Mari ikut blog ini

Wednesday, 4 February 2015

Fly!

"Arfa, cepat sikit jalan tu. Kalau lambat nanti kantoi bai!", Aizat menjerit dalam berbisik. Mahu sahaja bercakap dengan kuat, namun bimbang sekiranya aktiviti rahsia mereka terbongkar.

Malam itu malam minggu. Jumaat malam Sabtu.

12.00 tengah malam.

Empat sekawan berjalan umpama berjalan di kawasan periuk api. Penuh cermat, sambil mata meliar memerhatikan persekitaran.

Senyap dan cermat. Sasarannya, pagar berdekatan asrama yang berlubang. Disekeliling kawasan sekolah, terdapat beberapa port yang digunakan untuk meloloskan diri ke dunia luar.

Selamat sampai ke lokasi.

"Nabil, kau usha sikit kalau-kalau ada pak guard lalu. Arfa, kau keluar dulu", Aizeq memberikan arahan.

"Wei, tolong tarik sikit pagar ni. Karang koyak pula baju aku", Arfa memanggil Aizat untuk membantunya keluar.

Port Fly 1: Lubang kecil belakang asrama lelaki

Port ini menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelajar yang ingin fly keluar. Maklumlah, dekat dan jauh dari pondok pak guard. Risiko pon kurang. Tapi, perlu berjalan jauh dan melalui kawasan semak samun sebelah masuk ke kawasan perumahan.

Jiwa kental? fly la seorang diri lalu Port Fly 1!

***

"Semua dah keluar? Ok jom gerak. Arfa, kau jalan depan macam biasa", Nabil yang dari tadi membisu bersuara.

Sepanjang melalui kawasan semak samun, tiada yang bersuara. Suasana sunyi sepi diselang-seli dengan bunyi cengkerik.

Masing-masing berjalan laju. Risau sekiranya ternampak kelibat yang bertenggek di atas pokok seperti yang pernah diceritakan Adib beberapa hari yang lepas.

"Fuh, lepas pon kawasan keras. Laju juga kita jalan tadi. Tiap kali lalu situ, mesti meremang bulu roma aku. Lagi-lagi lepas dengar cerita Adib 3 hari lepas", ujar Arfa.

Bertubuh sasa, namun jika berlaku apa-apa, pasti dia orang pertama yang hilang.

Hah! Kecik-kecik dah pandai panjat pagar

"Kita nak pergi Big Mug dulu ke Network?", Aizat bertanya dikala empat sekawan melewati kawasan perumahan teres majoriti didiami oleh bangsa Melayu.

Kawasan perumahan itu terletak betul-betul bersebelahan dengan pintu pagar MRSM Kuantan dan hanya dipisahkan dengan sebuah longkang besar.

"Kita pergi Network dulu la. Dah lama dah tak main ni. Lagi pun kalau lambat nanti penuh pula Network tu", sahut Aizeq.

Nabil dan Arfa mengangguk tanda setuju.

Tiba di jalan besar. Zon bahaya. Kawasan berisiko kerana lebih terdedah. Jalan raya lengang. Sekali sekala kereta melewati mereka dan sejurus kemudian hilang dari pandangan. 

Masing-masing berjalan laju. Sama ada tidak sabar hendak bermain games ataupun mahu cepat keluar dari zon bahaya.

Pernah sahaja beberapa kali rakan-rakan yang lain terserempak dengan kereta warden asrama ataupun cikgu-cikgu yang tinggal berdekatan. Habis, lintang pukang kesemuanya berlarian. Bagai lipas kudung.

Sehingga ada yang tertinggal selipar kerana mahu mengelakkan dari ditangkap oleh warden. Sambil berlari muka ditutup sebelah tangan bimbang kalau-kalau wajah mereka dicam warden asrama. 

Jika dicam, esok pasti naik nama dan dalam masa seminggu akan dipanggil oleh JDM (Jawatankuasa Disiplin Maktab). Yang dipanggil pasti tidak akan terlepas. Diberi amaran atau digantung sekolah. Namun bergantung pada budi bicara. 

Buat muka baik tak bersalah, rambut sikat tepi, baju tuck-in, inshaAllah lepas tanpa digantung sekolah.

***

Lepas zon bahaya, Jalan Dato Bahaman.

Apa lagi? Masa untuk bermain!

12.20 pagi.

Dari luar, kelihatan seperti tiada kedai yang masih beroperasi pada waktu ini. Namun, ada perkara yang hanya diketahui oleh orang-orang yang tertentu.

"Nabil, macam biasa. Do your thing", pesan Aizeq kepada Nabil.


Nabil yang dari tadi berada di belakang bergerak mendekati pintu kaca sebuah bangunan yang tertulis "Network" di papan tandanya. 

Pintu diketuk sekali.

Tiada respon.

Pintu diketuk sekali lagi.

Pintu dibuka separa. Keluar seorang apek berambut kuning coklat berwajah masam. Ditenung tepat kewajah Nabil.

"Haiya. lu olang ka. wa ingat siapa la tadi. Mali masuk dalam"

"Ada banyak lagi kosong?"

"Banyak lagi maa. Malam ini sikit olang. Member-member lu pon sudah ada dalam"

Kalau dah masuk CC, main game la gayanya!

Nabil masuk ke dalam cyber cafe atau yang lebih dikenali sebagai Network dikalangan pelajar MRSM.


"Eh, Khazu dan Muaz dah sampai dulu lah sebelum kita", Nabil tergelak kecil dan diikuti oleh yang lain.


"Apek, bagi open dulu ini komputer", Aizeq separa menjerit kepada lelaki berbangsa Cina yang sedang duduk di belakang kaunter.


Tidak sabar untuk mula bermain, semua yang lain bergegas berjalan menuju ke komputer-komputer lain yang berdekatan.

Suasana riuh di dalam cyber cafe seolah-olah sedang berada di kedai mamak yang penuh dengan pengunjung yang menonton perlawanan diantara Manchester United melawan Chelsea. Tapi apa yang berbeza, di situ hanya terdapat enam orang pelajar MRSM beserta dua orang apek; seorang menjaga kaunter dan seorang lagi sedang asyik melayari internet.

Tenggelam di dalam dunia mereka sendiri, melayan keseronokan dunia maya yang hanya bersifat sementara.

"Wei, lapar-lah. Dah dua rounds kita main, jom pergi Big Mug la pulak. Dapat nasi lemak telur mata pon sedap pagi-pagi buta ni", Aizat bersuara dikala yang lain sedang khusyuk melayan permainan video.

"Betul jugak tu. Aku pon dah lapar. Habis round ni, kita gerak Big Mug", Nabil mengiyakan saranan dari Aizat tadi.

Penat 'berperang', mestilah lapar. 

2.30 pagi.

Selesai membayar di kaunter, Aizat, Aizeq, Nabil, Arfa, Khazu dan Muaz berjalan pula menuju ke Big Mug; sebuah kedai makan yang tidak asing lagi bagi kebanyakkan pelajar-pelajar yang bersekolah di sekitar situ.

Kedai yang hanya dibuka pada waktu malam itu sering menjadi port bagi pelajar-pelajar yang 'fly', tidak kira dari sekolah mana mereka berada. Persinggahan sementara, untuk mengisi perut yang lapar serta melepak. Menu special: Nasi lemak double telur mata bersama segelas besar cawan air jus buah.

"Muaz, kau ada tulis tak apa yang budak-budak ni kirim? Rasa macam banyak je tadi", soal Khazu.

Muaz sering diminta untuk membelikan makanan dari Big Mug bagi kawan-kawan yang tidak keluar fly. Moto beliau: bantu membantu amalan mulia.

"Ada-ada. malam ni banyak sikit. Korang tolong aku angkat tau time balik bilik nanti"

Mereka tidak lepak lama. Selesai makan dan menerima makanan yang ditempah oleh yang lain di asrama, mereka bergerak pulang. Mengantuk barangkali.

"Nak masuk ikut port mana ni? Aku malas la nak lalu Port Fly 1, jauh. Mengantuk dah ni. Kita masuk ikut Port Fly 2, ok?", Muaz memberikan cadangan. Hanya beberapa minit berjalan sahaja lagi, mereka akan tiba di Port Fly 2.

Terletak berdekatan dengan rumah ketua warden serta perlu melintasi sebuah padang bola, Port Fly 2 bukanlah menjadi favourite kepada kebanyakkan pelajar. 

Ditambah pula dengan pancaran lampu limpah tepat ke padang dari blok akademik menambah risiko pergerakan mereka melintasi padang akan dilihat.

"Ah, nekad je la. Aku pon malas nak pusing jauh. Kita redah jela", Arfa menyokong cadangan Muaz.

Mata masing-masing kuyu, hanya menunggu masa sebelum tertutup sepenuhnya.

Sambil memegang plastik yang mengandungi 6 bungkus polisterin, Muaz mengepalai perjalanan melintasi satu-satunya padang bola yang ada di MRSM Kuantan.

"Gerak sorang-sorang, jangan lupa usha line. Kalau tak clear, tunduk!", pesan Aizeq.

Enam sekawan bergerak seorang demi seorang dipisahkan dengan jarak sekitar 5 meter menuju ke asrama. Baru sahaja melintasi garisan tengah padang, Aizat menjerit perlahan, cemas!

"Cikgu Nordin!"

Semua segera tunduk dalam posisi merangkak. Seperti skuad komando. Senyap tidak bergerak. Mata masing-masing memerhati pergerakan motosikal Cikgu Nordin yang sedang melewati padang bola di arah yang bertentangan. 

Rutin malam, warden mengelilingi sekolah untuk menangkap mana-mana pelajar yang tidak berada di dalam asrama pada waktu sebegitu.

Cemas. Masing-masing risau pergerakan mereka tadi dihidu oleh Cikgu Nordin. Jika kantoi, pasti buruk padahnya. Pernah diceritakan oleh senior bahawa ada pelajar yang kantoi fly disuruh berguling-guling di padang bola dari satu tiang gol ke tiang gol yang lagi satu.

Laluan bertar di sebelah padang bola sepak

Beberapa saat berlalu, motosikal tua berwarna biru gelap beransur-ansur hilang dari pandangan.

Masing-masing menarik nafas lega.

"Jom gerak. Lambat-lambat, nanti takut Cikgu Nordin mai balik!"

Kali ini masing-masing berlari. kesian Khazu tertinggal di belakang sekali. Bertubuh sedikit gempal menyukarkan dia dari berlari selaju kawan-kawan yang lain.

"fuh.... Selamat"

Memandang diantara satu sama lain, kemudian mereka tergelak. Teringat detik cemas yang baru berlalu.

"Dah la, jom tidur. Koyak dah mata aku ni. Esok nak bangun solat Subuh lagi. Siapa bangun, jangan lupa kejut aku tau", pesan Nabil kepada yang lain.

"Fly, fly jugak. Tapi solat tak tinggal, nasib baik aku ada kawan macam kau", bisik Aizat dalam hati.


No comments:

Post a Comment