Mari ikut blog ini

Thursday, 25 December 2014

Ya, aku budak MRSM!

Sekarang musim bola. Liga bola sepak. Sebulan lagi akan bermula Liga Bola Sepak Daerah Kuantan bagi kategori bawah 18 tahun. 

Setiap minggu pasti ada perlawanan persahabatan yang diatur oleh Abang Bard selaku 'coach' bola sepak kami.

"Okey, training hari ini cukup sampai di sini saja. Minta semua berkumpul di hadapan saya", abang Bard separa menjerit sambil menunjukkan ke arah kawasan berumput dihadapannya.

Petang itu cuaca sangat baik. Tidak terlalu panas, angin beralun lembut.

"Setiap hari kamu semua kena buat minimum 200 campuran antara sit ups ", pesan abang Bard sebaik sahaja semua 23 pemain yang terpilih untuk mewakili MRSM Kuantan untuk menyertai Liga Bola Sepak Daerah Kuantan pada tahun ini.

"Kita akan mulakan pada hari ini sehinggalah beberapa hari sebelum bermula liga bola sepak nanti", sambung beliau.

Kami tercengang sambil memandang sesama sendiri. "Biar betul?", "Ni mesti bergurau, macam biasa" antara bisikan yang bermain di fikiran. 

Seusai berucap, beliau menyuruh kami memilih pasangan yang sekufu fizikalnya. Yang berbadan kecil dengan badan kecil begitu juga saiz badan lainnya.

"Pilih siapa yang akan mula dahulu, kemudian apabila selesai 100 yang pertama tukar dengan pasangan masing-masing"

Semua pemain gigih menghabiskan 100 sit ups. Ada yang tidak mampu menghabiskannya. Namun ada yang mampu. Kemudian giliran pasangan kedua untuk melakukannya.


Training, training dan training!

"Mulai minggu depan, kita akan ada training wajib 3 kali seminggu. Jika perlu, kita akan tambah lagi. Ini sebagai persiapan untuk menghadapi Liga Kuantan nanti. Kesebelasan utama akan dipilih berdasarkan komitmen, disiplin serta prestasi dari semasa ke semasa"

Masa menunjukkan pukul 6.30 petang. Menjadi suatu ketetapan di sekolah MRSM untuk makan malam diantara pukul 6.30 petang sehingga 7.00 petang dan jika lewat dari itu tiada lagi makanan yang akan disediakan di dewan selera.

Dari riak muka pemain-pemain, dapat dilihat keghairahan serta keterujaan seolah-olah tidak sabar untuk menunggu kehadiran sebulan yang akan datang. Yang pasti, pemain-pemain perlu mempamerkan kehebatan serta memberikan yang terbaik sekiranya mahu terpilih sebagai kesebelasan utama.

Setiap kali sesi latihan, semua pemain memberikan komitmen yang baik. Kesemuanya hadir awal sebelum masanya, berlatih dengan bersungguh-sungguh serta saling bantu-membantu dalam setiap perkara.

"Selain semua training serta persediaan yang kita lakukan, apa lagi perkara yang penting dan tidak boleh kita pandang ringan?", abang Bard mengajukan soalan dalam salah satu sesi latihan.

"Pemakanan bang Bard", Fitri memberikan pandangan.

"Dapatkan tidur yang cukup", Luqman menambah.

"Elakkan daripada mendapat kecederaan. Kalau dah cedera, tak boleh main semasa liga nanti", ujar Faris sambil diiringi dengan ketawa oleh pemain-pemain yang lain.

"Jawapan semua itu betul. Tapi yang paling penting ialah jangan tinggal solat serta pakai pakaian menutup aurat ketika bermain bola. Bukan sebab saya suruh, tapi sebab Allah suruh!"

Sentap.

***


Pening!

Hari demi hari berlalu, disamping latihan diatas padang terdapat juga pertemuan berkala di dalam makmal biologi untuk membincangkan strategi ketika menyerang dan bertahan menggunakan papan putih. Kebetulan abang Bard juga merupakan staf di MRSM, maka beliau juga diberi kebenaran untuk menggunakan makmal biologi tersebut.


Latihan berterusan + merancang strategi + menjaga solat dan menutup aurat



Hari yang dinantikan pon tiba. Hari ini hari pertama bagi Liga Bola Sepak Daerah Kuantan. Pemain diberikan pelepasan khas untuk tidak menghadirkan diri di dalam kelas untuk sesi pembelajaran kerana liga berlangsung pada hari minggu.

Pusingan pertama - peringkat kumpulan. MRSM Kuantan menjadi tuan rumah. Beberapa pasukan lain yang turut bertanding sudah dari awal pagi lagi kelihatan di sudut kiri padang.

Berdebar-debar. Nervous dan excited pada masa yang sama.

"Ok, sekarang masa untuk menunjukkan hasil dari latihan kamu semua selama beberapa minggu ini. Ingat, main all-out", pesan abang Bard sebelum kesebelasan utama masuk ke padang mengambil posisi masing-masing.

***

"Preeet...!", wisel ditiup pengadil.
Pasukan MRSM Kuantan memulakan permainan terlebih dahulu sebagai tuan rumah. Fitri menendang bola sederhana kuat ke arah Izzul. 

Entah macam mana, terlepas dari kaki. Izzul kelihatan kaku, tidak lincah seperti kebiasaannya. 

Bola dirampas oleh pemain lawan dan dibawa menuju ke gawang gol. Mujur pertahanan cekap mempertahankan dan mematahkan serangan.

10 minit ke dalam separuh masa pertama. Permainan pasukan MRSM Kuantan kelihatan kucar kacir. Bola mudah hilang. Passing tidak sampai. Shooting melalut. Mujur tiada jaringan yang berjaya dibuat oleh pasukan lawan.

"Izzul! Rilex! Main macam biasa", ujar Fitri kepada Izzul.

"Alah, buat macam main petang-petang je Izzul", Luqman menyampuk selamba.

"Ok ok, aku rilex. Sorry geng", Izzul membalas.

Hadi menyepak bola dari gawang gol menuju ke bahagian tengah padang. 

Permainan pasukan MRSM Kuantan kelihatan beransur baik. Tiada lagi kehilangan bola mudah.

***

Wisel penamat dibunyikan.


Keputusan 2 - 0. MRSM Kuantan berjaya menewaskan pasukan lawan. Kedua-duanya dijaringkan dalam separuh masa yang kedua.

Selesai bersalaman dengan pasukan lawan dan melakukan cooling down. Abang Bard memanggil semua pemain untuk berkumpul.

"Alhamdulillah. Permainan tadi baik. Kita menang. Walaupun dipermulaan permainan, saya melihat banyak kesilapan mudah yang dilakukan. Sepak melalut, passing tak sampai. Position out. Tapi beransur baik. Ingat! 10 minit pertama dan 10 minit yang terakhir adalah masa paling penting dalam sesebuah perlawanan kerana sekiranya gol dijaringkan di dalam masa ini akan memberikan impak yang besar kepada kedua-dua pasukan."

Selesai sesi muhasabah ringkas, semua pemain bersurai.

"Jangan lupa, next game lagi 2 hari di Sekolah Teknik!"



Kejayaan tidak datang bergolek

***


Perlawanan seterusnya dijadualkan pada pukul 5 petang. Pemain yang mewakili MRSM Kuantan telah pun tiba padang utama Sekolah Teknik dengan menaiki bas.

Ketika pemain-pemain berjalan kaki dari pintu hadapan menuju ke padang, kedengaran suara-suara sumbang dari tepi-tepi padang.

"Wei, budak MRSM balik MRSM la study!", jerit salah seorang pelajar disitu diikuti suara gelak berdekah-dekah pelajar yang lain.

"Nanti kalau kalah jangan nangis pulak telefon mak!"

"Tau ke budak MRSM main bola!"

Semakin kuat suara-suara beserta hilai ketawa yang datang dari arah tempat duduk penonton.

Suara-suara itu mula memberikan kesan kepada beberapa orang pemain. Ada yang kelihatan down. Ada yang kelihatan kurang bersemangat dan gementar.

"Tak apa, abaikan suara-suara mereka. Kita buktikan pada mereka, budak MRSM boleh main bola dan kita main lagi baik dari mereka!", abang Bard memberikan kata-kata yang mengembalikan kembali moral pemain-pemain.

Sungguh, kata-kata yang datang tepat pada masanya
"Kita main macam biasa. Kena yakin. Kita dah training, bukannya kita duduk-duduk saja!", Abdul Rahman kapten pasukan menambah.

***

Perlawanan dimulakan oleh pasukan Sekolah Teknik.
Sengit. Kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan. Masing-masing tidak mengalah. Benar, pasukan lawan bukan calang-calang pasukan. Terkenal dengan reputasi sebagai pasukan Top 8 di dalam daerah Kuantan.

Kedudukan kini 1 - 1. Pasukan lawan terlebih dahulu menjaringkan gol seawal minit ke 9 namun mata berjaya disamakan pada minit yang ke 43, 2 minit sebelum tamat separuh masa pertama.

"Strikers, banyakkan shooting. Dapat peluang, shoot. Jangan teragak-agak. Defenders, agresif sedikit. Jangan bagi peluang untuk mereka masuk ke petak-D", abang Bard mengambil kesempatan di ruang masa rehat untuk mengingatkan beberapa perkara sebelum masuk separuh masa kedua.

Tamat 10 minit. Pengadil memanggil kedua-dua pasukan untuk masuk ke padang mengambil tempat masing-masing.

"Preeet...!", Wisel ditiup. Kali ini giliran pasukan MRSM Kuantan memegang bola.

...


Goool!
Lincah Fitri dan Izzul menggelecek bola ke dalam kawasan lawan. One-two yang cantik dibuat.

Pemain pertahanan lawan sedikit kaku, seolah-olah terkejut dengan perubahan rentak permainan yang dibuat oleh pasukan MRSM Kuantan. 

Kesempatan ini digunakan dengan baik. Gap di antara pemain pertahanan lawan dan gawang gol.

"Ini peluang baik ni!", suara hati Fitri berkata-kata.

Bola ditendang dengan kencang dan meluru laju menuju ke gawang gol Sekolah Teknik. 

"Gooool!"

Fitri menjerit dan disertai oleh sorakan pemain yang lain.

***

Permainan tamat. 2 - 1. MRSM Kuantan berjaya mengalahkan Sekolah Teknik dengan jaringan penentuan seawal permainan bermula di separuh masa kedua dan kedudukan 2 - 1 bertahan sehingga ke masa penamat.

"Kita akan buat muhasabah di dalam perjalanan balik di dalam bas nanti ok", pesan abang Bard kepada pemain-pemain.

wajah ceria terukir di muka pemain-pemain pasukan MRSM Kuantan. Bukan mudah mengalahkan pasukan lawan, ditambah pula di tempat mereka. 

Dengan bilangan penonton mereka yang ramai serta suara-suara sumbang ketika ketibaan mereka di situ.

"Ya, aku budak MRSM, dan aku main bola!", jerit Faris ketika berjalan kaki menuju ke bas di luar pagar. Barangkali meluahkan kegeramannya yang terpendam dari tadi.

Tiada lagi bunyi suara-suara sumbang tadi.

Kini mereka sedar, 'budak MRSM' juga boleh bersukan dan kali ini, mereka telah tewas di tangan 'budak MRSM' yang mereka perkecilkan selama ini.


Ramai orang meletakkan sesuatu persepsi dan melabel sesetengah kumpulan yang lain hanya kerana perwatakan mereka atau pun cara mereka berpakaian mahupun dari mana asal usul mereka.

Misalannya, 'budak usrah' sering dilabel sekadar bertilawah dan menghafal hadis dan tidak pandai bergaul di dalam masyarakat. Apatah lagi hebat dalam sukan.

Dua perkara perlu diubah, iaitu:

1) Kita perlu mengubah persepsi negatif yang diletakkan pada sesetengah kumpulan yang mungkin sebenarnya kita kurang mengenali mereka

2) Kita perlu memecahkan 'stereotyping' yang diletakkan oleh orang lain keatas kita dengan membuktikan sebaliknya.

Wallahualam.





No comments:

Post a Comment