Mari ikut blog ini

Friday, 12 October 2012

Semangat yang dicari!

Salam,

Aku ada ramai kawan, dan kawan aku berbagai-bagai.

Hari ini, kisahnya bukan mengenai aku, tetapi mengenai dia.


********************************************

Nama dia Abu (bukan nama sebenar). Seperti orang biasa, Abu ada kawan, Abu berkawan, Abu bersukan, Abu juga belajar.

Suatu ketika, satu perubahan berlaku pada Abu. Seolah-olah transformasi 360 darjah berlaku. Dari menjadi Decepticon kepada Autobot seperti di dalam cerita Transformers. Bukannya maksud aku sebelum ini dia jahat, kemudian dia berubah menjadi baik. Tidak se-drastik itu.

Jika sebelumnya, sungguh jarang sekali melihat kelibatnya bersolat jemaah di masjid. Namun pada hari itu, dialah antara yang paling awal tiba di masjid. Isyak, Subuh, dialah yang terkehadapan. Setiap hari setibanya aku di masjid, pastu Abu sudahpun berada di sana. Aku kagum.

Jika dahulu dia gemar bergelak ketawa, kini dia lebih banyak berdiam dan mendengar. Jika dahulu, dia lah pemegang mikrofon, kini dia lebih banyak menjadi penonton.

"Hebat Abu! Jika dahulu dia seorang yang jarang mengimarahkan masjid, kini dialah pengunjung setia dan terawal!", benakku dalam hati.

Jika ada mana-mana masjid berdekatan yang menganjurkan berqiam bersama, pastinya kelibat dia akan kelihatan. Teguh, utuh bersolat mengadap Tuhan yang Esa.

Hari demi hari, Abu masih bersemangat dan istiqamah dengan amalannya.

"Moga engkau terus istiqamah Abu!"

Aku tertanya-tanya, apakah perkara yang membawa kepada transformasi ini? Dari mana datangnya 'motivasi' Abu ini untuk terus istiqamah dengan amalan berjemaah di masjid ini?

Bukan senang, untuk bangun di awal pagi melawan godaan bantal dan tilam yang empuk, serta belitan syaitan itu. Sekali-sekala itu mungkinlah, tapi itu berterusan, perlukan kekuatan yang tersendiri!

Tambahan pula di Adelaide, boleh dikatakan setiap pagi itu sejuk. Jika tidak berselimut, alamatnya bekulah anda. Lebih seronok dan mengasyikkan untuk beradu di dalam keselesaan dan ke-suam-an selimut itu! Berbanding kesejukan pagi. Bukan itu sahaja, perlu keluar dari rumah dan memandu menuju ke masjid yang jaraknya bukanlah dekat.

http://www.adelaidenow.com.au/news/south-australia/snow-at-mt-lofty-more-wild-weather-coming/story-e6frea83-1226493307107
(Salji turun di Adelaide, pada 11/10/2012)


Adakah dia mendapat 'nafas baru', semangat untuk istiqamah itu datangnya dari dalam? Adakah dzatiyah Abu itu sendiri yang berjaya dilatih untuk membantunya istiqamah? Jika ya, aku yakin Abu akan berjaya dan tetap dengan kebaikan ini.

Tetapi, bagaimana pula sekiranya 'semangat' ini hanyalah dari faktor luaran, faktor persekitaran? Adakah Abu sekadar ingin membuktikan pada seseorang bahawa dia juga boleh, dan mampu membuatnya? 

Aku tertanya, tetapi tidak ketemu jawapan.

Hari silih berganti, minggu silih berganti. 

Kini sudah masuk minggu ketiga selepas Abu mula 'berjinak-jinak' untuk menjadi 'kaki masjid'. Kadangkala, aku tidak melihat kelibat Abu di masjid. 

"Mungkin Abu ada urusan penting yang perlu diselesaikan kot"

Kadangkala juga, Abu sampai lewat. Ada masanya, imam sudahpun memberi salam.

"Mungkin 'traffic jam' kot. Tak pon 'toilet break'."

Masuk minggu keempat, kelibat Abu susah sekali untuk dilihat.

"Apa yang terjadi pada Abu? Assignments dia banyak sangat ke minggu ni?"

Masuk minggu kelima, kelibat Abu langsung tidak kelihatan.

" Ok, definitely something is not right here"

Aku bertanyakan sahabat yang mengenali Abu dengan lebih rapat akan perkara ini. 

Dipendekkan ceritanya, rupa-rupanya sumber motivasi Abu merupakan sesuatu yang datang dari luaran, dari persekitaran.

Kini, Abu tidak lagi kelihatan di masjid.


Benarlah, apa yang sering aku diingatkan dan aku pegang. Sumber motivasi, kekuatan, semangat itu boleh datang dari luar dan juga dari dalam.

Namun, yang bersifat mendalam dan membekas adalah yang lahirnya dari dalam. Dari dzatiyah, tarbiyah dzatiyah itu. Bukannya dari biah itu. Biah yang soleh itu mampu untuk membantu kita dan menjaga kita, namun tanpa tarbiyah dzatiyah itu, sekiranya kita tidak lagi berada di dalm biah yang soleh itu, maka kita akan turut larut, luntur bersama perubahan biah itu.

Biah boleh membantu membentuk dzatiyah dalam diri kita. Samada baik, atau buruk.

Jika tarbiyah dzatiyah kita itu kuat, maka faktor, pengaruh biah yang kurang soleh itu tidak mampu mengganggu gugat kita (InshaAllah!), dan kita akan mampu beristiqamah sebagaimana amalan kebaikan kita di dalam biah yang soleh itu.

Usahalah, melentur dirimu, garaplah semampu boleh dari biah yang soleh itu, supaya kelak, apabila anda di campakkan di dalam laut, anda menjadi pulau. Bukannya tenggelam, dan tidak timbul-timbul.

Tarbiyah dzatiyah itu datang dari kefahaman dan ilmu yang memerlukan penerapan dan latihan yang berterusan, bukannya dasarnya pada teori semata-mata. 

Ada masa kita penuh bersemangat, berkobar-kobar, ada masa kita lemah, malas dan tidak upaya. Kita manusia, tidak lari dari silap dan dosa.

Perubahan itu perlu datang dari dalam. Dibina dalam fasa, berperingkat namun meningkat, perlahan tapi pasti, baru hasilnya dalam dan berkesan, kekal dan berpanjangan.

Doa kita bersama, semoga terus tsabat dan istiqamah!




No comments:

Post a Comment