Mari ikut blog ini

Sunday, 28 October 2012

Aku dan Usrah

Salam,

Ada apa dengan usrah? Ramai yang tertanya-tanya akan persoalan ini. Majlis ilmu? Majlis makan-makan? Masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan? Bulatan gembira? Bulatan Alien?

Suatu masa dahulu, aku juga pernah berada di situ. "Usrah ni untuk budak baik-baik je"

Aku mula berusrah secara konsisten pada tahun pertama aku menyambung pelajaran di University of Adelaide, pada tahun 2009.

Bukannya aku tak pernah dengar apa itu usrah. Masa di sekolah dulu pon aku pernah usrah. Tapi main lari-lari. Setahun berapa kali sahaja. 'Bapak usrah' pon aku tak kenal.

Kemudian sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas, sekali lagi aku terlibat dengan usrah. Aku di 'assigned' kepada seorang naqib ketika minggu orientasi, dan kemudian beberapa minggu, aku dihubungi oleh beliau. Di UTP, ada satu badan/organisasi yang dikenali sebagai Rakan Masjid. Mereka inilah yang menguruskan perkara-perkara yang melibatkan aktiviti kerohanian di UTP.

Namun perkara sama yang berlaku, aku hanya sempat hadir usrah beberapa kali. Naqib aku pada ketika itu pun tidak aku kenali. Sama juga dengan rakan usrah yang lain. Semuanya asing bagiku. Pendek kata, sekali lagi aku main lari-lari.

Bagi aku pada ketika itu, usrah itu buat mereka yang punyai masa lapang dan ingin menambah ilmu agama. Jika rasa bebas dari tugasan-tugasan universiti, maka bolehlah menghadirkan diri, itu pon, malas-malas. Jika tidak, jangan harap.




Di Adelaide, sekali lagi aku mendengar istilah usrah. 

"Ah, ada apa dengan usrah?"

"Apa aku peduli, asalkan aktiviti harian aku tidak diganggu. Asalkan kerja aku siap. Asalkan aku boleh main bola. Asalkan aku main game tidak ada orang ganggu. Asalkan aku boleh chatting dengan kawan-kawan aku seperti biasa. Kalau semua ni tak diganggu dan aku ada masa lapang, boleh la nak duduk sekejap dalam usrah"

Bermulalah episod, Aku dan Usrah.

Tiap-tiap minggu, mesti naqib aku at least sekali datang rumah. Selalunya mesti ada benda yang dibawa sama. Selalunya mesti buah-buahan. Patutlah sihat walafiat sahaja aku sekarang!

Kebiasaannya, tiap-tiap hujung minggu kami aku duduk bersama. Aku, ahli usrah dan naqib(-naqib). Kami berbicara dan berkongsi tentang banyak benda. Berpesan dengan perkara-perkara, beraktiviti bersama, bertanya pendapat, berkongsi pandangan. Kadangkala kami ke pantai, kadangkala kami mendaki bukit, kadangkala kami berbarbeque.

"Seronok juga begini kan"

Walaupun ada masa aku tertidur dalam usrah. Bangun-bangun je, "eh,dah habis usrah rupanya."

Ada masa, rasa malas sungguh nak pergi usrah. Tapi mengenangkan masakan sedap menunggu, aku pergi jua.

Ada masa aku rasa menyampah dengan usrah. "Apa ni, tak nampak ke orang tengah sibuk ni?"

Tapi sebab satu rumah aku semua ikut usrah, aku pon ikut la berusrah. Ala biasa la, baru nampak macam budak baik bila ikut usrah.

Bila jumpa kawan yang usrah lain, 

"naqib kau siapa?"

"minggu ni kau usrah tentang pe?"

"Kau usrah hari apa minggu ni?"

Masa berlalu. Sampai suatu ketika, muncul suara-suara. 

"Siapa bapak usrah kau? Dia tu ustaz ke? Belajar agama kat mana? Umur berapa?Kau ingat kau nak jadi ustaz ke? Kita datang untuk belajar engineering, bukan belajar agama"

Apabila berlaku pertembungan antara majlis-majlis ilmu dengan usrah dan aku memilih untuk menghadiri usrah. Muncul suara-suara di belakang.

"Mana lebih aula', kau menuntut ilmu dengan tok syeikh yang berkelulusan dari Al-Azhar dalam bidang syariah ke menuntut dengan naqib kau yang belajar ilmu tak habis, umur baru setahun jagung tu?"


Persoalan mula timbul. Aku mula keliru. Adakah apa yang aku buat ini salah? Betul juga kata-kata mereka. Siapa la naqib aku jika dibandingkan dengan ustaz-ustaz. Rasanya dia tak pernah belajar dalam bidang syariah atau apa-apa. 


Friday, 12 October 2012

Semangat yang dicari!

Salam,

Aku ada ramai kawan, dan kawan aku berbagai-bagai.

Hari ini, kisahnya bukan mengenai aku, tetapi mengenai dia.


********************************************

Nama dia Abu (bukan nama sebenar). Seperti orang biasa, Abu ada kawan, Abu berkawan, Abu bersukan, Abu juga belajar.

Suatu ketika, satu perubahan berlaku pada Abu. Seolah-olah transformasi 360 darjah berlaku. Dari menjadi Decepticon kepada Autobot seperti di dalam cerita Transformers. Bukannya maksud aku sebelum ini dia jahat, kemudian dia berubah menjadi baik. Tidak se-drastik itu.

Jika sebelumnya, sungguh jarang sekali melihat kelibatnya bersolat jemaah di masjid. Namun pada hari itu, dialah antara yang paling awal tiba di masjid. Isyak, Subuh, dialah yang terkehadapan. Setiap hari setibanya aku di masjid, pastu Abu sudahpun berada di sana. Aku kagum.

Jika dahulu dia gemar bergelak ketawa, kini dia lebih banyak berdiam dan mendengar. Jika dahulu, dia lah pemegang mikrofon, kini dia lebih banyak menjadi penonton.

"Hebat Abu! Jika dahulu dia seorang yang jarang mengimarahkan masjid, kini dialah pengunjung setia dan terawal!", benakku dalam hati.

Jika ada mana-mana masjid berdekatan yang menganjurkan berqiam bersama, pastinya kelibat dia akan kelihatan. Teguh, utuh bersolat mengadap Tuhan yang Esa.

Hari demi hari, Abu masih bersemangat dan istiqamah dengan amalannya.

"Moga engkau terus istiqamah Abu!"

Aku tertanya-tanya, apakah perkara yang membawa kepada transformasi ini? Dari mana datangnya 'motivasi' Abu ini untuk terus istiqamah dengan amalan berjemaah di masjid ini?

Bukan senang, untuk bangun di awal pagi melawan godaan bantal dan tilam yang empuk, serta belitan syaitan itu. Sekali-sekala itu mungkinlah, tapi itu berterusan, perlukan kekuatan yang tersendiri!

Tambahan pula di Adelaide, boleh dikatakan setiap pagi itu sejuk. Jika tidak berselimut, alamatnya bekulah anda. Lebih seronok dan mengasyikkan untuk beradu di dalam keselesaan dan ke-suam-an selimut itu! Berbanding kesejukan pagi. Bukan itu sahaja, perlu keluar dari rumah dan memandu menuju ke masjid yang jaraknya bukanlah dekat.

http://www.adelaidenow.com.au/news/south-australia/snow-at-mt-lofty-more-wild-weather-coming/story-e6frea83-1226493307107
(Salji turun di Adelaide, pada 11/10/2012)

Monday, 1 October 2012

Hati ini

Salam,

Ukhuwwah itu soal hati dan aku terkandas dalam berbicara dengannya

Aku bukan orang jiwa, aku gagal menyentuh jiwa

Aku tidak pandai dalam berkata-kata, mungkin kataku terguris di hati

Walau aku tidak pandai serba-serbi, namun aku tetap membuatnya dan melakukannya. Jika bunganya belum mekar, putiknya tidak kelihatan, apatah lagi kelibat buahan yang ranggup dan ditunggu-tunggu.

يامقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.”



"Wahai Tuhan yang menetapkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMU. Mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, kami beriman denganmu dan apa yang kamu bawa, apakah kamu masih takut lagi tentang kami?Jawab baginda: Ya, sesungguhnya hati-hati manusia berada di antara dia jari Allah, Dia membolak balikkannya." (Sunan Ibn Majah) 




****************************

Tetapkan hati ini!