Mari ikut blog ini

Showing posts with label hikmah. Show all posts
Showing posts with label hikmah. Show all posts

Thursday, 15 August 2013

Pakcik, saf tak lurus!

Salam,

Yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Sering disebut-sebut, betapa lemah lembut, berbudi bahasanya orang Melayu. Apabila lalu dihadapan orang yang lebih tua, kita akan membongkokkan sedikit badan kita menandakan hormatnya kita kepada mereka. 

Apabila melihat ada orang tua yang ingin melintas jalan, maka kita akan pergi mendapatkan mereka untuk membantu mereka melintas jalan.

Mereka yang lebih tua dipanggilkan dengan panggilan-panggilan seperti pakcik dan makcik berbanding menyebut nama mereka secara langsung.

Kuih-muih, makanan yang terdapat di dalam pinggan tidak akan dihabiskan malah ditinggalkan sekurang-kurangnya satu bahagian untuk menunjukkan betapa kita mengutamakan orang lain. (eh)

Apabila bertemu, kita bersalaman. Pakej sekali dengan cium tangan hingga basah tangan orang yang di cium (euuw)

Generasi demi generasi berlalu, budi bahasa semakin luput. Hormat semakin pudar, sayang semakin luntur.



Melihat realiti masyarakat yang menjurus ke arah itu, kerajaan mengambil inisiatif dengan melancarkan beberapa siri kempen untuk kembali menerapkan budi bahasa ke dalam jati diri masyarakat (Walaupun kurang berkesan, tidak mendapat perhatian masyarakat dan tidak beberapa menyeluruh).

Menjadi lebih parah lagi apabila penyakit bodoh sombong (ignorance) dan ego serta cepat melatah apabila ditegur berdarah daging di dalam diri kita.

********************

Mengambil contoh mudah, ketika menunaikan solat secara berjemaah di masjid/surau.

Seringkali kita akan melihat betapa tidak lurusnya saf-saf solat serta berapa jauh jaraknya di antara jemaah solat.

Kita terlalu mewah dengan ruang.

Melihat ke kiri dan ke kanan, lurus ke tidak saf?

Sekali lagi, adakah kita tidak menutup celah-celah di antara kita dan orang di sebelah?

Melihat kepada pak Dolah di sebelah kiri.

"Awat pakcik ni berdiri depan sangat ni. Macam berombak pulak saf solat"

Dicuit peha kanan pak Dolah.

Pak Dolah buat 'don't know'.

Dicuitnya peha kanan pak Dolah sekali lagi.

Pak Dolah menoleh. 'Grrrr', seolah-olah ekspresi yang boleh dibaca dari wajahnya. 

"Pak Dolah, belakang sikit", aku bersuara kecil.

Beliau kembali menoleh ke hadapan, mengabaikan kata-kataku.

**krik krik**

Imam mengangkat takbir. Sepantas kelajuan bunyi Pak Dolah mengangkat takbir.

"Aiyak. Guano sek kito"

********************

Di lain waktu.

Bersolat bersebelahan Pak Kasim di sebelah kiri beliau.

"Jauhnya Pak Kasim berdiri. Dah siap baling kunci ke karpet masjid dah."

Dicuit manja peha kiri beliau. Ditolehnya 90 darjah arah lawan jam.

"Pak Kasim, rapat sikit. Jauh sangat tuu", aku berbisik.

Dibuatnya endah tak endah. 

"Ada beran budak setahun jagung hingus tak lap ni tegur aku", ujar beliau di dalam hati, agaknya.

Monday, 6 February 2012

Berhikmah dalam berurusan dengan manusia.

Salam,



genap 31 Januari maka tamatlah tempoh lebih kurang 2 bulan aku menjalani praktikal di Sapura Machining Corporation. Banyak juga ilmu yang aku dapat. Juga bertambah kenalan aku. Selepas tamat tempoh praktikal, aktiviti harianku banyak dihabiskan di rumah. Kadangkala menerima ajakan bermain futsal, menemani mak ke kenduri kahwin, bermain volleyball, pingpong dan berjumpa sahabat handai.


Masa lapang yang ada ini aku manfaatkan untuk meluangkan lebih banyak masa dengan ahli keluarga. Aku ada dua orang adik. Seorang sedang menunggu keputusan SPM (lelaki), dan seorang lagi berada di tingkatan 2 (perempuan). Jika di rumah, aku mensyaratkan untuk mereka mengaji Al-Quran sekurang-kurangnya 1 page sehari. Jika pada masa ketiadaanku, mereka perlu mengaji sendiri. Namun biasa la remaja, jiwa mahukan keseronokan. Zaman kuat memberontak. Aku faham keadaan ini, sebab dahulu aku juga pernah melaluinya (macam sekarang dah tua).


Yang kecil sekali, bergantung pada mood nya. jika baik, barulah mudah untuk menyuruhnya mengaji. Jika tidak, berbagai alasan yang akan diberikan. "Alaa hari ni banyak homework la", "Kejap lagi la", "Awin nak habiskan cerita ni dulu", "Orang dah ngantuk dah ni", "Esok boleh tak?". Macam-macam. Tapi aku faham, perkara sebegini kita tidak boleh terlalu bertegas, juga tidak boleh terlalu berlembut. Bergantung kepada situasi. Jika aku melihatnya sedang membuat kerja sekolah, maka aku memberinya kelonggaran untuk 'skip' mengaji pada hari itu dengan syarat keesokan harinya ditambah lagi bacaan sebanyak semuka. 


Namun jika aku mendapati dia sedang menonton televisyen, maka aku akan bertegas. Dia akan menarik muka, masam seperti mangga muda, tapi yang pasti dia tetap akan naik keatas dan bersiap untuk mengaji. Sebagai seorang abang, adalah tanggungjawab aku untuk memimpin mereka.


Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.