Salam,
Hari ini 4 Ramadhan. Pagi hari dimulakan dengan bersahur dan solat sunat. Menu bersahur adalah menu berbuka hari semalam, lumrah hidup bujang. Housemate yang dijadualkan memasak akan memasak juadah berbuka untuk hari itu serta bersahur untuk keesokan harinya. Jadi pada kebiasaannya, juadahnya sama.
Selesai bersahur, kami bersiap untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Wandana (Masjid Abu Bakr Assiddiq). Seusai solat, aku bergerak ke pintu masjid. Terdengar sedikit riuh-rendah kanak-kanak berbicara. Aku memerhatikan gelagat mereka.
Boy A: "This is an ipad"
Boy B: "No, this is an ipod"
Boy C: "ipad is big and ipod is small. My father owned them"
Boy A: "I know. My father too. But this is an iphone"
Dari gaya dan lagak mereka, aku menyangka mereka berada dalam lingkungan umur 10 tahun. Apa yang kanak-kanak berumur 10 tahun ini berbicara? Berkenaan ipad, iphone dan ipod. Ada yang tergelak memerhatikan gelagat mereka.
Aku berhenti seketika dan berlalu pergi.
Inikah apa yang sering dibualkan oleh kanak-kanak sekarang? Perihal gajet-gajet, perihal permainan video, perihal siapa yang punyai semua itu? Adakah kanak-kanak yang sama seantero dunia turut mempunyai gejala yang sama?
Pertama kali aku memiliki telefon bimbit adalah ketika aku berumur 15 tahun (tingkatan 4). Itupun hasil dari duit yang aku perolehi, bukannya hadiah dari sesiapa.
Dan pertama kali mamaku memiliki telefon bimbit adalah ketika beliau sudahpun lama bekerja! Aku masih ingat telefon bimbit pertama yang dimilikinya. Hanya punyai fungsi-fungsi asas, sekadar menghantar sms dan juga membuat dan menerima panggilan.
Namun, adikku yang bongsu sudahpun memiliki telefon bimbit sendiri ketika berada di sekolah rendah lagi.
Arus perubahan berlalu dengan pantas, mereka yang tidak peka akan ketinggalan. Mereka yang terlalu mengikut akan lemas dibuai arus.
Wahai Pemuda
Pemuda itu tonggak kepada ummah. Apa yang sering dibicarakan sangat hampir menggambarkan siapa mereka. Berborak mengenai hiburan yang melampau?
Imam Hasan al-Banna pernah berpesan:"Ketika ada setiap kebangkitan ummat, pastilah pemuda menjadi tiangnya, di setiap sebalik pemikiran manusia, pastilah pemuda menjadi pengibarnya."
Begitu juga dengan ulama terkenal, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, beliau menegaskan, "Pemuda itu ibarat matahari ketika jam 12 tengah hari. Panasnya begitu terik, cahayanya begitu terang"
Adakah itu adalah pemimpin pada masa hadapan.
Ungkapan dari Saidina Ali yang bermaksud(sila semak kesahihan), "Jika kita ingin lihat pemimpin masa hadapan,lihatlah pemuda pada hari ini"
Sejauh mana kebenaran ungkapan-ungkapan mereka?
Refleksi diri. Sama-sama kita fikirkan |
Syahadah kita
Semua orang yang mengaku dirinya beragama Islam mesti beriman pada Allah, Tuhan yang esa dan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruhNya.
Lafaz. Meskipun seekor burung kakatua (nuri) bisa melafazkan syahadah sekiranya diajarkan padanya untuk bersyahadah.
Ditulis oleh Syeikh Abu Al-A’la al-Maududi di dalam sebuah kitab yang berjudul Syahadatul Haq, setiap orang Islam yang melafazkan syahadah itu mempunyai dua tanggungjawab/hak yang perlu ditunaikan kepada syahadah itu.
Yang pertama, syahadah perkataan. Kita bukan sekadar melafazkan ungkapan syahadah, tetapi kita menyampaikan hakikat Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada orang lain, melalui kata-kata, melalui penulisan atau apa sahaja media yang boleh kita jadikan sebaran.
Bukannya hakikat itu kita kumpul, telaah, fahami dan kemudian kita simpan untuk kita sendiri sahaja.
Yang kedua, syahadah perbuatan. Kita bukan sekadar melafazkan dan menyampaikan melalui lisan dan perantaraan medium-medium yang ada, tetapi kita menterjemahkan syahadah kita dalam bentuk perbuatan.
Kita mengamalkan apa yang kita pelajari, dan menjadikan diri kita sendiri sebagai medium penyebaran hakikat Islam itu sendiri.
Kita bukan sekadar melaung-laungkan ungkapan-ungkapan Islam, tetapi zahir perbuatan kita berbeda dengan apa yang kita laungkan.
Malah, syahadah perbuatan inilah yang lebih penting, dan meninggalkan bekas yang mendalam kepada mereka yang melihat. Umat manusia menjadi saksi ke atas perbuatan kita yang digelar sebagai seorang muslim. Adakah tingkah-laku dan perbuatan kita seiringan dengan catatan berkenaan dengan Islam yang tertulis dalam Al-Quran, dan kitab-kitab penulisan manusia?
"Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) 'Umat pertengahan' agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu..." [Al-Baqarah:143]
Umat manusia akan menjadi saksi atas perbuatan kita. Adakah kita yang membawa fitnah kepada ajaran Islam ini atas dari perbuatan kita?
Kita
Kita menyaksikan bagaimana masyarakat di sekeliling kita berkembang, dan pada masa yang sama perkembangan kita turut disaksikan oleh mereka yang lain.
Mungkin kita tahu tapi kita kurang peduli, mungkin kita tidak ambil peduli dan mungkin juga kita tidak tahu dan kita tidak ambil peduli.
Wahai pemuda! marilah kita bersama penuhi hak syahadah yang kita lafazkan itu.
Islam pasti akan tertegak, tetapi sesungguhnya tidak tertegak Islam secara sendirinya, melainkan ditegakkan oleh manusia.
Bukanlah semudah kata-kata, tapi tidaklah sehingga dikatakan mustahil.
"Tegakkan daulah Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di bumimu"
(Mustafa Masyhur)
Salam. Ana nak letak dalam blog PEMBINA Kedah boleh? Syukran jzkk.
ReplyDeleteW.salam. Kalau paku rasa sesuai letaklah.
Delete