Mari ikut blog ini

Sunday, 13 May 2012

Majlis tanpa orang yang di rai

Salam,

siapa yang tidak suka apabila dirinya diraikan. Misalannya ketika majlis hari jadi. Antara orang yang paling gembira adalah orang yang menyambut ulangtahun kelahirannya dan diraikan di dalam suatu majlis.

Pada masa yang sama, pasti akan ada orang yang dijemput atau turut sama dalam memeriahkan majlis. Ada pihak-pihak yang merancang majlis itu, ada yang sekadar memenuhi jemputan, dan ada yang datang kerana ikut-ikutan.

Perkara ini sama sahaja di mana-mana. Cuma mungkin perbezaannya pada kekerapan berlakunya suatu majlis itu. Apa yang aku maksudkan disini bukan hanya merujuk kepada majlis sambutan harijadi. Itu hanya contoh, hakikatnya banyak lagi. Majlis ilmu itu, kelas pengajian ini, aktiviti sukan itu, riadah ini, perkelahan itu, perkhemahan ini dan macam-macam lagi yang anda mampu fikirkan.

Ada segolongan yang akan terlibat dalam merancang, ada golongan yang akan dijemput, dan kebiasaannya paling ramai sekali adalah mereka yang turut terlibat sama, namun mereka sendiri tidak berapa pasti atau mungkin juga tidak tahu apa tujuannya majlis itu diadakan. Apa yang mereka tahu, majlis itu bunyinya menyeronokkan, majlis itu mampu mengenyangkan mereka. Itu sudah cukup bagi mereka.

Dan hal ini menjadi suatu tradisi.

"Ada makan-makanlah hujung minggu ni kat rumah Abu, jom kita pergi"

"Ada makan apa ye? Abu selalunya masak sedap. Jom!"

Itulah yang selalu menjadi topiknya. Tetapi apa yang Abu rancangkan adalah  Majlis khatam Quran untuk anaknya. Tapi apa yang difikirkan oleh orang ramai adalah majlis makan-makan. Makan menjadi tujuan utama, dan khatam Quran itu hanyalah suatu sampingan. Walhal mengikut perancangan Abu, majlis itu adalah majlis khatam Quran beserta makan-makan!

Itu berlaku apabila mesej yang hendak disampaikan tidak jelas atau orang yang hadir memilih untuk mendengar only what is pleasant to the ear. Mungkin juga kerana penganjur sendiri kurang jelas dengan tujuan dia menganjurkan sesuatu itu.



Apa yang parah apabila sesuatu program itu disusun hanya kerana telah menjadi tradisi di tempat itu. Pihak penganjur, orang yang di jemput dan orang yang meramai kan program itu sendiri kurang jelas atau mungkin tidak mengetahui langsung apakah tujuan sebenar keberadaan mereka disitu. Mereka hadir, hanya kerana perkara itu telah mereka lakukan sejak dahulu lagi. Orang hilang punca, yang hadir cuma jasad-jasad, sesuatu itu hilang roh nya.

Ada juga masa apabila sesuatu perkara itu disusun, namun orang yang sepatutnya hadir itu tiada. Umpama kita membuat majlis sambutan hari jadi untuk Kasim, tapi siapa yang ada di dalam majlis itu adalah kawan-kawan Kasim, saudara-saudara, jiran-jiran tetangga. Majlis berlangsung dengan meriah. Semua orang gembira, semua orang kenyang. Semua yang hadir pulang ke rumah dalam keadaan puas hati.

Tapi, siapa sebenarnya yang di raikan disitu? Adakah kawan-kawan Kasim? Adakah saudara-saudara serta jiran-jiran Kasim? Tidak! Mereka terlupa pada tujuan asal majlis hari jadi itu, untuk meraikan ulangtahun kelahiran Kasim sendiri.

Apakah makna yang ada pada sebuah majlis tanpa kehadiran orang yang dirai.
Kita seringkali merencana sesuatu, tapi seringkali juga kita lupa pada tujuan perencanaannya.

Dan Allah lah yang memegang hati-hati manusia.

"(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir". Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan daku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itupun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. "
[Hud:42-43]

Sebagaimana Nabi Nuh sendiri tidak mampu meyakinkan anaknya sendiri untuk bersama-samanya menaiki bahtera ketika mana azab Allah tiba dan akhirnya ditenggelamkan oleh (air bersama-sama orang-orang kafir yang lain.

Ingatlah pada kekuasaan Allah, yang memegang hati-hati manusia. Kita seringkali yakin dengan persiapan kita, namun kita lupa dengan izin siapa akan berjayanya tiap sesuatu.

Wassalam,