Mari ikut blog ini

Saturday, 21 December 2013

'Bos' besar?

Assalamualaikum.

Menjelang hujung tahun, berpusu-pusu staf menyusun hari untuk dihabiskan baki-baki cuti tahunan yang belum terusik. Ibarat menyusun blok-blok domino, kombinasi manakah yang terbaik untuk mendapatkan gabungan jatuhan domino yang terpanjang.

'Domino effect'

Ada yang bercuti sehingga tiga minggu lamanya. Ditambah pula dengan cuti hujung minggu serta cuti Krismas.

"Rasa malas lah nak buat kerja. Bos-bos semua cuti, makin bertambah malas lah", keluh Emir.

Dia duduk bersandar, tangannya dilepaskan bebas berkeliaran ditarik graviti. Kelihatan seperti fikirannya jauh menerawang, melangkaui dinding-dinding pejabat serta pintu-pintu bersekuriti tinggi yang hanya boleh dilepasi dengan kad akses. 




"Biasa lah, diorang bukannya ambil cuti sangat sepanjang tahun, ye lah lagi besar pangkat lagi besar tanggungjawab, lagi banyak kerja", Tajul membalas keluhan Emir. Terganggu konsentrasi dia yang dari tadi sibuk melukis di atas paparan skrin komputer. 

"Hari ni aku nak balik awal lah. Bukannya bos tau. Bos pon tak ada. Staf department lain pon aku tengok keluar masuk office je. Kalau aku keluar, mesti diorang ingat aku ada urusan dengan supplier "

"Tajul, jom kita lepak di 'pantri' jap. Aku tengok budak lain lepak selamba rock je sepanjang masa."

...

Untung, di pantri macam-macam ada! Espresso, Milo, teh, kopi, susu, sebut saja. 

"Hari ni aku nak try TehPresso la pulak", Emir berjalan menuju ke arah pantri sambil tersengih.

"Benda alah pulak TehPresso?"

"teh campuq Espresso"

Siap dibancuh, mereka duduk di meja panjang lokasi lepak petang mereka.

Kelihatan Azim berjalan laju memasuki pantri sambil memegang botol air tertera tulisan Herbalife

"Zim! Awat laju semacam je jalan. Hang nak kejar flight ka?", Emir separa menjerit.

"Jom la duduk jap, mai secawan", Tajul menambah.

Terdiam sebentar, "ok biar aku isi air sky juice jap"

...

"Zim, hang nak join aku tubik awal tak petang ni. Aku tengok bos hang pon tarak. Boleh kita main bola petang ni. Dah lama dah aku tak main.", Emir cuba mencari teman.

"Ha ah la Zim, aku pon plan nak balik awal. Nak terbeliak dah mata aku pandang skrin komputer lama-lama. Dah la bos aku tak ada, buat penat je terlebih rajin.

"Jom la, jom la. Hehe"

Senyum Azim menampakkan giginya yang putih. 

"Takpe lah, aku nak siapkan kerja sikit lagi tu. Tak sedap pulak kalau tak siapkan hari ni. Bos aku sebelum cuti dia dah susun siap dah kerja untuk aku. Bising pulak dia nanti kalau aku tak siapkan ikut plan dia"

Azim bangkit dari kerusi. "Wei, aku gerak dulu la. Dah tercapai dah hajat untuk bagi hilang haus ni."

...

Tajul dan Emir sambung berborak, hampir sejam mereka duduk di dalam pantri. Untung bekerja di syarikat yang dimiliki oleh orang UK, budaya kerja mereka berbeza dengan orang Jepun. Tiada banyak sekatan, tiada banyak peraturan, kebanyakkannya bergantung pada kepercayaan dan bersikap jujur.

"Dah dekat sejam dah kita lepak ni, jom balik ke meja. Karang ada orang 'report' pulak kat bos aku. Diorang ni bukan boleh tengok orang senang. Sikit-sikit nak mengadu. Macam budak-budak"

Kembali ke meja, Tajul membuka aplikasi yang membolehkan staf syarikat berhubung antara satu sama lain tanpa perlu bertemu secara fizikal. Sebagaimana aplikasi-aplikasi seperti Yahoo Messenger dan Facebook Messenger

Di isi 'Azim' pada ruangan 'search'. Enter.

{Bro, jom la balik awal petang ni}

{Lama dah tak main bola skali}

{bos kau pon xde kan. Kerja tu esok boleh buat}


Kelihatan tertulis -Ahmad Azim is writing-


[Salam bro]

[Tak boleh la bro, 'Bos' besar ada]

[he he]



{Bos besar?}

{Maksud kau Beckham, Head of Engineering ke?}

{Alaa dia lagi la taktau kalau kau balik awal. Dia tengah meeting. Lagipun entah dia kenal kau ke tak}



[Bukan]

[Ada 'bos' besar punya]

[He he he]



{Krik krik betul lah kau ni}

{Ce cite ce cite}



[Allah kan ada]

[He he he he]



{...}

{K bai}

{Nak sambung wat keje}



Saturday, 14 December 2013

COMANGO - Kawan atau Lawan?

Apa itu COMANGO?

COMANGO merupakan singkatan kepada Coalition of Malaysian NGOs (Gabungan Badan bukan Kerajaan Malaysia) yang terdiri daripada 54 NGOs yang kebanyakkannya berpendirian liberal dan anti-Islam [klik sini].

Perjuangan COMANGO

COMANGO memperjuangkan Kebebasan Individu (Human Rights) dengan bertopengkan 'Hak Asasi Manusia' berdasarkan definisi barat yang menuntut kebebasan mutlak dari sebarang pengaruh seperti agama dan budaya.

Antara rujukan utama yang digunakan oleh mereka adalah Universal Declaration of Human Right [klik sini].

Antara isi kandungan deklarasi tersebut adalah:


  • Artikel 16 - (1) Lelaki dan perempuan dewasa, tanpa sebarang batasan samada bangsa, warganegara ataupun agama, mempunyai hak untuk berkahwin dan mempunyai keluarga. Kedua-dua pihak lelaki dan perempuan mempunyai hak yang samarata berhubung hal perkahwinan, dalam tempoh masa perkahwinan dan pada hal perceraian.
  • Artikel 18 - Semua orang mempunyai kebebasan untuk berfikir, suara hati dan beragama; hak ini termasuklah kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan, samada secara bersendirian atau secara dengan orang lain dan secara terbuka atau bersendirian, menganuti agama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pemerhatian mereka.


Sebahagian daripada NGOs yang menyertai COMANGO dimana hanya 12 NGOs berdaftar secara rasmi di bawah ROS

























Adakah Islam menolak Hak Asasi Manusia?

Islam sama sekali tidak menolak hak-hak yang patut diperolehi oleh manusia sejagat, namun hak-hak tersebut perlu mengikut seperti yang terkandung di dalam syariat Islam.

Cairo Declaration on Human Rights in Islam 5/8/1990 [klik sini] yang terhasil daripada perbincangan oleh Pertubuhan Persidangan Islam atau nama lainnya Organisation of Islamic Cooperation (OIC) [klik sini] telah pun menggariskan panduan Hak Asasi Manusia menurut perspektif Islam.

Antara isi kandungan deklarasi tersebut adalah:

  • Artikel 10 - Islam adalah agama fitrah. Adalah terlarang untuk melakukan apa jua bentuk paksaan ke atas manusia atau untuk mengambil kesempatan daripada kemiskinan ataupun kejahilannya untuk mengubah agamanya kepada agama lain ataupun tidak beragama.
  • Artikel 24 - Semua hak dan kebebasan yang ditetapkan di dalam deklarasi ini adalah tertakluk di bawah Syariat Islam
  • Artikel 25 - Syariah Islam adalah satu-satunya sumber rujukan bagi sebarang penerangan atau penjelasan untuk mana-mana artikel di dalam deklarasi ini.
Apakah tuntutan COMANGO yang berbahaya dan perlu ditentang?

  • Perenggan 1 - Kebebasan untuk murtad
  • Perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 - Menghalalkan seks songsang
  • Perenggan 6.2 - Menghapuskan hak istimewa orang Melayu
  • Perenggan 6.8 - Memaksa tafsiran perkauman menurut fahaman sekular barat
  • Perenggan 9 - Menghapuskan Kesalahan Jenayah Syariah
  • Perenggan 10.1.1 - Menuntut penterjemahan 'God' kepada 'Allah' oleh Kristian Katolik di Malaysia
  • Perenggan 10.1.6 - Menuntut kebebasan beragama bagi ajaran sesat Syiah di Malaysia
  • Perenggan 10.1.11 - Menuntut agar mana-mana ibubapa yang memeluk Islam tidak diberi hak penjagaan anak
Antara inisiatif bersama oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam menjelaskan bahayanya agenda COMANGO


Sekiranya tuntutan-tuntutan oleh COMANGO ini berjaya dicapai, maka akhirnya akan wujudlah masyarakat yang Liberal dan mempunyai kebebasan mutlak tanpa sebarang batasan agama mahupun budaya.

Pendek kata, COMANGO perlu ditentang kerana pendiriannya yang bercanggah dengan ISLAM dan PERLEMBAGAAN Malaysia.


A120

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Al-Baqarah: 120)


Saturday, 7 December 2013

Pemuda dan masyarakat

Salam,


masyarakat terdidik dengan ilmu, dan ilmu itu perlu dipandu dengan wahyu supaya ia terarah ke arah yang betul.

Hakikatnya, kita dapat melihat sejauh dan sematang mana tahap pemikiran seseorang melalui tahap pendidikan mereka. Mereka yang kurang terdidik atau kurang terdedah dan banyak perkara terdorong untuk berfikiran lebih sempit dan tidak mampu berfikiran jauh serta sukar mencakna isu-isu yang rumit.

Saya seorang yang suka bersukan, dan pada masa lapang di hujung minggu saya akan menyertai remaja-remaja dari kawasan perumahan yang berdekatan untuk bermain bola. Sukan merupakan medium yang bagi saya antara yang paling baik untuk masuk ke dalam suatu komuniti itu dan meluaskan kenalan serta pengaruh kita.

Sering juga saya meluangkan masa untuk duduk 'berlepak' sebentar bersama remaja yang rata-ratanya masih bersekolah di sebuah pondok di padang. Ternyata pemikiran mereka, percakapan mereka serta apa yang diperkatakan cukup untuk menggambarkan di mana keadaan masyarakat kita pada masa kini.

Perkataan-perkataan seperti 'bodoh', 'babi', 'sial', 'celaka' dan berbagai lagi merupakan zikir harian mereka. Sedikit tersilap, pasti akan keluar 'zikir-zikir' ini. Belum lagi dicampur dengan perkataan-perkataan serta perbuatan-perbuatan lucah. Merokok seolah-olah merupakan perkara biasa seperti bernafas. Mereka bebas melakukannya tanpa sedikit pon berasa malu dan takut.

Apa yang lebih menghairankan, orang dewasa yang berada berdekatan hanya melihat anak-anak ini dengan urusan aktiviti mereka tanpa menghiraukan salahlaku mereka. Mungkin kerana inilah remaja menjadi berani untuk melakukannya secara terbuka.

Sering juga apabila bermain bola, terdapat sekumpulan remaja berbangsa india yang akan bermain sekali. Pernah saya bertanya kepada beberapa remaja melayu,

"Tak pernah campur ke satu team?"

"Mana boleh. Diorang India"

"Kenapa tak boleh?"

"......", mereka terdiam.

Kemudian seorang menyampuk, "nanti kita jadi hitam la"

Wow. Sejak dari sekolah mereka sudah mempunyai mentaliti sebegini. 

Namun, di dalam ramai-ramai itu tidak dinafikan wujud segelintir yang masih baik, walaupun tidak ramai.

Kelab Remaja ISMA (KRIM) merupakan salah satu alternatif yang baik untuk remaja peringkat sekolah

Ada dikalangan mereka yang rajin ke surau, walaupun hanya sebilangan kecil.

Suatu hari, pernah saya meluangkan masa untuk bersarapan pagi bersama mereka. Mereka menceritakan banyak perkara dan hakikatnya, lebih teruk dari apa yang boleh kita lihat.

Secara ringkasnya, beberapa dapatan yang saya perolehi daripada perkongsian oleh segelintir dari mereka.

Sejak awal sekolah menengah lagi telah ramai yang berjinak-jinak dengan arak dan berjudi. Bergaduh, ponteng sekolah, melawan cikgu dan merokok itu merupakan perkara biasa.

Kebanyakkannya merupakan pengaruh daripada rakan-rakan sebaya. Sehingga ada yang berkata, "mana ada orang yang baik kat sekolah. Budak yang baik, masuk sekolah mesti jadi jahat".

"Kawan-kawan saya selalu main tiket."

"Macam mana tu?"

"Pergi kedai cina kat hujung tu, lepas tu beli lah. Sekeping seringgit. Kalau nasib baik kena menanglah RM100 ke, RM200 ke. Kalau menanglah."

"Kalau kawan saya yang sorang lagi ni bang, kaki ponteng. Kalau masuk je subjek yang dia tak suka, dia tarik saya keluar kelas. Agak-agak cikgu habis mengajar, kitorang masuk balik"

"Ada juga yang kuat minum. Itu memang rosak bang. Lepas tu kaki pukul. Gaduh je keje. Tapi dia baik, kalau member kena pukul dia datang tolong."

Dan bermacam-macam lagi perkara.

Di akhir pertemuan itu, saya ucap beberapa perkara padanya.

"Berkawan biar ramai, tetapi carilah mereka yang baik untuk menjadi teman rapat"

"Belajar biar pandai, tetapi agama jangan tinggal."


"Jika kita ingin lihat pemimpin masa hadapan,lihatlah pemuda pada hari ini"

Thursday, 15 August 2013

Pakcik, saf tak lurus!

Salam,

Yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Sering disebut-sebut, betapa lemah lembut, berbudi bahasanya orang Melayu. Apabila lalu dihadapan orang yang lebih tua, kita akan membongkokkan sedikit badan kita menandakan hormatnya kita kepada mereka. 

Apabila melihat ada orang tua yang ingin melintas jalan, maka kita akan pergi mendapatkan mereka untuk membantu mereka melintas jalan.

Mereka yang lebih tua dipanggilkan dengan panggilan-panggilan seperti pakcik dan makcik berbanding menyebut nama mereka secara langsung.

Kuih-muih, makanan yang terdapat di dalam pinggan tidak akan dihabiskan malah ditinggalkan sekurang-kurangnya satu bahagian untuk menunjukkan betapa kita mengutamakan orang lain. (eh)

Apabila bertemu, kita bersalaman. Pakej sekali dengan cium tangan hingga basah tangan orang yang di cium (euuw)

Generasi demi generasi berlalu, budi bahasa semakin luput. Hormat semakin pudar, sayang semakin luntur.



Melihat realiti masyarakat yang menjurus ke arah itu, kerajaan mengambil inisiatif dengan melancarkan beberapa siri kempen untuk kembali menerapkan budi bahasa ke dalam jati diri masyarakat (Walaupun kurang berkesan, tidak mendapat perhatian masyarakat dan tidak beberapa menyeluruh).

Menjadi lebih parah lagi apabila penyakit bodoh sombong (ignorance) dan ego serta cepat melatah apabila ditegur berdarah daging di dalam diri kita.

********************

Mengambil contoh mudah, ketika menunaikan solat secara berjemaah di masjid/surau.

Seringkali kita akan melihat betapa tidak lurusnya saf-saf solat serta berapa jauh jaraknya di antara jemaah solat.

Kita terlalu mewah dengan ruang.

Melihat ke kiri dan ke kanan, lurus ke tidak saf?

Sekali lagi, adakah kita tidak menutup celah-celah di antara kita dan orang di sebelah?

Melihat kepada pak Dolah di sebelah kiri.

"Awat pakcik ni berdiri depan sangat ni. Macam berombak pulak saf solat"

Dicuit peha kanan pak Dolah.

Pak Dolah buat 'don't know'.

Dicuitnya peha kanan pak Dolah sekali lagi.

Pak Dolah menoleh. 'Grrrr', seolah-olah ekspresi yang boleh dibaca dari wajahnya. 

"Pak Dolah, belakang sikit", aku bersuara kecil.

Beliau kembali menoleh ke hadapan, mengabaikan kata-kataku.

**krik krik**

Imam mengangkat takbir. Sepantas kelajuan bunyi Pak Dolah mengangkat takbir.

"Aiyak. Guano sek kito"

********************

Di lain waktu.

Bersolat bersebelahan Pak Kasim di sebelah kiri beliau.

"Jauhnya Pak Kasim berdiri. Dah siap baling kunci ke karpet masjid dah."

Dicuit manja peha kiri beliau. Ditolehnya 90 darjah arah lawan jam.

"Pak Kasim, rapat sikit. Jauh sangat tuu", aku berbisik.

Dibuatnya endah tak endah. 

"Ada beran budak setahun jagung hingus tak lap ni tegur aku", ujar beliau di dalam hati, agaknya.

Wednesday, 24 July 2013

Dik, buat apa tuh?

Salam,

Malam itu, malam yang ke 14 Ramadhan mengikut perkiraan dari hari pertama berpuasa.

Seusai menunaikan solat sunat witir secara berjemaah di Surau Al-Kauthar aku bergegas pulang ke rumah untuk bersiap kerana perlu hadir ke dua tempat pada malam itu.

Pertama, moreh bersama usrati. Kedua, futsal persahabatan bersama sahabat baharu dari Mesir.

Dalam perjalanan balik, aku melalui laluan yang biasa aku guna setiap kali hendak ke surau. Laluannya agak gelap, dan jarang digunakan oleh orang ramai. 

Di sisi laluan itu sedikit bersemak yang mungkin menyebabkan orang tidak bisa menggunakan laluan itu.

Di tengah perjalanan, ternampak kelibat 3 orang lelaki.

Yang paling berumur, paling hampir ke laluan.

Yang muda sedikit, di tengah.

Yang paling kecil dan paling muda, di hujung sekali nun kedalam.

Semuanya sedang duduk. Si abang long sedang sibuk makan, barangkali makanan daripada surau al-kauthar yang dibawanya kesitu.

Aku hairan, mengapa mereka duduk disitu, dalam kegelapan malam yang terselindung dan pancaran cahaya mentol.

Aku menoleh ke arah mereka, mengukir senyuman dalam kesamaran malam dan lantas menyambung perjalanan pulang.

Tetapi, sebelum aku melangkah, ternampak nyalaan api kecil di hujung tangan si kecil.

"Eh, apa itu. Nampak macam api dari putung rokok", aku bermonolog dalaman.

Segera aku bergerak mendekati si kecil untuk mendapatkan kepastian.

Terlihat akan aku menghampirinya, si kecil kelihatan tidak keruan dan mencampakkan punca api itu kebelakang.

"Dik, apa tu?"

... Si kecil tidak menjawab.

"Apa benda yang macam api tu?", aku bertanya lagi.

... Si kecil tetap membisu. Riak wajahnya berubah pucat.

"Dik, hisap rokok ye?"

... Si kecil menggeleng.

"Umur berapa ni?"

...Si kecil masih berdiam.

"Ni umur berapa ni?", aku mengulangi soalanku.

"13 tahun bang", dia menjawab sambil wajahnya melihat kebawah.

Aku menggeleng kepala. Menarik nafas panjang.

"Dik, mana dapat rokok ni? Tau tak rokok ni tak elok. Fatwa Kebangsaan Malaysia pon dah menfatwakan bahawa rokok ini haram", aku bercakap sebagaimana seorang abang menasihati adiknya.

"Dik, di bulan Ramadhan ni, bulan penuh kebaikan dan kemuliaan ni, jangan la kita mula belajar buat benda tak elok.", terasa seperti aku sedang berleter. Ah! apa aku kisah. 

"Mana dapat rokok ni? Siapa yang bagi?", aku mengalih pandangan ke arah dua orang yang lebih tua disebelah si kecil.

"Adik beradik ke?"

Tuesday, 16 July 2013

Dzatiyah: menggerakkan diri, beroleh manfaat

Salam,

Aku pernah ditanya oleh seorang ikhwah, bagaimana perasaan apabila tinggal di 'kubu' (di Bandar Baru Bangi terletak pejabat pusat Ikatan Muslimin Malaysia serta mempunyai populasi aktivis ISMA yang ramai). 

Di sini terdapat sungguh ramai ikhwah dan banyak program yang berlangsung di kawasan sekitarnya.

Bukan itu sahaja, Bandar Baru Bangi juga turut dikenali sebagai bandar ilmu. Disini juga terdapat ramai ilmuwan, ulama dan aktivis dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), IKRAM, HALUAN, Young Muslim Project (YMP) serta banyak lagi pertubuhan yang lain.

Setiap hari, pasti akan ada program ceramah, kuliah, tazkirah dan lain-lain yang boleh dihadiri.

Namun, di atas semua kelebihan dan kemudahan yang tersedia disekeliling penduduk Bandar Baru Bangi, ada satu lagi perkara yang besar yang menentukan bagaimana biah (persekitaran) itu mampu memberi manfaat kepada kita.

Bagaimanakah itu mendapatkan manfaat daripada persekitaran kita?

Cuba bayangkan sekiranya kita tinggal di kawasan perumahan yang hanya mengambil masa beberapa minit berjalan kaki ke masjid yang berhampiran. Namun, kita tidak atau jarang sekali mengimarahkan masjid tersebut apabila masuknya waktu solat, menghadiri tazkirah mahupun ceramah yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid, ataupun terlibat sama dalam program gotong-royong membersihkan kawasan masjid. 

Inilah yang dipanggil, tidak mengambil manfaat daripada persekitaran kita. 

Seorang alim dari Pakistan, Abul A'la Maududi pernah berkata berkenaan sikap generasi hari ini terhadap Al Quran.

"Al-Quran mampu memberikan kepada anda manfaat apa pun yang anda inginkan dan sebanyak apa pun yang anda mahu. Kalau dari al-Quran, yang anda cari hanya manfaat yang kecil dan remeh, seperti untuk mengusir jin dan hantu-hantu, ubat untuk orang sakit batuk dan demam, kemenangan dalam pengadilan dan berjaya dalam mencari kerja, maka yang anda peroleh, memang, hanya hal-hal kecil itu saja. Bila yang anda cari hanya kekuasaan di atas dunia dan penguasaan terhadap  alam semesta, maka anda juga akan memperolehnya. Dan kalau anda menginginkan untuk mencapai puncak kebesaran rohani, Al-Quran juga akan membawa anda ke sana. Ini hanyalah soal kemampuan anda untuk mengambil manfaat daripadanya. Al-Quran adalah bagaikan lautan: anda hanya mengambil dua titis air daripadanya, padahal, sebenarnya ia mampu memberikan air sebanyak lautan itu sendiri."

Ataupun, kita mungkin tinggal dikalangan bijak pandai namun kita memilih untuk menyendiri dan tidak bertanyakan kepada mereka apabila kita menemui jalan buntu.



Ketika mendengar pertanyaan dari ikhwah tersebut, aku membalas pertanyaannya dengan mengatakan bahawa semua perkara itu bergantung pada dzatiyah kita sendiri. 

Boleh sahaja kita tinggal berhampiran dengan ikhwah, tetapi kita mengambil sikap untuk menjauhkan diri atau tidak berjumpa dengan ikhwah yang lain.

Kita mungkin tinggal di 'kubu', namun 'kubu' itu tidak mampu memberikan manfaat kepada kita sekiranya kita sendiri yang tidak menggerakkan diri kita untuk beroleh manfaat yang ada padanya.

Boleh sahaja, seorang ikhwah itu tercampak ke suatu tempat yang asing, jauh dari ikhwah yang lain, namun dengan dzatiyyah yang ada, dia mampu menggerakkan amal disitu. Ikhwah tiada berdekatan? Dia keluar mendapatkan ikhwah yang jauh.

Adakah kita memetik buah-buahan yang sudah masak atau kita membiarkan buah-buahan yang sudah masak itu sehingganya busuk, lalu jatuh ke tanah.

Tanya pada diri, adakah persekitaran yang tidak mampu memberi manfaat kepada kita atau kita yang tidak mengambil manfaat yang ada padanya?

Monday, 8 July 2013

The Apple's Story: G'day Mate!

Redward Avenue

"Kita kena bertolak paling lewat pukul 6.30 pagi esok. Jadi kau datang la ke rumah aku awal sikit. Kita gerak sekali, naik kereta budak rumah aku", kedengaran suara serak basah Mizan melalui corong telefon.

"Wah awalnya. Start kerja pukul berapa? Nak kena bawa apa-apa ke? Sejuk tak? Rehat macam mana? Kau makan apa tengahari nanti?", bertalu-talu soalan aku ajukan kepada Mizan. Bimbang dan risau kerana bakal bekerja buat pertama kali di ladang kepunyaan syarikat Flavel and sons.

"Start kerja pukul 8 pagi. Tapi kalau boleh aku nak sampai awal, nanti taklah kelam kabut. Takyah bawa apa-apa, tapi bawa la sweater takut sejuk kat atas sana nanti. Kau bawa la makanan yang kenyang sikit untuk tengahari. Nanti penat nanti. Aku biasa bawa nasi untuk lunch", Mizan menjawab semua pertanyaan aku, ringkas dan padat.

"Sempat ke aku nak bersiap dan sampai kat rumah Mizan sebelum pukul 6.30 pagi ni. Solat subuh di masjid pon habis sekitar 6.20 pagi, perjalanan balik pula sekitar 5-10 minit. Perjalanan ke rumah Mizan lagi", aku bermonolog dalaman. Bimbang terlambat pada hari pertama bekerja dan memberi persepsi buruk kepada Mizan dan majikan baru.

"OK-ok. Aku cuba gerak ke rumah kau secepat mungkin. Jumpa esok pagi inshaAllah. Assalamualaikum"

"Waalaikummussalam"

Aku melihat ke jam dinding. Jarum panjang sudah menghampiri angka 10. Melangkah ringan menuju ke dapur untuk melihat apa yang ada untuk dijadikan menu makanan tengahari hari esok.

Ternampak sebungkus plastik separuh penuh berisi roti buku di sudut meja berhampiran dengan dapur.

"Ha! jadi la tu. Makan roti disapu dengan jem pon cukup dah", aku bercakap sendirian.

Aku mengeluarkan empat keping roti dari plastik dan menyapunya rata jem berperisa strawberry berjenama Coles itu. 

...

Alarm dari telefon bimbit berbunyi. Tangan kiri meraba-raba dalam kegelapan pagi mencari butang dismiss.

Bangkit dari baring, menggosok-gosok mata yang masih berat. 

"Naim, bangun. Jom siap nak pergi masjid", aku mengejut teman sebilikku.

Di masjid-masjid tertentu di Australia, solat berjemaah di masjid bagi setiap waktu telah pun ditetapkan waktunya dan selalunya sedikit lewat berbanding masuknya waktu solat yang asal, kemungkinan besar untuk memudahkan jemaah hadir kerana waktu solat akan berubah dari hari ke hari dan ada masanya berubah dengan drastik sekali.

Seusai solat dan tiba di rumah, jam menunjukkan pukul 6.30 pagi.

"Alamak lambat dah ni. Tak siap lagi ni. Bising Mizan nanti"

Ringtone telefon bimbit berbunyi. Tertera nama Mizan di screen telefon.

"Ada kat mana? Jom. Dah pukul 6.30 dah ni", Mizan menyuarakan kerisauan.

"Kejap-kejap. Baru balik masjid. maaf lambat. Kejap lagi aku sampai"

Menyalin pakaian, memasukkan bungkusan untuk lunch dan sebotol air ke dalam beg, aku bergerak menuju ke kereta hijau cilik di luar rumah.

Sejuk. Suhu berkisar sekitar 10 darjah Celsius pada penghujung musim luruh. Ditambah pula dengan tiupan angin yang menambah kesejukan pagi menusuk hingga ke tulang sum sum.

6.50 pagi

Kelihatan Mizan sedang menunggu dihadapan rumah. Telah beberapa kali telefon berbunyi sepanjang perjalanan ke rumah Mizan.

Kereta diletakkan di bahu Regency Road berhampiran Northpark Shopping Centre

"Maaf Mizan sebab lambat. Jom"

"Kau kena bawa kereta sebab aku tak ada lesen kereta"

Thursday, 23 May 2013

Kalam Murabbi: Hati

(http://langitilahi.com/pustaka/2013/04/lukisan-Hati.jpg)

Salam,


Dakwah itu, mengajak manusia kepada Allah. 

Dakwah itu, hubungan dari hati ke hati.

Dakwah itu, tugas kita.

Ada masa, kita menghabiskan masa yang banyak untuk menyiapkan diri kita sebelum turun menghadap manusia. Rambut disikat, baju digosok, bahan di telaah sehingga muak, skrip dibaca dan dihafal sehingga lumat. Namun apabila kita turun bertemu sang manusia, kita mendapati sentuhan itu kurang. Penerimaan mereka kering. Pemahaman mereka celaru.

Maka kita berfikir, di mana silapnya?

Seringkali apabila kita membicarakan mengenai mengajak manusia kepada Pencipta, kita hanya memfokuskan pada aspek luaran dan teknikaliti semata-mata. Bagaimana gaya bahasa kita, bagaimana pembentangan kita, bagaimana isi yang kita sampaikan, bagaimana penampilan kita. 

Duit habis dibelanjakan, tenaga habis dikerahkan, otak habis diperah.

Tetapi, masih. Kurang. Memuaskan.

Kita bertanya lagi, di mana silapnya?

Kita runsing dan pening. Berlari mendapatkan murabbi. meluahkan perasaan, menyatakan permasalahan.

Mendengar, mendengar dan terus mendengar.

Bagai batu jatuh menimpa kepala. Benar kalammu, wahai murabbi!

Kita, mengajak manusia kepada Allah, berkata berkenaan soal hati. Siapakah penjaga hati kita dan hati mereka? Serahkan pada pemilik empunya sebenar hati kita untuk berbicara pada apa milikNya. Persoalan untuk kita, di mana Allah di dalam hati kita?

Di mana solat berjemaah kita? Di mana solat sunat kita? Di mana bacaan Quran kita? Di mana puasa sunat kita? Di mana qiamulail kita?

Benar kalammu, wahai murabbi!

Semoga kita tidak lalai, leka, lupa dan alpa, hati kita milik siapa?









Thursday, 9 May 2013

Dakwah di tempat kerja 6

Salam,

di Lakeside Cafe dimana aku bekerja, ada 5 orang pekerja berbangsa India. 3 daripadanya adalah chef/ tukang masak dan dua lagi adalah pekerja biasa seperti aku (buat kitchen works, basuh pinggan, delivery dan seangkatan dengannya).

Di suatu malam yang hening kedengaran Tajes dan Guri berborak kencang di dalam bahasa Hindi.

Tajes: pung pang pung pang

Guri: pang pung pang pung

Lama juga mereka berborak. Dihadapan sinki aka port lepak aku.

Aku khusyuk melihat tingkahlaku mereka sambil mengangguk-angguk (berlagak faham). Nada mereka turun naik, tapi itu tidak menghairankan kerana memang begitu cara mereka berbicara. Bagi mereka, itu biasa, tapi bagi mereka yang tidak biasa dengan budaya bangsa India akan merasakan bahawa mereka sedang bertelingkah. 

Dalam khusyuk mereka berborak, aku mencelah. What are you guys talking about? Are you guys arguing about religions?

Guri menoleh, menunjukkan muka tak puashati. Kemudian dia tersengih. 

"yeah. You know what, Tajes, me and Bharath (seorang lagi tukang masak) are all different religions"

Dia menyambung lagi, " I'm Sikh. Tajes is Hindu and Bharath is Buddha (Mungkin tertukar siapa, dan apa agama mereka). But sometimes i go to his temple and sometimes he go to mine."

Aku buat muka sedikit terkejut. "Seriously? But all three of you are from different religions. How can you share the same temple?"

"Why not. We all worshiped the same God (ke dia sebut Gods?). I also some times go to the mosque", Guri menjawab bangga. 

"Pluralisme habis mamat ni", aku berborak dengan hati.



Thursday, 21 February 2013

Adakah mereka salah?

Salam,

Awal tahun 2012, saya dan keluarga pergi ke Pulau Pinang untuk bercuti di situ. Kami memilih untuk menyewa di kawasan sekitar Georgetown kerana Georgetown terkenal sebagai sebuah lokasi perlancongan yang mempunyai banyak 'landmarks' yang menarik.


Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang keberadaan disana, majoriti penduduk adalah berbangsa Cina dan diikuti oleh Melayu, India dan bangsa-bangsa lain.

Kami sekeluarga menetap di An Nur Ancasa Express yang terletak tidak jauh dari Masjid Kapitan Keling. Boleh dilihat ramai penduduk berbangsa India dan beragama Islam (India Muslim/mamak) menjalankan urusan seharian mereka di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling.

Apa yang menariknya mengenai masjid ini adalah boleh dikatakan hampir kesemua orang yang menguruskan hal ehwal masjid merupakan keturunan mamak! Imam, muazzin, AJK masjid, penjaga tabung dan lain-lain.


Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang
Sumber: http://batu.jim.org.my/blog/wp-content/uploads/2009/12/masjid-masjid-kapitan-keling1.jpg




Menarik bukan?

Perkara sebegini tidak dapat dilihat di kebanyakan tempat di Malaysia kerana kekurangan populasi bangsa India beragama Islam.

Namun, perkara itu tidak sekalipun menghalang atau membuatkan seorang yang berbangsa Melayu seperti aku merasakan janggal untuk menunaikan solat berjemaah disitu. Tidak kira di mana anda berada Islam mensyariatkan supaya azan, iqamat dan bacaan di dalam solat sentiasa menggunakan bahasa Arab sebagai mediumnya.

Masjid Kapitan Keling ini merupakan suatu identiti unik masyarakat di situ. Perkara ini sekali-kali tidak pon menjadi persoalan atau perebutan diantara bangsa-bangsa yang berlainan, samada dari segi siapa menjadi imam atau siapa berkuasa ke atas pengurusan masjid itu.

Siapa yang majoriti dan mempunyai kuasa, kesungguhan, kehendak dan kemampuan, dia lah yang layak. Asalkan dia Islam!

Disitu, kaum India Muslim merupakan majoriti dan boleh dikatakan lebih dari 80 % jemaah ke Masjid Kapitan Keling merupakan bangsa India. 

Antara keunikan lain di masjid itu adalah ceramah-ceramah serta kuliah-kuliahnya menggunakan Bahasa Tamil (kalau tak salah) sebagai medium perantaraan. Ini merupakan hak mereka untuk melakukan sedemikian. 

Namun ada juga kadangkala penceramah jemputan yang dijemput untuk memberikan ceramah dan menggunakan medium bahasa Melayu sebagai medium perantaraan.

Adakah mereka dikatakan 'racist' atau bersikap perkauman sekiranya mereka memilih untuk melakukan sedikit kelainan dan memperjuangkan hak majoriti mereka disitu?

"I don't think so"

^v^

Wassalam.






Tuesday, 19 February 2013

Pandai berkatanya seorang pemimpin

Salam,

Apabila seseorang itu pandai dalam berkata-kata dan menyampaikan hasratnya kepada seseorang atau sekumpulan manusia yang lain, dia pasti mampu membuatkan mereka yang mendengar untuk bersetuju dan mengikutinya.

Kelebihan dalam berkata-kata ini tidak dimiliki dalam diri semua orang. Mereka yang hebat dalam berkata-kata ini seringkali dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat.

 Namun, bukan semua yang pandai berkata-kata itu mempunyai apa yang diperlukan apabila melibatkan perkara-perkara yang khusus seperti ilmu agama. Kadangkala, mereka yang diakui kehebatannya dan kefasihannya dalam berkata-kata itu tidak mampu menyampaikan hasrat dan memegang tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Dikisahkan di dalam Al Quran kisah mengenai Nabi Musa A.S. dan Firaun. Kisah mengenai Nabi Musa ini ditulis di dalam banyak surah di dalam Al-Quran, antaranya di dalam Surah Maryam, Surah Yunus, Surah Al-Qasas dan lain-lain.

Ketika Nabi Musa diperintahkan oleh Allah untuk pergi berhadapan dengan Firaun untuk menyampaikan seruan dakwah kepadanya, Nabi Musa memohon supaya ditemani oleh Nabi Harun.

“Dan saudaraku Harun lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai penyokong untuk membenarkan aku; sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.” (Al-Qasas: 34)

Nabi Harun dikisahkan sebagai seorang yang lebih fasih dan pandai berkata-kata berbanding Nabi Musa.

Namun, apabila berhadapan dengan Firaun, dikisahkan hanya dialog diantara Nabi Musa, Firaun dan ahli-ahli sihir Firaun sahaja. Kelebihan Nabi Musa bukanlah pada lidahnya, namun beliau tetap menjalankan perintah Allah yakni menyampaikan dakwah kepada Firaun.

 Dinukilkan di dalam Surah Toha, dialog diantara Nabi Musa dan Firaun:


 47," Maka datanglah kamu berdua kepadanya (Fir'aun) dan katakanlah: Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israil bersama kami dan janganlah kamu menyiksa mereka . Sesungguhnya kami telah datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) dari Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk''

48. Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahwa siksa itu (ditimpakan) atas orang-orang yang mendustakan  dan berpaling .

49. Berkata Fir'aun: "Maka siapakah Tuhanmu berdua, hai Musa?

50. Musa berkata: "Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk

51. Berkata Fir'aun: "Maka bagaimanakah keadaan umat-umat yang dahulu?"

52. Musa menjawab: "Pengetahuan tentang itu ada di sisi Tuhanku, di dalam sebuah kitab Tuhan kami tidak akan salah dan tidak (pula) lupa.

Sebuah lagi kisah yang boleh diambil adalah ketika mana Nabi Musa meninggalkan kaumnya untuk ke Thur Sina selama 40 hari dan Nabi harun ditinggalkan sebagai wakil kepadanya untuk menjaga kaumnya.


Pemimpin?

Selepas 40 hari, Nabi Musa kembali kepada kaumnya dan terkejut apabila mendapati sebahagian daripada kaumnya telahpun menyembah patung lembu buatan seorang lelaki bernama Samiri.


Dan tatkala Musa telah kembali kepada kaumnya dengan marah dan sedih hati berkatalah dia: "Alangkah buruknya perbuatan yang kamu kerjakan sesudah kepergianku! Apakah kamu hendak mendahului janji Tuhanmu? Dan Musapun melemparkan luh-luh (Taurat) itu dan memegang (rambut) kepala saudaranya (Harun) sambil menariknya ke arahnya, Harun berkata: "Hai anak ibuku, sesungguhnya kaum ini telah menganggapku lemah dan hampir-hampir mereka membunuhku, sebab itu janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah kamu masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim" (Al A'raf:150)

Kisah yang diceritakan ini menggambarkan bahawa Nabi Harun, seorang Nabi yang lebih fasih berkata-kata daripada Nabi Musa tidak mampu untuk menahan kaumnya daripada menyembah patung lembu itu.

Disini menunjukkan bahawa kefasihan seseorang dalam berkata-kata tidak bermakna dia mampu menjadi seorang pemimpin yang lebih baik.

Tidak dinafikan bahawa antara kualiti yang patut ada pada setiap pemimpin adalah mampu berkata-kata dengan baik dan berkesan kepada masyarakat disekeliling. 

Namun yang menyedihkan, tidak semua tokoh-tokoh masyarakat kini yang hebat berkata-kata mempunyai kualiti dalam memastikan agama Islam dan umat Islam akan sentiasa terpelihara. Suasana yang dilihat pada masyarakat kini sudah berbeza. Sesiapa yang lebih hebat bercakap dicorong-corong mikrofon, lebih hebat berdebat di pentas-pentas debat, lebih lantang suaranya maka dialah juara, dialah pemimpin yang berwibawa, layak dan bersesuaian.

Hal peribadi, akhlak dan perwatakannya  diletaknya ketepi. Yang penting, kata-katanya berdesup. Itu sudah cukup.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita pada hari ini?



Friday, 1 February 2013

Panggilan dari bos

Salam,

1 Febuari 2013. 11.32 pagi.

Kedengaran bunyi telefon bimbitku yang terletak di atas katil di dalam bilik di tingkat atas. Sewaktu itu aku sedang menonton segmen 'Berita Dunia' di channel Bernama di Astro.

Siapa pulak telefon pagi-pagi ni. 

-Encik Adnan Sapura-

Alamak, bos telefon la. Angkat je la.

"Assalamualaikum. Apa kabar?", Encik Adnan memulakan bicara

"Waalaikummussalam. Kabar baik"

"Bos pe kabar?"
, aku bertanya kabar.

"Alhamdulillah baik. Kau bila nak datang office?"

Gulp.





"Sekarang tengah bercuti lagi bos. hehe"

"Aku selalu nampak kau dari jauh je kat surau. Nanti bila-bila free kau datang la office, kita minum-minum".
En Adnan merupakan ahli kariah di surau yang sering aku kunjungi; Surau Al-Kauthar.

"Oo. Nanti bila saya free saya datang. Bulan dua ni (Eh dah masuk bulan dua dah pon!)"

"Kau jangan datang waktu aku tak ada. Kalau boleh biar En Amin ada sekali. Kita borak-borak, minum-minum. Aku ada benda nak cakap dengan kau ni"

"(Errrr) InshaAllah bos. Nanti bila-bila saya datang."

"Kau dah ada minta kerja mana-mana belum?"

"Belum lagi. Masih cuti rehat"

"Ok la syeikh. Jumpa nanti. Assalamualaikum"

"Waalaikumussalam"


************************************

Ingat lagi rupanya bos pada aku. Tapi bos, saya ada plan lain sebenarnya. Nak cari kerja di Australia. Nanti saya pergi office saya explain pada bos ye.

*Saja berkongsi*

Yang benar,


Saturday, 26 January 2013

Kisah Jumaat

Salam,

Hari Jumaat selalu disebut sebagai penghulu kepada hari-hari yang lain. Selain itu, hari Jumaat juga dikenali sebagai 'hari raya' bagi setiap minggu.

Dalam hari Jumaat, ada beberapa adab-adab dan sunnah-sunnah yang diajarkan kepada kita sebagai orang Islam yang boleh kita patuhi dan ikuti.

Siang tadi, aku menunaikan solat Jumaat di di Masjid Ar-Rahimah, Gombak. Ketika itu, aku sedang dalam perjalanan ke UniKL-BMI untuk program yang dikenali sebagai Mini Semai Mesra (MSM) dan bertugas sebagai fasilitator.

Akibat sedikit masalah teknikal, jadi aku dan seorang sahabat bertolak sedikit lewat dari yang perancangan dan terpaksa berhenti di masjid tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Sampai sahaja di perkarangan masjid, kedengaran azan (kedua) sedang dilaungkan. Aku masuk ke ruangan solat luar surau. Kelihatan banyak ruangan-ruangan kosong di antara jemaah di hadapan, juga di belakang. Teringat aku pada kuliah maghrib tidak berapa lama yang lepas yang mensyarahkan sebuah hadis berkenaan kisah tegahan Nabi Muhammad SAW kepada mereka yang melangkah dan melintas di hadapan orang ketika Nabi sedang berkutbah.

Bahawa seorang lelaki masuk masjid pada hari Jumaat, sementara Rasulullah saw sedang berkhutbah, lalu orang tersebut melangkahi orang banyak; Maka Rasulullah saw bersabda, “Duduklah! Kamu telah menyakiti (orang yang dilangkahi) dan datang terlambat.” [Sahih Ibnu Majah]

Aku berhenti, tidak mahu hilang pahala Jumaat, aku sekadar berdiri di tempat di mana aku tidak perlu melangkah dan melintas di hadapan orang, menunggu sehingga azan (kedua) habis dan menunaikan solat tahiyatul masjid. Kelihatan ramai yang sampai lewat (lagi lewat dari aku!) dan melangkah-langkah untuk bergerak ke saf-saf dihadapan. Ada masa, terkejut juga aku apabila dicuit bahuku. Rupa-rupanya ada orang yang ingin bergerak ke hadapan melalui sebelah aku.

Nampak sopan, meminta izin, namun betulkah tindakan kita itu?

”Datang seorang lelaki(memasuki masjid) sedangkan ketika itu Nabi sedang menyampaikan khutbah kepada jemaah pada hari Jumaat,lalu Nabi bertanya kepada lelaki tersebut: ” Apakah kamu sudah solat wahai fulan?” Jawab beliau: ” Belum.” Sabda Nabi: ” Bangunlah dan solatlah dua rakaat”. [Sahih Bukhari]

Pada hari Jumaat, kita di sarankan untuk datang awal ke masjid/surau disamping memakai wangian, mandi serta mengenakan pakaian yang terbaik. Ketika kuliah maghrib minggu lepas, ustaz menegur kepada para jemaah berkenaan berapa ramai yang datang untuk menunaikan solat Jumaat dengan memakai baju kerja, datang lambat sehinggakan imam telahpun naik ke atas mimbar serta melangkah dan mengganggu jemaah lain dengan pergerakan mereka mencari ruangan kosong di antara jemaah.


“Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah.”
[Sahih Ibnu Majah]


No tidur-tidur ye. Nanti kena marah.