Mari ikut blog ini

Saturday, 14 February 2015

Valentine?

Hari Kekasih ataupun yang lebih dikenali sebagai Valentine Day , merupakan salah satu hari yang pasti dinanti-nantikan dikalangan muda mudi terutamanya yang sedang hangat 'ber-couple'.

Fenomena saling memberikan hadiah pada Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Febuari setiap tahun ini dikatakan sebagai kemuncak kepada bukti cinta sejati diantara pasangan dengan menghadiahkan bunga, memberikan manisan dan mengirimkan surat.

Bagaimana anda menyambut Hari Kekasih?


14 Febuari = Hari Kekasih ?


'Couple Islamic'

Si jejaka berserban dan berjanggut panjang, si gadis bertudung labuh. Tiada mesej-mesej romantik mahupun ayat-ayat manis, apatah lagi ayat-ayat yang berunsur lucah.

Menyambut Hari Kekasih atau turut dikenali sebagai Valentine Day dengan pesanan dan saling berpesan-pesan dengan kekasih hati.

"Awak, jangan lupa solat tahajud malam ni tau"

"Sayang, Isnin depan kita sama-sama puasa sunat, ok?"

"Abang, bangun! Nak masuk waktu subuh dah ni"

"Kamu, main bola nanti pakai tutup aurat ye!"

Wah, bunyi sungguh islamik! Saling mengingatkan diantara satu sama lain untuk berbuat kebaikan.

Sambil menaip mesej, sambil tersengih sendirian. Teringat akan si dia. 


"Untung aku, dapat awek macam si dia. Solehah, tudung labuh, siap selalu kejutkan aku bangun tahajud lagi!"


'Couple non-Islamic'

Si jejaka menunggu, apakah hadiah yang akan diperolehinya daripada si gadis. Begitu juga sebaliknya. Adakah coklat buatan sendiri berupa hati? Ataupun gubahan bunga khas untuk si dia kekasih hati?

Di ambang Hari Kekasih. Bermula dengan duduk berdua-duaan di meja makan. Bertukar-tukar hadiah, mata bertemu mata. 

Bait puisi indah dan romantis diungkap oleh si jejaka lantas mencairkan hati si gadis yang dari tadi berdegup-degup kencang.

Dalam kedinginan malam, tangan saling berpegangan erat. 

"Aku cinta padamu"

"Awak, saya punya sampai bila-bila"

"Awak sambut? Saya tidak"

Waspada tipu daya syaitan!

Anda dimana?

Sama ada anda tergolong di dalam golongan 'Couple Islamic' mahupun 'Couple non-Islamic', sedarlah bahawa sesungguhnya anda sudah terjerat!

Firman Allah:

Dan Janganlah kamu manghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.
(al-Isra’:32)

Mengapa kita menolak Hari Kekasih?

Sesungguhnya larangan yang dinyatakan di dalam ayat diatas bukan sahaja menegah kita daripada berzina, malah untuk turut sama menjauhi segala perkara yang boleh mendekatkan kita kepada zina.

Hari Kekasih merupakan salah satu daripada pintu-pintu yang membawa seseorang menghampiri zina disamping terdapat pengaruh serta unsur-unsur agama Kristian di dalamnya.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada Bulan November 2005 telah mengeluarkan fatwa menyatakan adalah haram bagi umat Islam untuk menyambut Hari Kekasih ini.

Jadi sekiranya ditanya adakah anda menyambut Hari Kekasih, katakan dengan penuh tegas bahawa:

Saya tidak menyambut Hari Kekasih!


No comments:

Post a Comment