Mari ikut blog ini

Saturday, 28 February 2015

Remaja dan Internet. Pilihan di tangan anda!

Globalisasi ataupun turut dikenali sebagai dunia tanpa sempadan, itu era di mana kita tinggal dan berada buat masa kini.

Sejak perkhidmatan internet diperkenalkan di Malaysia pada sekitar tahun 1991, sumber rujukan ataupun medium memperolehi maklumat tidak lagi hanya bergantung kepada media-media cetak seperti akhbar dan buku-buku. 

Dari semasa ke semasa, semakin banyak bahan-bahan yang diterbitkan di dalam bentuk media elektronik di mana pengguna boleh mendapatkannya secara atas talian tanpa perlu meluangkan masa untuk mencarinya di kedai-kedai buku.

Internet, banyak manfaat atau keburukan?

Sebut sahaja apa perkara yang kita mahu ketahui atau judul buku apa yang mahu kita cari, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Hampir semua maklumat mampu diketahui dan diperolehi dalam tempoh yang singkat dengan hanya beberapa klik jari di papan kekunci.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sekitar 67 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia mempunya akses kepada kemudahan internet. Lebih daripada 70 peratus pengguna merupakan mereka yang berada di dalam lingkungan umur 15 tahun sehingga 34 tahun.

Saturday, 14 February 2015

Valentine?

Hari Kekasih ataupun yang lebih dikenali sebagai Valentine Day , merupakan salah satu hari yang pasti dinanti-nantikan dikalangan muda mudi terutamanya yang sedang hangat 'ber-couple'.

Fenomena saling memberikan hadiah pada Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Febuari setiap tahun ini dikatakan sebagai kemuncak kepada bukti cinta sejati diantara pasangan dengan menghadiahkan bunga, memberikan manisan dan mengirimkan surat.

Bagaimana anda menyambut Hari Kekasih?


14 Febuari = Hari Kekasih ?


'Couple Islamic'

Si jejaka berserban dan berjanggut panjang, si gadis bertudung labuh. Tiada mesej-mesej romantik mahupun ayat-ayat manis, apatah lagi ayat-ayat yang berunsur lucah.

Menyambut Hari Kekasih atau turut dikenali sebagai Valentine Day dengan pesanan dan saling berpesan-pesan dengan kekasih hati.

"Awak, jangan lupa solat tahajud malam ni tau"

"Sayang, Isnin depan kita sama-sama puasa sunat, ok?"

"Abang, bangun! Nak masuk waktu subuh dah ni"

"Kamu, main bola nanti pakai tutup aurat ye!"

Wah, bunyi sungguh islamik! Saling mengingatkan diantara satu sama lain untuk berbuat kebaikan.

Sambil menaip mesej, sambil tersengih sendirian. Teringat akan si dia. 

Wednesday, 4 February 2015

Fly!

"Arfa, cepat sikit jalan tu. Kalau lambat nanti kantoi bai!", Aizat menjerit dalam berbisik. Mahu sahaja bercakap dengan kuat, namun bimbang sekiranya aktiviti rahsia mereka terbongkar.

Malam itu malam minggu. Jumaat malam Sabtu.

12.00 tengah malam.

Empat sekawan berjalan umpama berjalan di kawasan periuk api. Penuh cermat, sambil mata meliar memerhatikan persekitaran.

Senyap dan cermat. Sasarannya, pagar berdekatan asrama yang berlubang. Disekeliling kawasan sekolah, terdapat beberapa port yang digunakan untuk meloloskan diri ke dunia luar.

Selamat sampai ke lokasi.

"Nabil, kau usha sikit kalau-kalau ada pak guard lalu. Arfa, kau keluar dulu", Aizeq memberikan arahan.

"Wei, tolong tarik sikit pagar ni. Karang koyak pula baju aku", Arfa memanggil Aizat untuk membantunya keluar.

Port Fly 1: Lubang kecil belakang asrama lelaki

Port ini menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelajar yang ingin fly keluar. Maklumlah, dekat dan jauh dari pondok pak guard. Risiko pon kurang. Tapi, perlu berjalan jauh dan melalui kawasan semak samun sebelah masuk ke kawasan perumahan.

Jiwa kental? fly la seorang diri lalu Port Fly 1!

***

"Semua dah keluar? Ok jom gerak. Arfa, kau jalan depan macam biasa", Nabil yang dari tadi membisu bersuara.

Sepanjang melalui kawasan semak samun, tiada yang bersuara. Suasana sunyi sepi diselang-seli dengan bunyi cengkerik.

Masing-masing berjalan laju. Risau sekiranya ternampak kelibat yang bertenggek di atas pokok seperti yang pernah diceritakan Adib beberapa hari yang lepas.

"Fuh, lepas pon kawasan keras. Laju juga kita jalan tadi. Tiap kali lalu situ, mesti meremang bulu roma aku. Lagi-lagi lepas dengar cerita Adib 3 hari lepas", ujar Arfa.

Bertubuh sasa, namun jika berlaku apa-apa, pasti dia orang pertama yang hilang.

Hah! Kecik-kecik dah pandai panjat pagar

"Kita nak pergi Big Mug dulu ke Network?", Aizat bertanya dikala empat sekawan melewati kawasan perumahan teres majoriti didiami oleh bangsa Melayu.

Kawasan perumahan itu terletak betul-betul bersebelahan dengan pintu pagar MRSM Kuantan dan hanya dipisahkan dengan sebuah longkang besar.

"Kita pergi Network dulu la. Dah lama dah tak main ni. Lagi pun kalau lambat nanti penuh pula Network tu", sahut Aizeq.

Nabil dan Arfa mengangguk tanda setuju.

Tiba di jalan besar. Zon bahaya. Kawasan berisiko kerana lebih terdedah. Jalan raya lengang. Sekali sekala kereta melewati mereka dan sejurus kemudian hilang dari pandangan. 

Masing-masing berjalan laju. Sama ada tidak sabar hendak bermain games ataupun mahu cepat keluar dari zon bahaya.

Pernah sahaja beberapa kali rakan-rakan yang lain terserempak dengan kereta warden asrama ataupun cikgu-cikgu yang tinggal berdekatan. Habis, lintang pukang kesemuanya berlarian. Bagai lipas kudung.

Sehingga ada yang tertinggal selipar kerana mahu mengelakkan dari ditangkap oleh warden. Sambil berlari muka ditutup sebelah tangan bimbang kalau-kalau wajah mereka dicam warden asrama. 

Jika dicam, esok pasti naik nama dan dalam masa seminggu akan dipanggil oleh JDM (Jawatankuasa Disiplin Maktab). Yang dipanggil pasti tidak akan terlepas. Diberi amaran atau digantung sekolah. Namun bergantung pada budi bicara. 

Buat muka baik tak bersalah, rambut sikat tepi, baju tuck-in, inshaAllah lepas tanpa digantung sekolah.

***

Lepas zon bahaya, Jalan Dato Bahaman.

Apa lagi? Masa untuk bermain!

12.20 pagi.

Dari luar, kelihatan seperti tiada kedai yang masih beroperasi pada waktu ini. Namun, ada perkara yang hanya diketahui oleh orang-orang yang tertentu.

"Nabil, macam biasa. Do your thing", pesan Aizeq kepada Nabil.