Mari ikut blog ini

Showing posts with label tarbiyah. Show all posts
Showing posts with label tarbiyah. Show all posts

Saturday, 8 November 2014

Antara Cinta dan Tanggungjawab


"Alhamdulillah, hari ini boleh masuk rumah baru. Allah mudahkan urusan, jadi tak perlu duduk berasingan lama-lama selepas nikah", ujarku dalam hati.

Baru sahaja melangsungkan majlis menyambut tetamu semalam harinya. Hari ini sudah pulang ke Johor kerana keesokan harinya perlu bekerja.

Dua minggu pertama, sibuk setiap hari keluar ke pasaraya-pasaraya mencari barang-barang keperluan rumah. Al maklumkah, rumah baru (masuk). Kosong serba serbi.

Kelam kabut juga mahu menyesuaikan diri diantara urusan rumah, kerja, tarbiyah dan dakwah. Beberapa kali juga terlewat tiba ke pejabat dan program-program sehinggakan ada yang menegur, "Kau ni, lepas kahwin ni asyik lambat je memanjang"

Dush. Kena tepat sebijik dikepala.

"Kau kata kau orang yang ditarbiyah, kenapa begini pula jadinya? Aku ingat, lepas berkahwin semakin gencar amal. Allahu Allah. Teruk ni. Kalau berterusan, fitnah besar kepada tarbiyah dan dakwah itu", marahku pada diri.

Mana kan tidak. Jika ketika bujang dahulu, akulah antara yang pertama tiba di tempat pertemuan usrah. Akulah antara yang pertama tiba di pejabat dan menyusun kerusi untuk berprogram.

Namun sejurus selepas berkahwin, muka siapa lagi yang lambat kalau bukan aku. Paling awal, cukup-cukup makan. 

"Argh. Buat apa kahwin kalau begitu. Makin teruk, bukan makin baik. Makin lambat, bukan makin laju", tidak habis lagi memarahi diri.


Bertindak

Ini tak boleh jadi dan perlu diperbaiki. Susun semula jadual, rancang semula perjalanan.

Apa tujuan kau berkahwin?

Antaranya supaya si isteri dapat menampung kekurangan kau dan kau dapat menampung kekurangan si isteri, melengkapkan sebahagian dari agama.

Muhasabah kembali. Refleksi mana yang silap. Kita muda, banyak perlu belajar tapi itu bukan alasan untuk terus buat silap dan alpa dalam kesilapan. 

InshaAllah, apabila tujuan perkahwinan itu kerana dakwah, disatukan atas akidah dan fikrah yang sama maka dipermudahkan banyak urusan. Yang penting saling mempercayai dan sanggup berkorban.

Macam-macam ada!

Saturday, 19 April 2014

Remaja, beragendakah anda?




Assalamualaikum.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan terhadap sejumlah responden, di antara perkara yang paling ditakuti oleh seseorang adalah bercakap dihadapan khalayak ramai.Sehinggakan ada yang mengkategorikan ketakutan bercakap dikhalayak ramai adalah lebih menakutkan daripada terjun dari bangunan untuk membunuh diri!
 
Sekiranya kajian yang sedemikian rupa dijalankan di Malaysia, pasti bercakap dikhalayak ramai akan mendapat ‘top 3’ di dalam carta perkara yang paling ditakuti selain hantu pocong dan Pontianak. Hakikatnya, begitulah kenyataan.
Berhadapan dengan berpuluh-puluh hinggakan beratus-ratus bahkan mungkin beribu-ribu biji anak mata yang disasarkan tepat kepada orang yang bercakap dihadapan, siapa yang tidak gentar, cuak, kaku dan menggigil?

Menghilangkan perasaan gementar bukanlah perkara yang mudah.Persediaan yang cukup, latihan yang  berterusan serta doa kepada ya Rabb pastinya amat diperlukan. Sistem pendidikan di Malaysia  pada suatu ketika dulu kurang mendedahkan dan memberi peluang untuk membina anak muda yang  berani dan mahu untuk memimpin dan berucap di hadapan.

 
Antara aktiviti untuk memanfaatkan cuti sekolah remaja

Saya pernah berpeluang melihat bagaimana pelajar-pelajar ‘primary school’  diajar untuk terkehadapan semasa menuntut di Australia  suatu ketika dahulu.Pelajar-pelajar dipupuk dengan sikap untuk banyak bertanya ketika sesi pembelajaran.Teringat saya ketika menjadi tenaga pengajar tambahan untuk suatu program yang disediakan untuk pelajar ‘primary  school’. Apabila ditanya soalan, pasti berebut-rebut pelajar mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang diberikan. Bukan seorang dua, tetapi majoriti daripada jumlah pelajar yang ada.

Apabila diminta untuk bercakap di hadapan,  kebanyakkan daripada mereka akan mara kehadapan dan bercakap dengan penuh yakin dan jelas. Hebat! Ada masa-masa ketika, soalan yang  diajukan terlalu banyak dan kerap sehingga kita tidak larat menjawab.

Berbeza dengan suasana ketika saya bersekolah dahulu. Apabila cikgu yang  mengajar mengajukan solalan, pasti suasana di  dalam kelas menjadi senyap.Mungkin sekali pelajar tidak tahu bagaimana hendak menjawab atau barangkali takut! Takut untuk mengangkat tangan,  bangun dan memberikan jawapan.

Apa yang dibicarakan diatas hanya merupakan salah satu contoh daripada perkara yang perlu kita lihat pada generasi-generasi yang akan terbina. Namun, tidak patut untuk kita menuding jari dan menyalahkan system pendidikan kita. Semua pihak perlu proaktif untuk membina generasi harapan. 

Didikan atau pun tarbiyah Islam yang syumul(lengkap, menyeluruh) serta berterusan diperlukan  untuk membina jati diri seseorang remaja muslim. Pentarbiyahan itu tidak seharusnya focus hanya pada satu paksi, tapi hendaklah mencakupi aspek pengetahuan, ibadah, akhlak, akidah, perwatakan, jatidiri,  pengurusan diri serta fizikalnya.

Salah satu perkara paling penting dalam tarbiyah


Seseorang yang hanya cemerlang dari segi akademik dan pengetahuan,  tetapi mengabaikan penampilan diri serta kesihatan diri tidak dikira hebat.


“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu” (Riwayat Bukhari)


Tidak juga dikira hebatnya seseorang itu sekiranya masanya hanya dihabiskan berseorangan di tikar sejadah mahupun sudut-sudut masjid  sekiranya dia tidak menjaga akhlak serta peribadinya.


“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah,  sesungguhnya seorang wanita terkenal dengan banyak bersembahyang (sunat), berpuasa dan bersedekah, namun kata- katanya menyakiti jirannya.” Sabda Nabi SAW: “Dia dimasukkan ke dalam neraka”…  (Riwayat Ahmad)


Apakah erti pada berbadan sasa,  berstamina tinggi dan sentiasa memenangi kejohanan yang disertai sekiranya tidak mementingkan aspek penjagaan solatnya.

Team OLE, ketika di menuntut di Australia

Kita  juga tidak mahu sekiranya seseorang itu hanya pandai berbicara tetapi tidak mempunyai agenda yang jelas, ke mana hendak ditujuinya. Kita  tidak mahukan umat yang tiada agenda hidup,  hanyut dalam hiburan melampau serta tenggelam dalam arus kemodenan dan globalisasi Barat yang mengasyikkan itu tanpa menyedari betapa musuh-musuh Islam  sedang sibuk merancang bagaimana merosakkan jati diri anak bangsa dan menghilangkan agenda mereka.

Akhir kalam, antara soalan-soalan yang perlu kita sering bertanyakan pada diri kita:

  • Siapa kita?
  • Apa tujuan kita hidup?
  • Ke mana kita hendak membawa orang-orang yang kita pimpin?
  • Apa agenda serta perancangan musuh-musuh Islam?


Friday, 11 January 2013

Pemuda kita

Salam,

berikut adalah coretan beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan aku dari stesyen KTM UKM ke stesyen KTM Shah Alam.


***************************************

Untuk pergi ke Shah Alam menggunakan KTM (Keretapi Tanah Melayu) dari stesyen KTM UKM, aku perlu untuk transit di stesyen KLCentral dan mengambil train lain untuk menuju ke stesyen Shah Alam.

Jika menaiki kereta, hanya sekitar 30 - 40 minit diperlukan untuk tiba di Shah Alam namun akibat dari tidak mempunyai kenderaan sendiri, aku memilih untuk menggunakan khidmat KTM.

Perjalanan dari stesyen UKM ke KLCentral memakan masa sekitar 45 minit.


Stesyen Keretapi UKM. Berwajah baru!
Setibanya di stesyen Serdang (di pertengahan perjalanan), kelihatan seorang pakcik yang agak tua berjalan memasuki train dan beliau bergerak menuju ke penghujung gerabak.

Aku memerhatikan dari jauh.

2-3 minit berlalu dan tiada yang bangun untuk memberikan tempat duduk mereka kepada pakcik tersebut. Sedih rasa hati, mereka yang duduk berdekatan dengan tempat pakcik itu berdiri seolah-olah tidak menyedari atau tidak ambil peduli tentang kewujudan pakcik yang tua itu.

"Jauh pulak pakcik ni berdiri dari tempat aku. Ah tak kisah la, asalkan pakcik tu ada tempat duduk".

Baharu sahaja aku ingin bangun menuju kearah pakcik itu, seorang pemuda bangun, tanpa bercakap sepatah pon dan bersandar berhampiran pintu untuk memberikan tempat duduknya kepada pakcik tersebut.

"Allah. Alhamdulillah. Masih ada lagi pemuda-pemuda yang baik hati di Malaysia ini", ku mengucapkan syukur dalam hati.

Aku tersenyum. 

Train tiba di KLCentral.

Aku membeli tiket ke stesyen Batu Tiga kerana sudah berpakat dengan kawan untuk 'pick-up' aku disitu.

Turun di ruangan menunggu train yang terletak di ruangan bawah tanah, aku mencari tempat untuk duduk. Jumpa! Aku bergerak ke situ dan duduk. Mengeluarkan buku Solusi Edisi Januari 2013 yang belum habis dibaca.

Maklumat perjalanan berteknologi. Wah!

Beberapa ketika, seorang lelaki dan seorang perempuan datang menghampiri aku dan duduk sebelah menyebelah di bangku yang sama denganku.

Mereka galak berborak. 

Baru sahaja beberapa saat mereka duduk, si perempuan menarik tangan si lelaki dan meletakkannya di atas pehanya sambil menggosok-gosok tangan lelaki itu.

Aku memerhatikan gerak geri mereka. "Aish, adik beradik ke ni?", aku bertanya dalam hati.

"Ke pasangan suami isteri? Tapi macam muda sangat.", aku bertanya sekali-lagi kepada diriku.

Si perempuan menoleh dan melihat aku sedang memerhatikan tindak-tanduknya. Dia melepaskan tangan pemuda itu.

Namun, tak sampai satu minit, dia menarik semula tangan pemuda tersebut, meletakkannya di atas pehanya dan menggosok-gosok tangan pemuda tersebut.

"Dia tolong urut ke apa ni? Tak nampak macam bengkak atau lebam pon"

Friday, 21 December 2012

Friday Night bersama rakan sekerja

Salam,

Pada 14 Desember yang lepas, tempat di mana aku bekerja part-time mengadakan program 'Laser Skirmish and Bowling Night'. Fully sponsored. Bertempat di Kingpin Bowling, Norwood. Aku tidak bekerja pada malam tersebut. Plan asalnya adalah untuk berkumpul di tempat kerja, carpool dan bergerak bersama ke lokasi.

"Alamak! Macam mana ni. Kang sekali kena duduk sekali dengan pekerja-pekerja perempuan yang lain"

Malam 14 Disember itu, aku menelefon John.

"Hei John, can i just go straight to the Kingpin Bowling?"

"Yeah sure. Be there before 10 pm k"

"Fuh. Lega. Terlepas dari risiko ber-carpool dengan perempuan-perempuan", aku menarik nafas lega. Lagipun, malas aku pergi ke tempat kerja, kerana lokasi Kingpin Bowling adalah pada arah yang bertentangan. Buat perabeh minyak kereta je.


Sila RSVP ye~ 'tick' aku yang berkedut-kedut tu
Selain itu, terdapat juga Christmas Dinner dan kami dikehendaki membawa 'partner'. Aku menolak pelawaan ini dengan alasan mempunyai urusan pada malam tersebut.

Setibanya di Kingpin Bowling, aku melihat rakan-rakan sekerja yang lain sudah pun tiba di situ.

"Azac, where are you? come in", aku membaca kiriman sms oleh John.

Kelihatan John sedang tercari-cari seseorang.

Ok, just in time. Tak cepat sangat, tak lambat sangat.

Aku bertegur sapa dengan mereka dan kemudian kami bergambar bersama.

Ramai tak rakan sekerja aku? hehe. Cuba teka mana satu-satunya pekerja lelaki berbangsa Australia?




Apabila semua sudah berkumpul, kami mula dengan bermain bowling. Boleh dikatakan kesemua pekerja (18+) yang memesan beer terlebih dahulu sebelum bergerak ke 'bowling lanes'. Seperti meminum jus, laju sungguh mereka meminumnya. 

"Don't you want to order any drink?", tanya Kumar kepadaku.

"Nah, i'm fine"

Sunday, 28 October 2012

Aku dan Usrah

Salam,

Ada apa dengan usrah? Ramai yang tertanya-tanya akan persoalan ini. Majlis ilmu? Majlis makan-makan? Masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan? Bulatan gembira? Bulatan Alien?

Suatu masa dahulu, aku juga pernah berada di situ. "Usrah ni untuk budak baik-baik je"

Aku mula berusrah secara konsisten pada tahun pertama aku menyambung pelajaran di University of Adelaide, pada tahun 2009.

Bukannya aku tak pernah dengar apa itu usrah. Masa di sekolah dulu pon aku pernah usrah. Tapi main lari-lari. Setahun berapa kali sahaja. 'Bapak usrah' pon aku tak kenal.

Kemudian sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas, sekali lagi aku terlibat dengan usrah. Aku di 'assigned' kepada seorang naqib ketika minggu orientasi, dan kemudian beberapa minggu, aku dihubungi oleh beliau. Di UTP, ada satu badan/organisasi yang dikenali sebagai Rakan Masjid. Mereka inilah yang menguruskan perkara-perkara yang melibatkan aktiviti kerohanian di UTP.

Namun perkara sama yang berlaku, aku hanya sempat hadir usrah beberapa kali. Naqib aku pada ketika itu pun tidak aku kenali. Sama juga dengan rakan usrah yang lain. Semuanya asing bagiku. Pendek kata, sekali lagi aku main lari-lari.

Bagi aku pada ketika itu, usrah itu buat mereka yang punyai masa lapang dan ingin menambah ilmu agama. Jika rasa bebas dari tugasan-tugasan universiti, maka bolehlah menghadirkan diri, itu pon, malas-malas. Jika tidak, jangan harap.




Di Adelaide, sekali lagi aku mendengar istilah usrah. 

"Ah, ada apa dengan usrah?"

"Apa aku peduli, asalkan aktiviti harian aku tidak diganggu. Asalkan kerja aku siap. Asalkan aku boleh main bola. Asalkan aku main game tidak ada orang ganggu. Asalkan aku boleh chatting dengan kawan-kawan aku seperti biasa. Kalau semua ni tak diganggu dan aku ada masa lapang, boleh la nak duduk sekejap dalam usrah"

Bermulalah episod, Aku dan Usrah.

Tiap-tiap minggu, mesti naqib aku at least sekali datang rumah. Selalunya mesti ada benda yang dibawa sama. Selalunya mesti buah-buahan. Patutlah sihat walafiat sahaja aku sekarang!

Kebiasaannya, tiap-tiap hujung minggu kami aku duduk bersama. Aku, ahli usrah dan naqib(-naqib). Kami berbicara dan berkongsi tentang banyak benda. Berpesan dengan perkara-perkara, beraktiviti bersama, bertanya pendapat, berkongsi pandangan. Kadangkala kami ke pantai, kadangkala kami mendaki bukit, kadangkala kami berbarbeque.

"Seronok juga begini kan"

Walaupun ada masa aku tertidur dalam usrah. Bangun-bangun je, "eh,dah habis usrah rupanya."

Ada masa, rasa malas sungguh nak pergi usrah. Tapi mengenangkan masakan sedap menunggu, aku pergi jua.

Ada masa aku rasa menyampah dengan usrah. "Apa ni, tak nampak ke orang tengah sibuk ni?"

Tapi sebab satu rumah aku semua ikut usrah, aku pon ikut la berusrah. Ala biasa la, baru nampak macam budak baik bila ikut usrah.

Bila jumpa kawan yang usrah lain, 

"naqib kau siapa?"

"minggu ni kau usrah tentang pe?"

"Kau usrah hari apa minggu ni?"

Masa berlalu. Sampai suatu ketika, muncul suara-suara. 

"Siapa bapak usrah kau? Dia tu ustaz ke? Belajar agama kat mana? Umur berapa?Kau ingat kau nak jadi ustaz ke? Kita datang untuk belajar engineering, bukan belajar agama"

Apabila berlaku pertembungan antara majlis-majlis ilmu dengan usrah dan aku memilih untuk menghadiri usrah. Muncul suara-suara di belakang.

"Mana lebih aula', kau menuntut ilmu dengan tok syeikh yang berkelulusan dari Al-Azhar dalam bidang syariah ke menuntut dengan naqib kau yang belajar ilmu tak habis, umur baru setahun jagung tu?"


Persoalan mula timbul. Aku mula keliru. Adakah apa yang aku buat ini salah? Betul juga kata-kata mereka. Siapa la naqib aku jika dibandingkan dengan ustaz-ustaz. Rasanya dia tak pernah belajar dalam bidang syariah atau apa-apa. 


Friday, 12 October 2012

Semangat yang dicari!

Salam,

Aku ada ramai kawan, dan kawan aku berbagai-bagai.

Hari ini, kisahnya bukan mengenai aku, tetapi mengenai dia.


********************************************

Nama dia Abu (bukan nama sebenar). Seperti orang biasa, Abu ada kawan, Abu berkawan, Abu bersukan, Abu juga belajar.

Suatu ketika, satu perubahan berlaku pada Abu. Seolah-olah transformasi 360 darjah berlaku. Dari menjadi Decepticon kepada Autobot seperti di dalam cerita Transformers. Bukannya maksud aku sebelum ini dia jahat, kemudian dia berubah menjadi baik. Tidak se-drastik itu.

Jika sebelumnya, sungguh jarang sekali melihat kelibatnya bersolat jemaah di masjid. Namun pada hari itu, dialah antara yang paling awal tiba di masjid. Isyak, Subuh, dialah yang terkehadapan. Setiap hari setibanya aku di masjid, pastu Abu sudahpun berada di sana. Aku kagum.

Jika dahulu dia gemar bergelak ketawa, kini dia lebih banyak berdiam dan mendengar. Jika dahulu, dia lah pemegang mikrofon, kini dia lebih banyak menjadi penonton.

"Hebat Abu! Jika dahulu dia seorang yang jarang mengimarahkan masjid, kini dialah pengunjung setia dan terawal!", benakku dalam hati.

Jika ada mana-mana masjid berdekatan yang menganjurkan berqiam bersama, pastinya kelibat dia akan kelihatan. Teguh, utuh bersolat mengadap Tuhan yang Esa.

Hari demi hari, Abu masih bersemangat dan istiqamah dengan amalannya.

"Moga engkau terus istiqamah Abu!"

Aku tertanya-tanya, apakah perkara yang membawa kepada transformasi ini? Dari mana datangnya 'motivasi' Abu ini untuk terus istiqamah dengan amalan berjemaah di masjid ini?

Bukan senang, untuk bangun di awal pagi melawan godaan bantal dan tilam yang empuk, serta belitan syaitan itu. Sekali-sekala itu mungkinlah, tapi itu berterusan, perlukan kekuatan yang tersendiri!

Tambahan pula di Adelaide, boleh dikatakan setiap pagi itu sejuk. Jika tidak berselimut, alamatnya bekulah anda. Lebih seronok dan mengasyikkan untuk beradu di dalam keselesaan dan ke-suam-an selimut itu! Berbanding kesejukan pagi. Bukan itu sahaja, perlu keluar dari rumah dan memandu menuju ke masjid yang jaraknya bukanlah dekat.

http://www.adelaidenow.com.au/news/south-australia/snow-at-mt-lofty-more-wild-weather-coming/story-e6frea83-1226493307107
(Salji turun di Adelaide, pada 11/10/2012)

Friday, 10 February 2012

Masjid dan Danial, si kecil cilik

Salam,


di rumah sebelah aku ada seorang budak lelaki. Namanya Danial. Tahun ini 6 tahun. Sebelum ini aku tidak pernah ditegur mahupun melihatnya kerana jarang sekali untuk aku berpeluang berbuat demikian. Menurut adikku, ketika masih kecil si Danial ini agak pemalu orangnya. Biasalah budak, takut berdepan dengan sesuatu yang tidak dikenalinya. Itu kisah dahulu.


Seringkali apabila aku keluar rumah aku akan melihat si Danial ini bermain di halaman rumahnya bersama kakaknya, Balqis yang berumur 8 tahun. Juga kadangkala akan kelihatan rakan sebayanya seorang lagi yang juga merupakan jiran aku, Iman bertandang ke rumahnya untuk bermain bersama. Teringat zaman kanak-kanakku di mana rakan-rakan jiran yang lebih kurang sebaya seringkali bertandang ke rumah untuk bermain bersama. Mana tak nya, abang aku merupakan 'ketua' bagi kumpulan kami. Segala arahannya dipatuhi dan dihormati.


Pada permulaannya, Danial hanya bisa menegur adikku, Zarif kerana sudah pun membiasakan diri dengannya. Setiap kali kami hendak bergerak keluar ke mana-mana akan kedengaran suara si kecil ini.


" Hai abang Zarif!"


"Nak ke mana tu?"


dan bermacam lagi celotehnya.


Kadangkala aku akan menyampuk dengan menegur si kecil ini.


"Hai Danial"


"Danial tengah buat apa tu?"


"Danial dah makan?"


"Mana Balqis?"


dan lain-lain.


Danial ini merupakan seorang kanak-kanak yang periang.


Suatu hari, ketika aku sedang berjalan beredar dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Zohor aku terserempak dengan Danial dan bibiknya di pertengahan jalan.


"Nak ke mana tu?", tanya Danial.


"Nak pergi semayang. Kat masjid depan tu", sambil menunjukkan ke arah masjid. "Danial nak ikut?"


Diam sejenak. "Nak!", terukir senyuman lebar dibibirnya.


"Nak semayang apa nya, pakai seluar pendek tu", sapa si bibik sambil menunjukkan pada seluarnya.


"Alaaa, macam ni xboleh la pergi semayang", wajahnya hampa.


"Xpe la Danial, nanti lain kali kita pergi semayang ye", aku memujuknya.


***********************************************


Azan Zohor dilaungkan. Aku bersiap-siap dan menuju ke luar rumah. Lalu sahaja di depan rumah Danial.


"Nak pergi mana? masjid eh? Nak ikut 2x". Wajah nya tampak ceria. Seolah-olah menunggu approval dari aku.


"Danial nak ikut? Jom".


Danial menoleh kearah bibiknya yang duduk berhampiran sambil membuat muka kesian. Bibik mengangguk tanda setuju. Kemudian Danial masuk ke dalam rumah sebentar untuk menukar seluar pendek yang dipakainya dengan seluar panjang. Selesai bersalin, dia berlari mendapatkan aku. Aku senyum padanya.


Kami pon berjalan menuju ke masjid. Jarak dari masjid ke rumah ku hanya mengambil masa lebih kurang dalam 1-2 minit berjalan kaki. Sampai sahaja di perkarangan masjid.


"Danial dah ambil air semayang?"


"Errr. Belum."

Wednesday, 23 November 2011

Akidah itu. Dakwah ini.

Salam,

fasa pertama kepada dakwah yang dilakukan oleh para nabi adalah dengan memperbetulkan akidah manusia. Dengan mentauhidkan Allah. Meyakinkan manusia akan keesaan Allah. Bukannya bermula dengan menyuruh mereka mengerjakan solat, berpuasa, menunaikan haji. Semua itu adalah perlu, tetapi apabila fasa pertama telah selesai.

Untuk menanam keimanan kedalam hati-hati manusia bukanlah sesuatu yang mudah. Islam tidak disebarkan dengan mata pedang. Keimanan itu hanya mampu ditanam dengan penjelasan, penerangan, kata-kata, proses pengajaran, bukannya dengan memaksa seseorang itu menerima Islam. Islam bukan agama paksaan. Yes, bukan suatu paksaan untuk masuk Islam, tetapi setelah memeluk agama Islam adalah kewajipan untuk mempelajari akan Deen ini.

Bagaimana kita ingin membina bangun yang super hebat, mempunyai lampu liplap-liplap, bertingkat-tingkat di atas foundation yang tidak kukuh? Adakah akan selamat bangunan setinggi menara KLCC sekiranya dibina di atas tanah gambut? Tidak.

Itulah antara sebabnya mengapa memperbaik akidah merupakan perkara tunjang dalam dakwah. Kita risau, sekiranya segala macam amalan dipikul di atas iman yang goyah itu, akhirnya akan membawa kepada keruntuhan dan kebinasaan yang lebih teruk. Sehingga tidak mampu lagi untuk mendirikan walau rumah setingkat, tenggelam terus tidak timbul-timbul. Itu perumpaan bagi bagaimana pentingnya membina iman, akidah yang teguh.

Pernah sekali aku melihat akan komen seorang hamba Allah di gambar yang menunjukkan 'Mike Tyson' diketika beliau menunaikan haji.


Komennya berbunyi lebih kurang begini:

"Ush tengok tu ada tatoo lagi, pergi bersih tatoo dulu la baru pergi haji"

Wednesday, 2 November 2011

Berlaku adil

Salam,


apakah yang dimaksudkan dengan adil dan bagaimanakah yang anda rasakan adil itu?


Adil di definasikan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya.






Adakah dengan memberikan sesuatu itu secara sama rata kepada semua tanpa mengira faktor-faktor seperti latar belakang, umur, tahap pemikiran dan lain-lain itu adil? 


Cuba bayangkan ketika hari raya. Budaya orang Melayu, pasangan yang dah berkahwin 'wajib' memberikan duit raya kepada anak buah. Kamu ada dua anak buah, Usop dan Hamzah. Kalau ikut konsep 'sama rata', Usop dan Hamzah akan dapat RM5 kerana semua orang mesti menerima jumlah yang sama. 


Tapi rupa-rupanya Usop baru berusia 5 tahun, tapi Hamzah sudah berumur 15 tahun. Adakah kita berlaku adil disitu?


Percaya atau tidak, sejak kecil lagi kebanyakkan dari kita di 'doctrine' dengan konsep sama rata yang di associate dengan perkataan adil. 


Bagaimana kita berlaku adil terhadap seseorang?


Aku pernah berborak dengan seorang sahabat tidak berapa lama dahulu mengenai perkara ini. Dia pernah menyebut (lebih kurang begini), "Ana tak membezakan antara orang. Semua orang ana cakap guna ana enta. Macam kat si *****, mula-mula memang dia tak biasa, tapi lama-lama dia pon boleh terima". Tapi aku kurang setuju. Penerimaan setiap orang ke atas sesuatu perkara adalah berbeza. Dalam kes tadi, Alhamdulillah si ***** boleh menerimanya, mungkin kerana latar belakangnya. Tapi cuba sekiranya kita berbuat demikian dengan mat-mat rempit, adakah penerimaan mereka juga sama? Tidak.


Diskriminasi itu kadang-kala perlu, but in a right context. Jika kita menafikan hak-hak sesetengah orang dengan mendiskriminasikan mereka, itu salah. Seperti dasar Apartheid yang membezakan seseorang mengikut warna kulit dimana rakyat Afrika yang berwarna hitam dianggap sebagai golongan kelas kedua.

Thursday, 20 October 2011

Hati, akal dan jasad. Siapa pemandu?

Salam,



Semua orang mahukan yang terbaik buat dirinya. Ada ke orang yang nak yang tak baik untuk dirinya sendiri? baju nak yang paling kotor, seluar lagi banyak koyak lagi bagus, rumah kalau air hujan boleh masuk lagi seronok, kereta kalau tak boleh gerak itu pilihannya. Ada ke? (ke ada?). Lumrah seorang itu mahukan yang baik-baik belaka. Jangan kita ingat bila seseorang itu dah ditarbiyah, hilang sifat kemanusiaan dia. Tiada dah hawa nafsu, semuanya iman. Iman. dan Iman. Kalau kamu kata YES, kamu bohong. 


Manusia tidak boleh melawan fitrah dirinya, tapi kita boleh mengawalnya. Manusia bukan jasad semata-mata. Juga bukan hati semata-mata. Manusia secara amnya terdiri dari 3 unsur utama; hati, akal dan jasad (Roberto Gathering, October 2011). Jasad tanpa hati dan akal? Binasalah ia. Akal tanpa hati? porak-perandalah. Hati tanpa akal dan jasad? Apa yang mampu dilakukan.


Hati boleh diibaratkan sebagai takwa. Hati digunakan untuk memandu jasad supaya kearah yang betul. Akal digunakan untuk memikirkan kebesaran-kebesaran, tanda-tanda dan kekuatan ciptaanNya. Jasad adalah untuk melihat, mendengar, merasa dan juga menunjukkan kesyukuran kita kepadanya. 






Jasad sepatutnya dipandu oleh akal dan hati. Tapi apa yang selalunya berlaku, jasad yang memandu, yang lain hanya menumpang, menjadi pak turut. Cuba kita fikirkan situasi di bawah ini.


Masa untuk makan.


Jasad: Dah pukul 1, aku nak makan tengahari!


Hati: Sabar dulu, kau tak lapar lagi wahai jasad. Bukankah Rasulullah pesan makan apabila lapar?


Jasad: Argh kau hati, ada je nak halang aku. Akal! mana kau. Carikan aku makanan yang paling best sekali yang kau boleh fikir.


~~Akal yang lemah akan hanya menurut~~


Akal: Baik lah abang Jasad. Biar saya fikirkan menu terbaik sekali.... Apa kata abang Jasad pergi makan Burger Ramlee Double Special tambah cheese triple. Beli 3 bungkus.


Jasad: haa! bijak pon akal. ni yang aku sayang kat kau ni. Tak macam si Hati ni, asyik nak membantah je.

Sunday, 9 October 2011

Realiti masyarakat. Beginikah kita?

Salam,

Sedikit perkongsian pengalaman.
********************************************

"Bandu, bila Boy(bukan nama sebenar) sampai kat sini kan waktu awal-awal sampai dulu, Boy rasa pelik. Orang-orang yang baik-baik kat (Boy gelar orang alim) sini tak macam orang yang kat Malaysia. Sesetengah orang alim ilmu agama kat Malaysia tu kerek sangat. Diorang pandang rendah orang-orang yang cetek ilmu agama ni. Boy rasa macam ada perbezaan yang ketara antara kitorang. Ye la, Boy bukanlah alim sangat macam diorang", Boy memulakan bicara.

Aku sekadar mengangguk. Menunggu ceritanya dihabiskan.

"Boy tau la Boy macam mana, kat tahap mana. Memang la Boy pergi bersukan pon pakai seluar pendek je. Ada sekali tu diorang tanya, dulu SPM dulu berapa markah PI. Boy pon cakaplah dapat A. Lepas tu diorg cakap lagi, mesti A cukup-cukup makan kan," Boy mengeluh, menyatakan rasa tidak selesa di hati.

" Ye ke, ish memang tak patut", aku membalas.

Boy menyambung cerita, " Diorang ingat orang macam Boy ni tak boleh score ke PI tu? Ada jugak time kat uni kat Malaysia dulu kan, ada la geng2 ni yang datang ke bilik. Diorang cakap diorang ada buat prog tadarus kat masjid. Tapi yang buat sakit hatinya kan, diorang siap cakap lagi yang diorang buat tadarus ni ikut group-group. Yang slow ni group lain. Yang laju ni group lain. Macam pandang rendah kat kitorang pulak. Housemate Boy yang time tu ada kat situ pon panas la, dia ni memang tiap2 lepas Maghrib biasakan diri untuk mengaji. Dia panas, sebabnya kenapa lak kena buat camtu. Dia ingat dia siapa nak pandang rendah kat orang."

Good explanation. Tolong dengar sampai habis.

"Betul jugak tu Boy. Kalau nak cakap, tipikal orang Melayu macam tu la. Pandang rendah kat sesetengah orang yang lain. Diorang ingat diorg ni dah habis 'warak'. Mungkin betul diorang ni alim (berilmu), lagi-lagi bidang agama. Tapi tak bermakna diorg ni lebih bagus. Tak semestinya orang yang warak, sentiasa pergi masjid, mengaji Quran tak tinggal semuanya boleh score A subjek PI. Tak semestinya orang yang aurat tak tutup, masjid jarang pergi, Quran jarang baca tak boleh score PI. Siapa kita untuk menilai seseorang itu sampai ke situ?", aku mencelah percakapan Boy.

Tambahku lagi, " Kalau semua orang yang 'alim' ni berperangai macam tu, macam mana orang-orang yang jahil agama ni nak tertarik pada Islam? Siapa nak bimbing orang-orang yang jahil ni kalau bukan orang-orang yang berilmu (alim) ni?"

Time tengah bercakap tu teringat pulak aku kat satu babak dalam 'Nur Kasih The Movie'