Salam,
apabila kita berdampingan dengan seseorang, mesti secara sedar atau tidak sedar, sedikit mahupun banyak kita akan terpengaruh dengannya. Teringat hadis Nabi
Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang saleh dan berkawan dengan orang jahat adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang peniup dapur tukang besi. Penjual minyak wangi, dia mungkin akan memberikan kamu atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapatkan aroma harum darinya. Tetapi peniup dapur tukang besi, mungkin dia akan membakar pakaianmu atau kamu akan mencium bau yang tidak sedap. (Sahih Muslim)
Kawan-kawan memainkan peranan dalam kehidupan kita. Masakan tidak, orang boleh menilai mengenai diri kita hanya dengan melihat dari siapa kita berkawan. Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu kawan kita dimana boleh, setahap yang kita mampu. Memang kita perlu memilih dengan siapa kita berdampingan tapi kita juga perlu berkawan dengan semua. Tidak kiralah bagaimana sifat mereka, siapa mereka.
Tapi kita perlu berhati-hati supaya kita tidak terpengaruh dengan pengaruh negatif (jika ada) yang dibawa oleh mereka. Sebaliknya, kita yang perlu memainkan peranan untuk mempengaruhi dia untuk lebih mendekatkan diri dengan Islam. Bagaimana? Banyak caranya. Antara cara yang paling berkesan, tapi mungkin memakan masa yang lama adalah dengan menunjukkan qudwah yang baik. Jika kita melihat ada diantara kawan-kawan kita yang terjebak dengan maksiat ataupun melakukan sesuatu yang tidak patut, menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan sesuatu.
Ramai orang menyalahsangka akan perintah Allah yang menyuruh mengubah sesuatu dengan tangan, jika tidak mampu dengan lisan (perkataan) dan dengan selemah-lemah iman adalah merasakan bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah di dalam hati kita. Kita perlu juga melihat kepada konteks perkara itu, siapa kita berbanding pelaku maksiat/kesalahan itu. Sebagai contoh, mengubah kemungkaran dengan tangan (kuasa) adalah lebih applicable kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa, yang mampu, dan selalunya mereka-mereka ini adalah dari golongan pemerintah, orang atasan, orang yang dilantik/diberi kuasa.
Tetapi ini juga bukan alasan untuk kita tidak melakukan apa-apa.