Alhamdulillah, tadi berkesempatan akhirnya untuk berjalan-jalan di Morialta Conservation Park sambil mentadabur alam. Subhanallah. Indahnya alam ini. Walaupun perjalanan ke lokasi sekadar mengambli masa tidak sampai 30 minit, namun ianya cukup bermakna. Setibanya di Morialta, kami bergerak menuju ke lokasi air terjun yang paling rendah sekali.
Simple yet beautiful
Boleh saja untuk pencipta alam ini untuk menciptakan dan mengisi alam ini dengan sesuatu yang lain, yang tidak pernah dan mungkin tidak terfikir oleh dek kepala akal kita yang itupun diciptakan oleh Maha Pencipta.
Mengapa menunggu untuk sehingga terjumpa UFO misalnya barulah hendak kita meyakini akan kekuasaan Allah itu. Ataupun menunggu kalimah-kalimah Allah terbentuk di awan, badan-badan ikan, Pokok-pokok, mahupun bencana-bencana alam yang semakin kerapkali melanda kebelakangan dua tiga tahun ini. Tidakkah kita melihat ciptaan-ciptaan Allah yang telah tersedia di sekeliling kita semenjak kita lahir ini sebagai petunjuk kekuasaanNya?
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal"
(Surah Ali Imran ayat 190)
Sebut sahaja apa yang mampu kita lihat sentuh dan rasa. Awan? Air? Rumput? Siang dan malam? Badan kita sendiri itu merupakan satu ciptaan yang sungguh indah sekali. Cuba bayangkan sekiranya semua rambut/bulu di badan kita tumbuh pada kadar yang sama. Apa yang akan terjadi? Sungguh pada setiap ciptaan itu ada perkiraannya sendiri. Subhanallah.
******
"Ana tak habis lagi 'silibus' lama. Ni kalau kita masuk 'buku' baru macam mana?"
Sedikit sebanyak antara perkara yang dibualkan kami. Namun jawapan beliau sungguh tepat dan benar.
"Tarbiyyah bil ahdaf"
Kami memandang sesama sendiri. Muka sedikit keliru. Tapi perkataan itu seakan pernah didengari.
"Antum tahu apa maksudnya?"
Kami senyap.
"Tarbiyyah berorientasikan objektif"
Kita bergerak bukan dengan satu pergerakan statik. Tidak semestinya garisnya lurus, kita berjalan lurus. Ada masa terdapat halangan di depan. Tiba masanya, kita mungkin perlu memperlahankan langkah, memikirkan cara, mengutarakan idea, memilih yang terbaik. Dan semua itu memakan masa, memerlukan pengorbanan, menuntut kesabaran. Tarbiyyah itu fleksibel, bukan sekadar apa yang berada di dalam buku.
Buat sesuatu mengikut keadaan semasa, suasana, kesesuaian. Apakah gunanya kita mendermakan beribu-ribu naskah yasin ke masjid-masjid sekiranya pembacanya hanyalah dua tiga kerat orang? Apakah gunanya kita memasang penyaman udara di setiap sudut yang ada jika tujuannya hanyalah untuk menyamankan seorang imam dan seorang makmum?. Jika keperluan pada ketika ini adalah untuk meramaikan jemaah, buat apa kita membanyakkan masjid? Jika keperluan pada ketika itu memberi makan pada yang memerlukan buat apa kita membina bangunan beribu-ribu tingkat tingginya?
Mungkin ada baiknya tapi yang jelas waktunya tidak kena, mereka yang sepatutnya dapat terpinggir, perkara yang sepatutnya perlu dibuat terbiar tidak berjalan.
******
Mungkin itulah yang paling tepat mengterjemahkan apa yang diperkata.
Mengapa perlu menunaikan haji sehingga sepuluh kali tetapi berdakwah sekali pun tiada? Bukankah kewajipan menunaikan haji itu sekali, dan jatuh pada yang mampu.
Sekiranya kita lihat pada zaman kegemilangan kerajaan Islam Abbasiyah. Pada ketika itu wilayah yang berada dibawah kekuasaan Islam tersangatlah luas. meliputi 2/3 daripada bumi ini. Maka keperluan pada ketika itu tidaklah lagi menjurus kepada perluasan wilayah, tapi penyebaran ilmu-ilmu. Sebab itulah melalui sejarah kita dapati bahawa kerajaan Abbasiyah melahirkan ramai cendekiawan dan ahli-ahli bijak pandai.
Pernahkah mendengar kisah mengenai seorang raja dan sekumpulan orang-orang miskin?
Apakah yang sebaik-baik tindakan yang perlu dilakukan oleh seorang pemerintah? Adakah kita akan menyuapkan mereka dengan makanan tiap-tiap hari sehinggalah akhirnya poket kita juga yang kosong?
Berikan mereka ikan dan mereka akan kenyang sehari.
Berikan mereka jala dan mereka akan kenyang selagi mana mereka mengambil manfaat daripadanya.
Bukankah itu yang terbaik? Bukannya kita memberi apa yang mereka mahukan secara membabi-buta tapi berikan mereka didikan supaya mereka mampu berpijak dengan kaki sendiri.
Tidak semua benda perlu berjalan secara terbuka, diketahui oleh semua, disebarkan pada semua. Sirr ataupun rahsia itu perlu sekiranya keadaan memanggilnya untuk menjelmakan diri. Menyembunyikan apa yang perlu untuk kemaslahatan yang lebih besar. Tapi apabila tiba masanya, maka perlulah dijelmakan dan dizahirkan.
Lain pula pada ketika pemerintahan kerajaan Islam Umayyah. Pada ketika permulaan pemerintahan, keluasannya tidaklah luas dan maka keperluan pada ketika itu adalah untuk meluaskan pengaruh dan menyebarkan dakwah ke kawasan-kawasan, negara-negara sekitar. Bukannya untuk menuntut dan mengasah bakat-bakat dalam bidang syair, puisi, pantun. Bukan juga dalam bidang kejuruteraan, sains dan farmasi. Semuanya bergantung pada keadaan dan keperluan. Salah tempat dan waktu, maka gagallah suatu pergerakan, suatu tindakan itu.
Tidak perlu 'rushing' to get things done kerana risau tidak tercapai akan objektif. Tapi juga tidak boleh terlalu 'slow' kerana risau akan terkebelakang.
Maka berbuatlah sesuatu itu atas dasar mana yang penting, mana yang lebih memberi manfaat kepada yang lain. Mungkin kedua-dua pilihan itu baik, tapi mungkin kurang kesesuaian.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah Salawatu Alai Wasalam, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".
H.R. Muslim
H.R. Muslim
Wassalam
AF
p/s: Penulis adalah seorang manusia, sebarang kesilapan mahupun keterpesongan fakta atau perbezaan pendapat sila nyatakan pada komen supaya boleh diubah/ditambah/ditolak
No comments:
Post a Comment