Mari ikut blog ini

Saturday, 14 December 2013

COMANGO - Kawan atau Lawan?

Apa itu COMANGO?

COMANGO merupakan singkatan kepada Coalition of Malaysian NGOs (Gabungan Badan bukan Kerajaan Malaysia) yang terdiri daripada 54 NGOs yang kebanyakkannya berpendirian liberal dan anti-Islam [klik sini].

Perjuangan COMANGO

COMANGO memperjuangkan Kebebasan Individu (Human Rights) dengan bertopengkan 'Hak Asasi Manusia' berdasarkan definisi barat yang menuntut kebebasan mutlak dari sebarang pengaruh seperti agama dan budaya.

Antara rujukan utama yang digunakan oleh mereka adalah Universal Declaration of Human Right [klik sini].

Antara isi kandungan deklarasi tersebut adalah:


  • Artikel 16 - (1) Lelaki dan perempuan dewasa, tanpa sebarang batasan samada bangsa, warganegara ataupun agama, mempunyai hak untuk berkahwin dan mempunyai keluarga. Kedua-dua pihak lelaki dan perempuan mempunyai hak yang samarata berhubung hal perkahwinan, dalam tempoh masa perkahwinan dan pada hal perceraian.
  • Artikel 18 - Semua orang mempunyai kebebasan untuk berfikir, suara hati dan beragama; hak ini termasuklah kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan, samada secara bersendirian atau secara dengan orang lain dan secara terbuka atau bersendirian, menganuti agama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pemerhatian mereka.


Sebahagian daripada NGOs yang menyertai COMANGO dimana hanya 12 NGOs berdaftar secara rasmi di bawah ROS

























Adakah Islam menolak Hak Asasi Manusia?

Islam sama sekali tidak menolak hak-hak yang patut diperolehi oleh manusia sejagat, namun hak-hak tersebut perlu mengikut seperti yang terkandung di dalam syariat Islam.

Cairo Declaration on Human Rights in Islam 5/8/1990 [klik sini] yang terhasil daripada perbincangan oleh Pertubuhan Persidangan Islam atau nama lainnya Organisation of Islamic Cooperation (OIC) [klik sini] telah pun menggariskan panduan Hak Asasi Manusia menurut perspektif Islam.

Antara isi kandungan deklarasi tersebut adalah:

  • Artikel 10 - Islam adalah agama fitrah. Adalah terlarang untuk melakukan apa jua bentuk paksaan ke atas manusia atau untuk mengambil kesempatan daripada kemiskinan ataupun kejahilannya untuk mengubah agamanya kepada agama lain ataupun tidak beragama.
  • Artikel 24 - Semua hak dan kebebasan yang ditetapkan di dalam deklarasi ini adalah tertakluk di bawah Syariat Islam
  • Artikel 25 - Syariah Islam adalah satu-satunya sumber rujukan bagi sebarang penerangan atau penjelasan untuk mana-mana artikel di dalam deklarasi ini.
Apakah tuntutan COMANGO yang berbahaya dan perlu ditentang?

  • Perenggan 1 - Kebebasan untuk murtad
  • Perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 - Menghalalkan seks songsang
  • Perenggan 6.2 - Menghapuskan hak istimewa orang Melayu
  • Perenggan 6.8 - Memaksa tafsiran perkauman menurut fahaman sekular barat
  • Perenggan 9 - Menghapuskan Kesalahan Jenayah Syariah
  • Perenggan 10.1.1 - Menuntut penterjemahan 'God' kepada 'Allah' oleh Kristian Katolik di Malaysia
  • Perenggan 10.1.6 - Menuntut kebebasan beragama bagi ajaran sesat Syiah di Malaysia
  • Perenggan 10.1.11 - Menuntut agar mana-mana ibubapa yang memeluk Islam tidak diberi hak penjagaan anak
Antara inisiatif bersama oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam menjelaskan bahayanya agenda COMANGO


Sekiranya tuntutan-tuntutan oleh COMANGO ini berjaya dicapai, maka akhirnya akan wujudlah masyarakat yang Liberal dan mempunyai kebebasan mutlak tanpa sebarang batasan agama mahupun budaya.

Pendek kata, COMANGO perlu ditentang kerana pendiriannya yang bercanggah dengan ISLAM dan PERLEMBAGAAN Malaysia.


A120

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Al-Baqarah: 120)


Saturday, 7 December 2013

Pemuda dan masyarakat

Salam,


masyarakat terdidik dengan ilmu, dan ilmu itu perlu dipandu dengan wahyu supaya ia terarah ke arah yang betul.

Hakikatnya, kita dapat melihat sejauh dan sematang mana tahap pemikiran seseorang melalui tahap pendidikan mereka. Mereka yang kurang terdidik atau kurang terdedah dan banyak perkara terdorong untuk berfikiran lebih sempit dan tidak mampu berfikiran jauh serta sukar mencakna isu-isu yang rumit.

Saya seorang yang suka bersukan, dan pada masa lapang di hujung minggu saya akan menyertai remaja-remaja dari kawasan perumahan yang berdekatan untuk bermain bola. Sukan merupakan medium yang bagi saya antara yang paling baik untuk masuk ke dalam suatu komuniti itu dan meluaskan kenalan serta pengaruh kita.

Sering juga saya meluangkan masa untuk duduk 'berlepak' sebentar bersama remaja yang rata-ratanya masih bersekolah di sebuah pondok di padang. Ternyata pemikiran mereka, percakapan mereka serta apa yang diperkatakan cukup untuk menggambarkan di mana keadaan masyarakat kita pada masa kini.

Perkataan-perkataan seperti 'bodoh', 'babi', 'sial', 'celaka' dan berbagai lagi merupakan zikir harian mereka. Sedikit tersilap, pasti akan keluar 'zikir-zikir' ini. Belum lagi dicampur dengan perkataan-perkataan serta perbuatan-perbuatan lucah. Merokok seolah-olah merupakan perkara biasa seperti bernafas. Mereka bebas melakukannya tanpa sedikit pon berasa malu dan takut.

Apa yang lebih menghairankan, orang dewasa yang berada berdekatan hanya melihat anak-anak ini dengan urusan aktiviti mereka tanpa menghiraukan salahlaku mereka. Mungkin kerana inilah remaja menjadi berani untuk melakukannya secara terbuka.

Sering juga apabila bermain bola, terdapat sekumpulan remaja berbangsa india yang akan bermain sekali. Pernah saya bertanya kepada beberapa remaja melayu,

"Tak pernah campur ke satu team?"

"Mana boleh. Diorang India"

"Kenapa tak boleh?"

"......", mereka terdiam.

Kemudian seorang menyampuk, "nanti kita jadi hitam la"

Wow. Sejak dari sekolah mereka sudah mempunyai mentaliti sebegini. 

Namun, di dalam ramai-ramai itu tidak dinafikan wujud segelintir yang masih baik, walaupun tidak ramai.

Kelab Remaja ISMA (KRIM) merupakan salah satu alternatif yang baik untuk remaja peringkat sekolah

Ada dikalangan mereka yang rajin ke surau, walaupun hanya sebilangan kecil.

Suatu hari, pernah saya meluangkan masa untuk bersarapan pagi bersama mereka. Mereka menceritakan banyak perkara dan hakikatnya, lebih teruk dari apa yang boleh kita lihat.

Secara ringkasnya, beberapa dapatan yang saya perolehi daripada perkongsian oleh segelintir dari mereka.

Sejak awal sekolah menengah lagi telah ramai yang berjinak-jinak dengan arak dan berjudi. Bergaduh, ponteng sekolah, melawan cikgu dan merokok itu merupakan perkara biasa.

Kebanyakkannya merupakan pengaruh daripada rakan-rakan sebaya. Sehingga ada yang berkata, "mana ada orang yang baik kat sekolah. Budak yang baik, masuk sekolah mesti jadi jahat".

"Kawan-kawan saya selalu main tiket."

"Macam mana tu?"

"Pergi kedai cina kat hujung tu, lepas tu beli lah. Sekeping seringgit. Kalau nasib baik kena menanglah RM100 ke, RM200 ke. Kalau menanglah."

"Kalau kawan saya yang sorang lagi ni bang, kaki ponteng. Kalau masuk je subjek yang dia tak suka, dia tarik saya keluar kelas. Agak-agak cikgu habis mengajar, kitorang masuk balik"

"Ada juga yang kuat minum. Itu memang rosak bang. Lepas tu kaki pukul. Gaduh je keje. Tapi dia baik, kalau member kena pukul dia datang tolong."

Dan bermacam-macam lagi perkara.

Di akhir pertemuan itu, saya ucap beberapa perkara padanya.

"Berkawan biar ramai, tetapi carilah mereka yang baik untuk menjadi teman rapat"

"Belajar biar pandai, tetapi agama jangan tinggal."


"Jika kita ingin lihat pemimpin masa hadapan,lihatlah pemuda pada hari ini"

Thursday, 15 August 2013

Pakcik, saf tak lurus!

Salam,

Yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Sering disebut-sebut, betapa lemah lembut, berbudi bahasanya orang Melayu. Apabila lalu dihadapan orang yang lebih tua, kita akan membongkokkan sedikit badan kita menandakan hormatnya kita kepada mereka. 

Apabila melihat ada orang tua yang ingin melintas jalan, maka kita akan pergi mendapatkan mereka untuk membantu mereka melintas jalan.

Mereka yang lebih tua dipanggilkan dengan panggilan-panggilan seperti pakcik dan makcik berbanding menyebut nama mereka secara langsung.

Kuih-muih, makanan yang terdapat di dalam pinggan tidak akan dihabiskan malah ditinggalkan sekurang-kurangnya satu bahagian untuk menunjukkan betapa kita mengutamakan orang lain. (eh)

Apabila bertemu, kita bersalaman. Pakej sekali dengan cium tangan hingga basah tangan orang yang di cium (euuw)

Generasi demi generasi berlalu, budi bahasa semakin luput. Hormat semakin pudar, sayang semakin luntur.



Melihat realiti masyarakat yang menjurus ke arah itu, kerajaan mengambil inisiatif dengan melancarkan beberapa siri kempen untuk kembali menerapkan budi bahasa ke dalam jati diri masyarakat (Walaupun kurang berkesan, tidak mendapat perhatian masyarakat dan tidak beberapa menyeluruh).

Menjadi lebih parah lagi apabila penyakit bodoh sombong (ignorance) dan ego serta cepat melatah apabila ditegur berdarah daging di dalam diri kita.

********************

Mengambil contoh mudah, ketika menunaikan solat secara berjemaah di masjid/surau.

Seringkali kita akan melihat betapa tidak lurusnya saf-saf solat serta berapa jauh jaraknya di antara jemaah solat.

Kita terlalu mewah dengan ruang.

Melihat ke kiri dan ke kanan, lurus ke tidak saf?

Sekali lagi, adakah kita tidak menutup celah-celah di antara kita dan orang di sebelah?

Melihat kepada pak Dolah di sebelah kiri.

"Awat pakcik ni berdiri depan sangat ni. Macam berombak pulak saf solat"

Dicuit peha kanan pak Dolah.

Pak Dolah buat 'don't know'.

Dicuitnya peha kanan pak Dolah sekali lagi.

Pak Dolah menoleh. 'Grrrr', seolah-olah ekspresi yang boleh dibaca dari wajahnya. 

"Pak Dolah, belakang sikit", aku bersuara kecil.

Beliau kembali menoleh ke hadapan, mengabaikan kata-kataku.

**krik krik**

Imam mengangkat takbir. Sepantas kelajuan bunyi Pak Dolah mengangkat takbir.

"Aiyak. Guano sek kito"

********************

Di lain waktu.

Bersolat bersebelahan Pak Kasim di sebelah kiri beliau.

"Jauhnya Pak Kasim berdiri. Dah siap baling kunci ke karpet masjid dah."

Dicuit manja peha kiri beliau. Ditolehnya 90 darjah arah lawan jam.

"Pak Kasim, rapat sikit. Jauh sangat tuu", aku berbisik.

Dibuatnya endah tak endah. 

"Ada beran budak setahun jagung hingus tak lap ni tegur aku", ujar beliau di dalam hati, agaknya.

Wednesday, 24 July 2013

Dik, buat apa tuh?

Salam,

Malam itu, malam yang ke 14 Ramadhan mengikut perkiraan dari hari pertama berpuasa.

Seusai menunaikan solat sunat witir secara berjemaah di Surau Al-Kauthar aku bergegas pulang ke rumah untuk bersiap kerana perlu hadir ke dua tempat pada malam itu.

Pertama, moreh bersama usrati. Kedua, futsal persahabatan bersama sahabat baharu dari Mesir.

Dalam perjalanan balik, aku melalui laluan yang biasa aku guna setiap kali hendak ke surau. Laluannya agak gelap, dan jarang digunakan oleh orang ramai. 

Di sisi laluan itu sedikit bersemak yang mungkin menyebabkan orang tidak bisa menggunakan laluan itu.

Di tengah perjalanan, ternampak kelibat 3 orang lelaki.

Yang paling berumur, paling hampir ke laluan.

Yang muda sedikit, di tengah.

Yang paling kecil dan paling muda, di hujung sekali nun kedalam.

Semuanya sedang duduk. Si abang long sedang sibuk makan, barangkali makanan daripada surau al-kauthar yang dibawanya kesitu.

Aku hairan, mengapa mereka duduk disitu, dalam kegelapan malam yang terselindung dan pancaran cahaya mentol.

Aku menoleh ke arah mereka, mengukir senyuman dalam kesamaran malam dan lantas menyambung perjalanan pulang.

Tetapi, sebelum aku melangkah, ternampak nyalaan api kecil di hujung tangan si kecil.

"Eh, apa itu. Nampak macam api dari putung rokok", aku bermonolog dalaman.

Segera aku bergerak mendekati si kecil untuk mendapatkan kepastian.

Terlihat akan aku menghampirinya, si kecil kelihatan tidak keruan dan mencampakkan punca api itu kebelakang.

"Dik, apa tu?"

... Si kecil tidak menjawab.

"Apa benda yang macam api tu?", aku bertanya lagi.

... Si kecil tetap membisu. Riak wajahnya berubah pucat.

"Dik, hisap rokok ye?"

... Si kecil menggeleng.

"Umur berapa ni?"

...Si kecil masih berdiam.

"Ni umur berapa ni?", aku mengulangi soalanku.

"13 tahun bang", dia menjawab sambil wajahnya melihat kebawah.

Aku menggeleng kepala. Menarik nafas panjang.

"Dik, mana dapat rokok ni? Tau tak rokok ni tak elok. Fatwa Kebangsaan Malaysia pon dah menfatwakan bahawa rokok ini haram", aku bercakap sebagaimana seorang abang menasihati adiknya.

"Dik, di bulan Ramadhan ni, bulan penuh kebaikan dan kemuliaan ni, jangan la kita mula belajar buat benda tak elok.", terasa seperti aku sedang berleter. Ah! apa aku kisah. 

"Mana dapat rokok ni? Siapa yang bagi?", aku mengalih pandangan ke arah dua orang yang lebih tua disebelah si kecil.

"Adik beradik ke?"

Tuesday, 16 July 2013

Dzatiyah: menggerakkan diri, beroleh manfaat

Salam,

Aku pernah ditanya oleh seorang ikhwah, bagaimana perasaan apabila tinggal di 'kubu' (di Bandar Baru Bangi terletak pejabat pusat Ikatan Muslimin Malaysia serta mempunyai populasi aktivis ISMA yang ramai). 

Di sini terdapat sungguh ramai ikhwah dan banyak program yang berlangsung di kawasan sekitarnya.

Bukan itu sahaja, Bandar Baru Bangi juga turut dikenali sebagai bandar ilmu. Disini juga terdapat ramai ilmuwan, ulama dan aktivis dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), IKRAM, HALUAN, Young Muslim Project (YMP) serta banyak lagi pertubuhan yang lain.

Setiap hari, pasti akan ada program ceramah, kuliah, tazkirah dan lain-lain yang boleh dihadiri.

Namun, di atas semua kelebihan dan kemudahan yang tersedia disekeliling penduduk Bandar Baru Bangi, ada satu lagi perkara yang besar yang menentukan bagaimana biah (persekitaran) itu mampu memberi manfaat kepada kita.

Bagaimanakah itu mendapatkan manfaat daripada persekitaran kita?

Cuba bayangkan sekiranya kita tinggal di kawasan perumahan yang hanya mengambil masa beberapa minit berjalan kaki ke masjid yang berhampiran. Namun, kita tidak atau jarang sekali mengimarahkan masjid tersebut apabila masuknya waktu solat, menghadiri tazkirah mahupun ceramah yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid, ataupun terlibat sama dalam program gotong-royong membersihkan kawasan masjid. 

Inilah yang dipanggil, tidak mengambil manfaat daripada persekitaran kita. 

Seorang alim dari Pakistan, Abul A'la Maududi pernah berkata berkenaan sikap generasi hari ini terhadap Al Quran.

"Al-Quran mampu memberikan kepada anda manfaat apa pun yang anda inginkan dan sebanyak apa pun yang anda mahu. Kalau dari al-Quran, yang anda cari hanya manfaat yang kecil dan remeh, seperti untuk mengusir jin dan hantu-hantu, ubat untuk orang sakit batuk dan demam, kemenangan dalam pengadilan dan berjaya dalam mencari kerja, maka yang anda peroleh, memang, hanya hal-hal kecil itu saja. Bila yang anda cari hanya kekuasaan di atas dunia dan penguasaan terhadap  alam semesta, maka anda juga akan memperolehnya. Dan kalau anda menginginkan untuk mencapai puncak kebesaran rohani, Al-Quran juga akan membawa anda ke sana. Ini hanyalah soal kemampuan anda untuk mengambil manfaat daripadanya. Al-Quran adalah bagaikan lautan: anda hanya mengambil dua titis air daripadanya, padahal, sebenarnya ia mampu memberikan air sebanyak lautan itu sendiri."

Ataupun, kita mungkin tinggal dikalangan bijak pandai namun kita memilih untuk menyendiri dan tidak bertanyakan kepada mereka apabila kita menemui jalan buntu.



Ketika mendengar pertanyaan dari ikhwah tersebut, aku membalas pertanyaannya dengan mengatakan bahawa semua perkara itu bergantung pada dzatiyah kita sendiri. 

Boleh sahaja kita tinggal berhampiran dengan ikhwah, tetapi kita mengambil sikap untuk menjauhkan diri atau tidak berjumpa dengan ikhwah yang lain.

Kita mungkin tinggal di 'kubu', namun 'kubu' itu tidak mampu memberikan manfaat kepada kita sekiranya kita sendiri yang tidak menggerakkan diri kita untuk beroleh manfaat yang ada padanya.

Boleh sahaja, seorang ikhwah itu tercampak ke suatu tempat yang asing, jauh dari ikhwah yang lain, namun dengan dzatiyyah yang ada, dia mampu menggerakkan amal disitu. Ikhwah tiada berdekatan? Dia keluar mendapatkan ikhwah yang jauh.

Adakah kita memetik buah-buahan yang sudah masak atau kita membiarkan buah-buahan yang sudah masak itu sehingganya busuk, lalu jatuh ke tanah.

Tanya pada diri, adakah persekitaran yang tidak mampu memberi manfaat kepada kita atau kita yang tidak mengambil manfaat yang ada padanya?

Monday, 8 July 2013

The Apple's Story: G'day Mate!

Redward Avenue

"Kita kena bertolak paling lewat pukul 6.30 pagi esok. Jadi kau datang la ke rumah aku awal sikit. Kita gerak sekali, naik kereta budak rumah aku", kedengaran suara serak basah Mizan melalui corong telefon.

"Wah awalnya. Start kerja pukul berapa? Nak kena bawa apa-apa ke? Sejuk tak? Rehat macam mana? Kau makan apa tengahari nanti?", bertalu-talu soalan aku ajukan kepada Mizan. Bimbang dan risau kerana bakal bekerja buat pertama kali di ladang kepunyaan syarikat Flavel and sons.

"Start kerja pukul 8 pagi. Tapi kalau boleh aku nak sampai awal, nanti taklah kelam kabut. Takyah bawa apa-apa, tapi bawa la sweater takut sejuk kat atas sana nanti. Kau bawa la makanan yang kenyang sikit untuk tengahari. Nanti penat nanti. Aku biasa bawa nasi untuk lunch", Mizan menjawab semua pertanyaan aku, ringkas dan padat.

"Sempat ke aku nak bersiap dan sampai kat rumah Mizan sebelum pukul 6.30 pagi ni. Solat subuh di masjid pon habis sekitar 6.20 pagi, perjalanan balik pula sekitar 5-10 minit. Perjalanan ke rumah Mizan lagi", aku bermonolog dalaman. Bimbang terlambat pada hari pertama bekerja dan memberi persepsi buruk kepada Mizan dan majikan baru.

"OK-ok. Aku cuba gerak ke rumah kau secepat mungkin. Jumpa esok pagi inshaAllah. Assalamualaikum"

"Waalaikummussalam"

Aku melihat ke jam dinding. Jarum panjang sudah menghampiri angka 10. Melangkah ringan menuju ke dapur untuk melihat apa yang ada untuk dijadikan menu makanan tengahari hari esok.

Ternampak sebungkus plastik separuh penuh berisi roti buku di sudut meja berhampiran dengan dapur.

"Ha! jadi la tu. Makan roti disapu dengan jem pon cukup dah", aku bercakap sendirian.

Aku mengeluarkan empat keping roti dari plastik dan menyapunya rata jem berperisa strawberry berjenama Coles itu. 

...

Alarm dari telefon bimbit berbunyi. Tangan kiri meraba-raba dalam kegelapan pagi mencari butang dismiss.

Bangkit dari baring, menggosok-gosok mata yang masih berat. 

"Naim, bangun. Jom siap nak pergi masjid", aku mengejut teman sebilikku.

Di masjid-masjid tertentu di Australia, solat berjemaah di masjid bagi setiap waktu telah pun ditetapkan waktunya dan selalunya sedikit lewat berbanding masuknya waktu solat yang asal, kemungkinan besar untuk memudahkan jemaah hadir kerana waktu solat akan berubah dari hari ke hari dan ada masanya berubah dengan drastik sekali.

Seusai solat dan tiba di rumah, jam menunjukkan pukul 6.30 pagi.

"Alamak lambat dah ni. Tak siap lagi ni. Bising Mizan nanti"

Ringtone telefon bimbit berbunyi. Tertera nama Mizan di screen telefon.

"Ada kat mana? Jom. Dah pukul 6.30 dah ni", Mizan menyuarakan kerisauan.

"Kejap-kejap. Baru balik masjid. maaf lambat. Kejap lagi aku sampai"

Menyalin pakaian, memasukkan bungkusan untuk lunch dan sebotol air ke dalam beg, aku bergerak menuju ke kereta hijau cilik di luar rumah.

Sejuk. Suhu berkisar sekitar 10 darjah Celsius pada penghujung musim luruh. Ditambah pula dengan tiupan angin yang menambah kesejukan pagi menusuk hingga ke tulang sum sum.

6.50 pagi

Kelihatan Mizan sedang menunggu dihadapan rumah. Telah beberapa kali telefon berbunyi sepanjang perjalanan ke rumah Mizan.

Kereta diletakkan di bahu Regency Road berhampiran Northpark Shopping Centre

"Maaf Mizan sebab lambat. Jom"

"Kau kena bawa kereta sebab aku tak ada lesen kereta"

Thursday, 23 May 2013

Kalam Murabbi: Hati

(http://langitilahi.com/pustaka/2013/04/lukisan-Hati.jpg)

Salam,


Dakwah itu, mengajak manusia kepada Allah. 

Dakwah itu, hubungan dari hati ke hati.

Dakwah itu, tugas kita.

Ada masa, kita menghabiskan masa yang banyak untuk menyiapkan diri kita sebelum turun menghadap manusia. Rambut disikat, baju digosok, bahan di telaah sehingga muak, skrip dibaca dan dihafal sehingga lumat. Namun apabila kita turun bertemu sang manusia, kita mendapati sentuhan itu kurang. Penerimaan mereka kering. Pemahaman mereka celaru.

Maka kita berfikir, di mana silapnya?

Seringkali apabila kita membicarakan mengenai mengajak manusia kepada Pencipta, kita hanya memfokuskan pada aspek luaran dan teknikaliti semata-mata. Bagaimana gaya bahasa kita, bagaimana pembentangan kita, bagaimana isi yang kita sampaikan, bagaimana penampilan kita. 

Duit habis dibelanjakan, tenaga habis dikerahkan, otak habis diperah.

Tetapi, masih. Kurang. Memuaskan.

Kita bertanya lagi, di mana silapnya?

Kita runsing dan pening. Berlari mendapatkan murabbi. meluahkan perasaan, menyatakan permasalahan.

Mendengar, mendengar dan terus mendengar.

Bagai batu jatuh menimpa kepala. Benar kalammu, wahai murabbi!

Kita, mengajak manusia kepada Allah, berkata berkenaan soal hati. Siapakah penjaga hati kita dan hati mereka? Serahkan pada pemilik empunya sebenar hati kita untuk berbicara pada apa milikNya. Persoalan untuk kita, di mana Allah di dalam hati kita?

Di mana solat berjemaah kita? Di mana solat sunat kita? Di mana bacaan Quran kita? Di mana puasa sunat kita? Di mana qiamulail kita?

Benar kalammu, wahai murabbi!

Semoga kita tidak lalai, leka, lupa dan alpa, hati kita milik siapa?