Mari ikut blog ini

Tuesday, 14 December 2010

Berbicara mengenai Fikrah

Salam,

Beberapa hari yang lepas, aku menghadiri majlis makan-makan yang bertajuk 'Makan ketam dan Tazkirah Maal Hijrah'. Majlis ni bersifat tidak formal, dan Person In Charge (PIC) adalah aku. Majlis ini adalah kesinambungan dari program menangkap ketam di Port Parham beberapa hari sebelum itu.Diadakan di Asquith (SQ), hampir kesemua pelajar undergraduate yang masih belum pulang ke Malaysia hadir. Kehadiran telah melebihi jumlah yang dijangkakan dan mereka yang hadir tidak dapat menambah nasi kerana telah habis.

Selesai tazkirah oleh Dr Duwe, maka semua orang memenuhi ruang disekeliling talam-talam yang telah disediakan oleh pihak tuan rumah. Selesai makan, aku mengambil tempat berdekatan dengan sudut belakang ruang tamu rumah berkenaan. Aku menggunakan masa yang ada untuk berbual dengan beberapa orang rakan. Selang beberapa minit, tiba-tiba aku didatangi oleh salah seorang tetamu yang hadir. Beliau seorang tabligh. Aku menghormati mereka-mereka yang terlibat dengan tabligh kerana mereka kebanyakkannya mempunyai kemahiran bercakap yang tinggi, pandai mengambil hati, berani mendekati seseorang yang tidak mereka kenali, dan sanggup pergi ke destinasi-destinasi asing untuk berdakwah. Mungkin ada banyak lagi kelebihan mereka, tapi cukup sekadar itu aku katakan.