: Hadiah, ye hadiah. Bukan bala.
...

2014, bulan Febuari.

Menjamah sedikit mee selepas ceramah bulanan di surau. Kepala sedikit pusing. Makan sebiji panadol dan terus tidur.

Keesokannya, sempat bersolat subuh berjemaah di surau. Pulang dari solat, makan lagi 2 biji panadol dan terus tidur.

Saya muntah-muntah. Bukan biasa-biasa. Lebih 20 kali muntah dalam tempoh sehari. Berat badan turun 5kg (atau lebih) dalam masa 1 hari sahaja.

Dipendekkan cerita, saya meminta rakan menghantar ke Hospital Kulai dan kemudian dari situ dipindahkan ke Hospital Johor Bahru aka Hospital Sultanah Aminah(HSA) menaiki ambulans (pengalaman!)

Dimasukkan ke wad Dahlia 1, wad yang menempatkan pesakit-pesakit yang kronik. 95% warga emas. 3 hari 3 malam (macam bercuti!) di situ, ada beberapa pesakit yang meninggal di atas katil hospital. 

Malam pertama, dekat 15 botol/beg air + dll dimasukkan ke dalam badan. Disambung di kedua-dua belah badan. Setiap sejam, pasti dikejutkan untuk disemak bacaan gula dalam darah. Beberapa jam sekali disemak tekanan darah, dimasukkan antibiotik (pedih) melalui saluran tiub kecil di tangan.

Sepanjang masa sibuk, tidak kira masa. Paling lengang ketika subuh sehingga waktu sarapan pada pukul 8. Ada yang kata, HSA adalah hospital yang kedua tersibuk di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur(HKL).

Alhamdulillah, layanan nurses lelaki dan perempuan kebanyakkannya sangat cemerlang dan tidak kasar. Mungkin sebaik mana-mana hospital swasta dari segi servis. Cuma kerana bilangan pesakit yang terlalu ramai menyebabkan kesesakan dan suasana agak riuh sepanjang masa.

Diabetic Ketoacidosis [baca sini]

Salah satu komplikasi yang boleh berlaku kepada pengidap penyakit Diabetes. Pengajaran untuk diri, jangan lupa check bacaan gula!

"Kamu ni, tinggal sikit ni je lagi tau tak? (sambil menunjukkan jarak antara jari ibu dan jari telunjuk)", kata salah seorang doktor senior disitu.

Saya sengih.

"sikit je lagi tau"
...

Alhamdulillah, dipanjangkan usia.

Dua penyakit ini, menyebabkan tahap stamina turun mendadak, badan menjadi kurang tahan. Ketahanan diri lemah. Cepat letih dan cepat hilang fokus.

Tapi saya yakin dengan apa yang termaktub dalam Quran, bahawa Allah tidak akan membebani hambaNya melebihi apa yang mereka mampu (2:286). 


Apabila ditimpa penyakit itu juga bukti bahawa diri kita ini punyai banyak dosa. Kifarah dosa.

Selain itu, ujian juga ditimpakan untuk menguji benarkah kita ini orang yang beriman, atau sekadar dibibir sahaja (29:2).

Apabila ditimpa penyakit, ingatlah kisah Nabi Ayub bagaimana ujian Allah yang ditimpakan keatasnya sehingga 7 tahun lebih lamanya.

Penyakit sering dikaitkan dengan ketidakupayaan dan segala macam perkara negatif, namun mungkin kita boleh melihat dari perspektif berbeza. 

Sedikit pesanan saya pada yang membaca, 

Kematian itu dekat, persiapkan diri.

Ujian itu rahmat, hadapilah dengan redha.

Allah itu adil, sentiasa berfikiran positif.

Berdoalah, Allah Maha Mendengar.


Thursday, 28 July 2011

Flashback: Diari Ramadhan 1: Berbuka di Masjid Khalil

Salam,

"That's all for today. Any questions?...If no, see you guys next week. Enjoy your holiday" 

"Cepat Naim, cepat!". Aku separa menjerit kepada seorang rakan. " Dah nak azan maghrib dah ni, karang lambat pulak sampai kat Khalil (Khalil Mosque)".

Kami pon bergegas keluar dari Horace Lamb Lecture Theatre dan berlari anak menuju ke bahagian belakang university, di mana terdapat ruangan parkir untuk motosikal. Vroom, enjin dihidupkan. 


************************************************************

Ramai orang berkerumun di sekeliling satu meja besar. Seperti burung hering menunggu masa yang sesuai untuk menerkam mangsanya. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka dari tepi. Malas untuk bersesak-sesak. "Allahuakbar Allahuakbar", azan dilaungkan menandanya telah masuk waktu Maghrib. Mereka yang tadi mengerumuni meja mula mengorak langkah. Tangan-tangan dihulurkan untuk mencapai kuih-muih yang dihidangkan di atas meja.