Mari ikut blog ini

Saturday, 26 January 2013

Kisah Jumaat

Salam,

Hari Jumaat selalu disebut sebagai penghulu kepada hari-hari yang lain. Selain itu, hari Jumaat juga dikenali sebagai 'hari raya' bagi setiap minggu.

Dalam hari Jumaat, ada beberapa adab-adab dan sunnah-sunnah yang diajarkan kepada kita sebagai orang Islam yang boleh kita patuhi dan ikuti.

Siang tadi, aku menunaikan solat Jumaat di di Masjid Ar-Rahimah, Gombak. Ketika itu, aku sedang dalam perjalanan ke UniKL-BMI untuk program yang dikenali sebagai Mini Semai Mesra (MSM) dan bertugas sebagai fasilitator.

Akibat sedikit masalah teknikal, jadi aku dan seorang sahabat bertolak sedikit lewat dari yang perancangan dan terpaksa berhenti di masjid tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Sampai sahaja di perkarangan masjid, kedengaran azan (kedua) sedang dilaungkan. Aku masuk ke ruangan solat luar surau. Kelihatan banyak ruangan-ruangan kosong di antara jemaah di hadapan, juga di belakang. Teringat aku pada kuliah maghrib tidak berapa lama yang lepas yang mensyarahkan sebuah hadis berkenaan kisah tegahan Nabi Muhammad SAW kepada mereka yang melangkah dan melintas di hadapan orang ketika Nabi sedang berkutbah.

Bahawa seorang lelaki masuk masjid pada hari Jumaat, sementara Rasulullah saw sedang berkhutbah, lalu orang tersebut melangkahi orang banyak; Maka Rasulullah saw bersabda, “Duduklah! Kamu telah menyakiti (orang yang dilangkahi) dan datang terlambat.” [Sahih Ibnu Majah]

Aku berhenti, tidak mahu hilang pahala Jumaat, aku sekadar berdiri di tempat di mana aku tidak perlu melangkah dan melintas di hadapan orang, menunggu sehingga azan (kedua) habis dan menunaikan solat tahiyatul masjid. Kelihatan ramai yang sampai lewat (lagi lewat dari aku!) dan melangkah-langkah untuk bergerak ke saf-saf dihadapan. Ada masa, terkejut juga aku apabila dicuit bahuku. Rupa-rupanya ada orang yang ingin bergerak ke hadapan melalui sebelah aku.

Nampak sopan, meminta izin, namun betulkah tindakan kita itu?

”Datang seorang lelaki(memasuki masjid) sedangkan ketika itu Nabi sedang menyampaikan khutbah kepada jemaah pada hari Jumaat,lalu Nabi bertanya kepada lelaki tersebut: ” Apakah kamu sudah solat wahai fulan?” Jawab beliau: ” Belum.” Sabda Nabi: ” Bangunlah dan solatlah dua rakaat”. [Sahih Bukhari]

Pada hari Jumaat, kita di sarankan untuk datang awal ke masjid/surau disamping memakai wangian, mandi serta mengenakan pakaian yang terbaik. Ketika kuliah maghrib minggu lepas, ustaz menegur kepada para jemaah berkenaan berapa ramai yang datang untuk menunaikan solat Jumaat dengan memakai baju kerja, datang lambat sehinggakan imam telahpun naik ke atas mimbar serta melangkah dan mengganggu jemaah lain dengan pergerakan mereka mencari ruangan kosong di antara jemaah.


“Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah.”
[Sahih Ibnu Majah]


No tidur-tidur ye. Nanti kena marah.

Thursday, 17 January 2013

Jom senyum!


Senyum sokmo!

Salam,

Seperti biasa, jika tidak terlibat dengan sebarang program dan tiada kekangan, aku akan cuba sedaya upaya untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid.

alkisah, sedikit coretan yang mengajar aku supaya sentiasa membaiki peribadi, menambahbaik nilai.

***********************************

Malam itu, Surau Al-Kauthar tidak mempunyai kuliah maghrib. Rasa sedikit kosong, aku bergerak pulang selepas selesai solat maghrib.

Aku kembali untuk menunaikan solat isyak di surau.

Seusai solat dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam, aku bangun dan bergerak ke ruangan tengah surau untuk menunaikan solat rawatib.

Dalam perjalanan, seorang pemuda berjalan ke arahku dalam keadaan tersenyum.

Aku senyum kembali.

Aku memberikan salam dan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan.

"Aku masa maghrib sampai Isyak memang ada kat sini kalau kau nak jumpa"

Aku sedikit 'blur' dengan tindakan dan percakapannya tapi aku hanya tersenyum dan kemudian aku membalas kata-katanya.

"Oh yeke. Ok2"

Dia berdiri di sebelahku dan menunaikan solat sunat. Aku selesai solat sedikit awal dan aku menunggunya sehingga dia selesai solat.

Aku memerhatikan wajahnya. "Macam tak kenal. Tapi gaya dia macam kenal aku."

Aku memerhatikan wajahnya buat seketika sehingga dia menegur. "Eh kenapa pandang macam tu", sambil tersengih.

"Emmm. Kita pernah jumpa ke sebelum ni? Pernah kenal ke?", aku mengajukan soalan.

Riak wajahnya berubah. Dari senyum kepada tidak. Dia menarik wajah gusar.

"Eh?"


Wajahnya menampakkan bahawa dia sedang berfikir mengenai sesuatu.


"Bukan baru lepas SPM ke?", dia bertanya. Raut wajahnya menunjukkan dia dalam keadaan serba salah. [p/s: yes, awet muda rupanya aku]

"Dah lepas dah SPM. Tapi dah lama sikit la. Dah masuk Uni dah pon."

"Eh nama kau bukan Syauqi ke? (Kalau tak salah!)", dia bercakap dalam nada perlahan. Kata-katanya sedikit tidak jelas.

"Eh takde la. Aizat.... Nama siapa ye?"

"Mujib. Oh la ingatkan kawan sorang tu. Muka macam hampir sama.", Mujib menjelaskan.

"Oh ye ke. Takpe takpe. Kalau tak kenal kita boleh berkenalan."

Kami bergerak menuju ke ruangan luar surau berhampiran tempat meletakkan selipar. Aku bertaaruf (berkenalan) dengan Mujib, bertanyakan di mana dia tinggal, belajar di mana dan sebagainya.

"Macam mana boleh ingat aku ni kawan kau?", aku mengajukan soalan. 

"Sebab tadi tengok senyum je. Lepas tu tadi cara cakap macam kita ni dah kenal lama.", Mujib membalas.

Kami berborak untuk sekitar 10 minit.

"Ok la. Nak kena gerak dah. Jumpa lagi esok, lepas maghrib!", pesan aku pada Mujib.

"Ok!"

Kami bergerak ke arah berasingan dan Mujib hilang dibalik kegelapan malam.


***********************************

"Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya.”  "
[Riwayat Al-Tabrani]

Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah.” 
[Riwayat Tirmidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi]

Perkara yang ingin aku sampaikan disini adalah bagaimana mudah untuk kita mesra/berkenalan/merapatkan silaturrahim hanya dengan menyampaikan salam dan senyum.

Jadi apa tunggu lagi? Jadilah orang yang terlebih dahulu memberi salam dan senyum! 

:)


Friday, 11 January 2013

Pemuda kita

Salam,

berikut adalah coretan beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan aku dari stesyen KTM UKM ke stesyen KTM Shah Alam.


***************************************

Untuk pergi ke Shah Alam menggunakan KTM (Keretapi Tanah Melayu) dari stesyen KTM UKM, aku perlu untuk transit di stesyen KLCentral dan mengambil train lain untuk menuju ke stesyen Shah Alam.

Jika menaiki kereta, hanya sekitar 30 - 40 minit diperlukan untuk tiba di Shah Alam namun akibat dari tidak mempunyai kenderaan sendiri, aku memilih untuk menggunakan khidmat KTM.

Perjalanan dari stesyen UKM ke KLCentral memakan masa sekitar 45 minit.


Stesyen Keretapi UKM. Berwajah baru!
Setibanya di stesyen Serdang (di pertengahan perjalanan), kelihatan seorang pakcik yang agak tua berjalan memasuki train dan beliau bergerak menuju ke penghujung gerabak.

Aku memerhatikan dari jauh.

2-3 minit berlalu dan tiada yang bangun untuk memberikan tempat duduk mereka kepada pakcik tersebut. Sedih rasa hati, mereka yang duduk berdekatan dengan tempat pakcik itu berdiri seolah-olah tidak menyedari atau tidak ambil peduli tentang kewujudan pakcik yang tua itu.

"Jauh pulak pakcik ni berdiri dari tempat aku. Ah tak kisah la, asalkan pakcik tu ada tempat duduk".

Baharu sahaja aku ingin bangun menuju kearah pakcik itu, seorang pemuda bangun, tanpa bercakap sepatah pon dan bersandar berhampiran pintu untuk memberikan tempat duduknya kepada pakcik tersebut.

"Allah. Alhamdulillah. Masih ada lagi pemuda-pemuda yang baik hati di Malaysia ini", ku mengucapkan syukur dalam hati.

Aku tersenyum. 

Train tiba di KLCentral.

Aku membeli tiket ke stesyen Batu Tiga kerana sudah berpakat dengan kawan untuk 'pick-up' aku disitu.

Turun di ruangan menunggu train yang terletak di ruangan bawah tanah, aku mencari tempat untuk duduk. Jumpa! Aku bergerak ke situ dan duduk. Mengeluarkan buku Solusi Edisi Januari 2013 yang belum habis dibaca.

Maklumat perjalanan berteknologi. Wah!

Beberapa ketika, seorang lelaki dan seorang perempuan datang menghampiri aku dan duduk sebelah menyebelah di bangku yang sama denganku.

Mereka galak berborak. 

Baru sahaja beberapa saat mereka duduk, si perempuan menarik tangan si lelaki dan meletakkannya di atas pehanya sambil menggosok-gosok tangan lelaki itu.

Aku memerhatikan gerak geri mereka. "Aish, adik beradik ke ni?", aku bertanya dalam hati.

"Ke pasangan suami isteri? Tapi macam muda sangat.", aku bertanya sekali-lagi kepada diriku.

Si perempuan menoleh dan melihat aku sedang memerhatikan tindak-tanduknya. Dia melepaskan tangan pemuda itu.

Namun, tak sampai satu minit, dia menarik semula tangan pemuda tersebut, meletakkannya di atas pehanya dan menggosok-gosok tangan pemuda tersebut.

"Dia tolong urut ke apa ni? Tak nampak macam bengkak atau lebam pon"

Thursday, 10 January 2013

Berinteraksi. Bersuara dan memberi pendapat

Salam,

hari ini aku sempat menghadirkan diri ke kuliah maghrib di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi.

Seperti biasa, kuliah maghrib bermula selepas solat maghrib dan berakhir sekitar hampir waktu Isyak.

Topik yang dibawakan adalah berkenaan Nilai-nilai Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, tulisan Dr Yusof Al Qaradhawi. Bab yang dibincangkan adalah berkisar sekitar Kesederhanaan Dalam Islam.

Antara kupasan ustaz adalah bahawa Islam ini lebih dari sekadar pengamalan amalan ritual semata-mata seperti yang di amalkan oleh ramai orang.

Tidak kurang juga ramai yang mengatakan bahawa Islam lebih dari itu namun dari segi hakikat apa yang mereka amalkan, Islam yang mereka praktikkan hanyalah pada ritual semata-mata.

Antara contoh yang diberikan adalah berkenaan Islam adalah keadilan dalam perundangan, politik dan ekonomi.

Fitrah manusia mahukan keadilan. Manusia berbuat kebaikan atas dua sebab. Sifat kemanusiaan dan kerana agama.

Sebab itu bila kita lihat, isu Palestin contohnya. Bagaimana NGOs, persatuan, organisasi dari negara bukan Islam seperti Eropah mengungguli carta pemberi bantuan kepada penduduk Palestin. Kerana sifat kemanusiaan yang ada pada mereka. 

Berbeza dengan mereka, muslim bukan sahaja ada sifat kemanusiaan itu, malah turut ada agama sebagai sumber tolakan.

Namun sebaliknya berlaku, 'kewujudan' agama itu tidak mampu menolak sifat kemanusiaan itu ke tahap yang lebih tinggi. Berbanding dengan aktivis kemanusiaan bukan muslim yang hanya bergerak atas dasar kemanusiaan.

Tepuk dada tanya iman.

Apa yang turut menyedihkan dan membimbangkan, apabila dilihat di kampung-kampung secara kasar, topik-topik dan kuliah-kuliah agama hanya membincangkan sekitar permasalahan solat, puasa dan hukum hakam. Bukan menafikan kepentingan perkara-perkara ini, namun terdapat juga banyak isu lain yang berlegar dan perlu difahami dan diketahui. Tidak terhenti dan bermain sekadar pada perkara-perkara asas.

Masa menunjukkan hampir pukul 8.35 malam. Ustaz mengakhiri kuliahnya dan sebelum sesi tamat, beliau membuka ruangan untuk sebarang soal jawab.

Seorang ahli kariah surau mengangkat tangan dan kemudian mengajukan soalan.

"Apa komen ustaz tentang isu penggunaan kalimah Allah"



Tuesday, 8 January 2013

Memurahkan senyuman

Salam,

8 Januari, 2013. 

Aku dan ronbongan Jaulah Summer Australia menunaikan solat Zohor di Masjid Ar Rahimah, Gombak berhampiran dengan pejabat ISMA Gombak selepas mendengar sesi perkongsian daripada Akh Aminuddin Yahaya berkenaan pembinaan baitulmuslim, kerjaya dan dakwah. 

Seusai solat rawatib, aku bergerak ke luar ruangan masjid menuju ke tempat di mana kasut aku diletakkan.

Setibanya di situ, kelihatan seorang pakcik sedang berdiri di situ.

Aku memandang ke arahnya, dan mengukir senyuman kepadanya.

Dia memandang ke arahku, dan wajahnya yang tadi 'masam' mengembalikan senyuman aku.

"Assalamualaikum pakcik"

"Waalaikummussalam"

Aku menghulurkan salam, dan tanganku disambut dengan kiriman balas tangannya, menggenggam tanganku erat.

"Dari mana?", pakcik mengajukan soalan sambil memandang kearahku dan kearah kawan-kawanku yang sudah berjalan sedikit jauh dari lokasiku.

"Banyak tempat pakcik"

"Pelajar  sekolah ke?"

-Eh, muda lagi rupanya aku (ok dialog ini tidak wujud)-

"Eh takde lah pakcik. Uni"

"Uni mana?", pantas pakcik itu bertanya

Aku terdiam sejenak

"Banyak uni"

"Nak ke mana?"

"Kami ada macam kembara pakcik. Berkumpul, kemudian bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Semalam kami pergi Shah Alam, hari ini ke Gombak, esok pula akan ke Bangi. Kami pergi melawat ustaz-ustaz" Aku menjawab persoalannya

"Oh. Tambah ilmu ye. Bagus-bagus"

"Ha ah. Menambah ilmu. Sambil-sambil tu, merapatkan ukhuwwah pakcik", aku menambah sambil sedikit tersengih.

"Haa betul jugak tu.", dia membalas 'sengihan'ku dengan senyuman.

"Ok la pakcik. Kawan saya nak gerak da tu. Ada rezeki jumpa lagi ye", aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya sebelum beredar.

************************************************

To get, is to give. Jika anda mengkehendaki sesuatu daripada seseorang, andalah yang terlebih dahulu perlu memberikan sesuatu kepada orang lain.



Orang Malaysia kaya dengan senyuman dan budi pekerti, namun memerlukan sedikit 'cuitan' untuk mengeluarkan semua itu.

Untuk melihat mereka senyum, andalah yang terlebih dahulu perlu melontarkan senyuman kepada mereka.

Percaya atau tidak, boleh dikatakan hanya 1 daripada 20 orang yang tidak senyum apabil aku senyum pada mereka. Ajaib bukan?

Tidak kisahlah bagaimana penampilan fizikal mereka dan siapa mereka sama ada kelihatan seperti 'gangster', 'nerd', 'hiphop', 'skin', 'students', orang dewasa mahu pun kanak-kanak, mereka pasti akan membalas senyuman anda jika anda senyum pada mereka. Itu adalah hasil dari pemerhatian aku sepanjang keberadaan aku di Malaysia selama seminggu.

Mungkin keramahan rakyat Malaysia masih belum mencapai keramahan rakyat Australia yang hampir kesemuanya akan tersenyum dan menyapa anda sebelum anda sempat berbuat demikian!

Lebih-lebih lagi, bukankah senyum itu suatu sedekah? :)

Mari, memurahkan senyuman kerana anda tidak akan kerugian apa-apa. Percayalah! SMILE

Sekali anda senyum, 10 kali mereka akan senyum pada anda.

Wassalam









#Catatan Jaulah Summer Australia 2013

Saturday, 5 January 2013

Aku dan Usrah 2

Salam,

orang kata, "siapa yang 'join' usrah ni budak-budak baik je"

"budak-budak jahat macam aku mana boleh join usrah. Tak layak"

Sorry bro and sis, anda salah. 

sesiapa pun boleh 'join' usrah, yang penting dia mahu.

Buat apa join usrah?

Bila ditanya, mahu jadi baik tak, mesti semua orang kata nak jadi baik (mungkin ada segelintir taknak mengaku, tapi fitrah manusia sukakan dan mahukan kebaikan). Tapi, baik yang macam mana?

Pergi masjid tu baik, tolong orang angkut baju di ampaian pon baik, singgah ke kedai Abu belikan gula-gula untuk adik pon baik. Mudah kata, baik itu subjektif dan boleh ditafsirkan seluas-luasnya.

Cukup ke kita baik untuk diri sendiri sahaja?

"Habis tu nak baik macam mana lagi?"

Baik macam mana yang kita nak?

Kita mahu baik, dan dengan baiknya kita itu, kita mampu ajak dan tarik orang jadi baik, dan dengan orang lain jadi baik, Islam itu diletakkan pada tempatnya.

Pendek kata, kita mahu bina rijal. Bina rijal yang bukan saja baik akhlaknya, tapi turut sihat fizikalnya, celik mindanya, berobjektif tindak-tanduknya, bermatlamat urusannya. Bukan baik, tapi tak kemana.

Kita mahu baik, dan dengan baik itu dapat selamatkan diri kita, keluarga kita dan orang-orang disekeliling kita dari api neraka. Itu langkah pertama.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. 
[At Tahrim: 6]

Jadi, pertama sekali untuk kita, diri sendiri. Lepas itu keluarga, mereka yang rapat dengan kita.

Takkan kita mahukan orang lain masuk syurga, tapi kita tak mahu masuk syurga?

Kembali kepada, kenapa 'join' usrah? Bukan usrah untuk budak-budak baik je ke?

Kurang tepat.