Sebagai orang Islam, kita diajar untuk bersikap jujur. Jujur itu perlu, dalam apa jua keadaan sekalipun. Walaupun dalam keadaan terdesak, mengelakkan diri dari berbohong adalah langkah yang terbaik untuk diambil. Berbohong bukan sahaja menyebabkan timbangan dosa kita nanti akan bertambah, malah banyak lagi akibat buruk yang lain akan terjadi.Antaranya:
1) Apabila tembelang kita telah terbongkar, orang yang telah kita bohongi akan merasakan bahawa kita ini merupakan seorang yang tidak boleh dipercayai. Dengan erti kata lain, kita akan di 'label'. Label ini bukan sahaja akan mendatangkan kesan buruk kepada kita, malah kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kita. Keluarga, masyarakat, negara, syarikat, jemaah dan macam-macam lagi boleh terkena tempias akan perbuatan kita itu. Inilah imej. Kita bukan sahaja membawa imej diri kita, tetapi pakej-pakej yang lain juga.
"Mat, kau baik jangan beli kat kedai Abu tu, nanti habis duit kau kena tipu"
"Hei, ni mesti bapak kau yang ajar kan?"
"Kat sekolah tak belajar ke jangan tipu orang?"
"Orang Malaysia mesti semua kuat berbohong"
"Satu jemaah tu sama je semua, semua kaki penipu"
Contoh di atas cuma sedikit, namun cukup untuk memberikan gambaran kepada kita akan akibat yang boleh timbul akibat dari perbuatan kita seorang. Mustahil untuk dikatakan bahawa kita ini hanya mewakili diri kita sahaja, tanpa melibatkan apa-apa yang lain.
Lebih teruk lagi sekiranya kita membawa imej Agama Islam. Akibat segelintir yang berbuat salah, maka habis satu dunia Islam dicop dengan label yang sama. Secara lahiriah kita adalah agen-agen dakwah, yang sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat.
Actions speak louder than words.
Perbuatan dan sikap kita itu menggambarkan siapa diri kita di mata yang melihat, cukup, tanpa perlu mendengar kita berkata-kata.
Berapa ramaikah yang telah berjaya Rasulullah Islamkan dengan hanya menunjukkan suri tauladan yang baik? Kita sering mendengar, di zaman permulaan Islam. Ada seorang makcik tua yang amat membenci Rasulullah SAW. Di letaknya duri di laluan yang sering Rasulullah gunakan. Diletaknya usus binatang pada ketika sedang beliau bersolat. Dicacinya, dan berbagai lagi. Sehingga anak Rasulullah SAW menangis akan apa yang ditanggung oleh ayahnya. Sehingga pada suatu hari, Rasulullah menyedari tidak ada sebarang 'sambutan' yang disediakan untuk beliau. Beliau pon hairan dan menanyakan akan apa yang terjadi kepada makcik itu. Mendapat tahu bahawa makcik itu sedang sakit, Rasulullah bersegera menziarahinya dan dibawanya buah tangan bersamanya. Subhanallah. Akhlak yang amat terpuji dan perlu kita contohi.
Menangis makcik itu apabila mengenangkan perbuatan jahatnya selama ini dibalas dengan kunjungan tiba Rasulullah yang mengambil berat akan dirinya. Maka Islam lah makcik itu semenjak daripada itu.
Banyak lagi kisah lain yang terdapat di dalam sirah yang mungkin kita sendiri pernah terbaca atau mendengar akannya. Namun adakah kita mengambil pengajaran dan cuba untuk mengadaptasikan dalam kehidupan kita sehari-hari. Tepuk dada tanya hati.
Apatah lagi apabila kita mempunyai satu fikrah yang kita yakini kebenarannya, yang akan membawa Islam yang syumul kepada masyarakat. Yang akan mengembalikan jatidiri umat Islam kepada yang sepatutnya. Namun jika yang mengaku bahawa merekalah pembawa, namun sikap mereka, perlakuan mereka, akhlak mereka tidak selari dengan apa yang mereka bawa, adakah mereka menyangka masyarakat mampu menerimanya?
Yang menerima padah bukan hanya individu itu sendiri, malah lebih besar dari itu. Usah memandang ke kiri dan ke kanan seolah-olah tidak faham. Adakah kita begitu?
Aqidah yang sejahtera, akhlak yang mantap. Di mana kita?
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya membuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; Padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal? – Al-Baqarah 2:44
Ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah maksud tafsiran ayat ini, Baginda pun bersabda yang bermaksud akan ada satu orang pada hari perhitungan kelak (di Padang Masyar) setelah selesai perhitungan untuk dirinya, Allah S.W.T memerintahkan para malaikat supaya mengheret dan mencampaknya ke dalam api neraka. Malaikat pun mengheret dan mencampakkan orang itu sekeras-keras nya ke dalam api neraka, maka terjunamlah dia dan setelah tiba di dasar neraka, tubuh badan nya pun berkecai. Setelah itu, badan itu bercantum kembali dan dikisar-kisarkan sehingga berkecai lagi.
Melihat keadaan itu, penghuni neraka lain (yang turut diseksa) berasa kehairanan dan bertanya kepada orang itu “Mengapakah Allah mengazab kamu dengan pedih sekali? Bukan kah kamu yang menyuruh kami berbuat kebajikan dan beramal salih semasa di dunia dulu?” Jawab orang itu, “Ya, akulah orang yang menuruh kamu membuat kebajikan dan beramal salih dahulu, tetapi apa yang aku katakan itu, tidak pula aku kerjakan”
Adakah kita mahu menjadi begitu, to speak one thing but to do another thing.
Semoga kita sama-sama menjaga amal kita, menjaga akhlak dan percakapan kita, dan bukan hanya berkata namun tidak beramal dengan kata-kata kita.
p/s: Aku juga tidak sempurna, namun siapa kata kita perlu sempurna? Namun kita perlu untuk berusaha kearah kesempurnaan, mengikut acuan Islam.
Wallahualam.
jzkk aizat =)
ReplyDeletejzkk aizat =)
ReplyDeleteSama-sama fikri dan Syahr. :D
ReplyDelete