Sudah lama ingin aku menulis entry ini, namun hasrat itu dibiarkan terkubur sehinggalah kini.
Bagaimana Clinic PC Day bermula?
Sepanjang tahun 2009 dan awal 2010 aku melihat ramai (atau mungkin segelintir) dikalangan pelajar Melayu (terutamanya perempuan) di Adelaide mempunyai masalah dengan komputer. Kebanyakkan daripada masalah itu berkisar di sekitar virus, spyware, adware, driver problem dan lain-lain dimana masalah itu merupakan suatu perkara yang tidak begitu susah untuk diatasi namun ramai yang tidak tahu bagaimana dan apa yang patut dilakukan apabila bertemu dengan masalah sebegitu.
Pada permulaan, aku membantu dan memberi nasihat berkaitan komputer kepada beberapa orang rakan. Lama-kelamaan, bilangan orang yang meminta bantuan semakin bertambah dan bermula dari mereka yang aku kenal, semakin lama semakin ramai yang tidak aku kenali menghubungi aku untuk meminta bantuan berkenaan komputer.
Mujur, aku dibantu oleh rakan serumah yang pernah berpengalaman bekerja di kedai komputer di samping keinginan dan minat aku dalam mendalami ilmu berkaitan bidang perkomputeran.
Malware alert! |
Aku bermula dengan menerima laptop-laptop dari rakan-rakan yang memerlukan bantuan untuk 'remove virus/malware', 're-format laptop', 'replace hard drive', 'add RAM' dan 'solve drivers problem'. Ada juga masa-masa tertentu dimana rakan-rakan meminta nasihat berkenaan komponen apa yang perlu dibeli, adakah komponen-komponen itu 'compatible', mana satu yang sesuai dengan kegunaan mereka, membina sebuah 'desktop' baru dan lain-lain.
Sekitar hampir dua tahun aku membantu rakan-rakan dalam masalah berkaitan dengan komputer. Itu memang minat aku, mendalami bidang perkomputeran, mengambil tahu mengenai gajet-gajet terkini dan perkembangan teknologi.
Sepanjang tempoh itu, aku langsung tidak meminta sebarang bayaran ataupun upah. Namun jika ditawarkan, aku akan menerimanya.
Rakan serumahku yang lain pernah berkata, "kesian aku tengok kau. 'Charge' la diorang sikit. Kau spend banyak masa kau tolong diorang, takkan tak dapat apa-apa pon"
Aku kata, aku tolong-tolong gitu je. Bukan untuk buat duit atau dapat untung.
Sampai suatu masa, aku merasakan bahawa aku perlu melakukan sesuatu, supaya lebih ramai orang tahu bahawa aku boleh membantu mereka dan lebih ramai orang mampu aku bantu. Maka, terhasil lah idea penubuhan group 'Facebook Clinic PC Day' pada tanggal 1 Jun 2011.