Mari ikut blog ini

Thursday, 10 January 2013

Berinteraksi. Bersuara dan memberi pendapat

Salam,

hari ini aku sempat menghadirkan diri ke kuliah maghrib di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi.

Seperti biasa, kuliah maghrib bermula selepas solat maghrib dan berakhir sekitar hampir waktu Isyak.

Topik yang dibawakan adalah berkenaan Nilai-nilai Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, tulisan Dr Yusof Al Qaradhawi. Bab yang dibincangkan adalah berkisar sekitar Kesederhanaan Dalam Islam.

Antara kupasan ustaz adalah bahawa Islam ini lebih dari sekadar pengamalan amalan ritual semata-mata seperti yang di amalkan oleh ramai orang.

Tidak kurang juga ramai yang mengatakan bahawa Islam lebih dari itu namun dari segi hakikat apa yang mereka amalkan, Islam yang mereka praktikkan hanyalah pada ritual semata-mata.

Antara contoh yang diberikan adalah berkenaan Islam adalah keadilan dalam perundangan, politik dan ekonomi.

Fitrah manusia mahukan keadilan. Manusia berbuat kebaikan atas dua sebab. Sifat kemanusiaan dan kerana agama.

Sebab itu bila kita lihat, isu Palestin contohnya. Bagaimana NGOs, persatuan, organisasi dari negara bukan Islam seperti Eropah mengungguli carta pemberi bantuan kepada penduduk Palestin. Kerana sifat kemanusiaan yang ada pada mereka. 

Berbeza dengan mereka, muslim bukan sahaja ada sifat kemanusiaan itu, malah turut ada agama sebagai sumber tolakan.

Namun sebaliknya berlaku, 'kewujudan' agama itu tidak mampu menolak sifat kemanusiaan itu ke tahap yang lebih tinggi. Berbanding dengan aktivis kemanusiaan bukan muslim yang hanya bergerak atas dasar kemanusiaan.

Tepuk dada tanya iman.

Apa yang turut menyedihkan dan membimbangkan, apabila dilihat di kampung-kampung secara kasar, topik-topik dan kuliah-kuliah agama hanya membincangkan sekitar permasalahan solat, puasa dan hukum hakam. Bukan menafikan kepentingan perkara-perkara ini, namun terdapat juga banyak isu lain yang berlegar dan perlu difahami dan diketahui. Tidak terhenti dan bermain sekadar pada perkara-perkara asas.

Masa menunjukkan hampir pukul 8.35 malam. Ustaz mengakhiri kuliahnya dan sebelum sesi tamat, beliau membuka ruangan untuk sebarang soal jawab.

Seorang ahli kariah surau mengangkat tangan dan kemudian mengajukan soalan.

"Apa komen ustaz tentang isu penggunaan kalimah Allah"




Antara poin-poin utama jawapan ustaz adalah perkara ini bukannya suatu isu besar. 

"Saya pernah tinggal di dalam masyarakat yang di mana pihak bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai menggantikan perkataan tuhan dan tiada masalah berlaku (rasanya ustaz berkata mengenai Mesir)"

"Tiada masalah yang akan timbul jika kalimah Allah digunakan oleh pihak bukan Islam di Malaysia. Namun, sekiranya pihak kerajaan menetapkan bahawa pihak bukan Islam dilarang daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu, saya mengambil baik perkara itu. Tiada masalah. Ini sebahagian daripada Siasah Syariah. Mungkin kerajaan mengambil kira kemaslahatan agama di Malaysia."

"Namun saya yakin, bahawa perkara sebegini tidak akan mampu memurtadkan orang Islam. Ketika perang di Bosnia dan Serbia tidak lama dahulu, seorang sahabat saya yang turut sama berjuang untuk mempertahankan orang Muslim Bosnia di Eropah menceritakan bahawa apabila tiba di sana, beliau terkejut bahawa orang Muslim Bosnia itu sendiri yang berkelakuan seperti orang bukan Islam. Mereka meminum arak dan bermain gitar."

"Baik aku balik semula kalau camni", ustaz berseloroh

Apabila umat Islam Bosnia disembelih hidup-hidup dan lain-lain, mereka masih tidak murtad dan mengaku beragama Islam. Umat Islam mempunyai 'kekebalan' dan kekuatan.

Ringkas, ustaz menjawab pertanyaan pakcik tadi.

Muazzin bangun dan melaungkan iqamat.

******************************************

Seusai solat Isyak dan solat rawatib, aku mencari ustaz dan bersalaman dengannya di ruangan luar surau.

"Ustaz, boleh saya tanya sikit tak ustaz. Berkenaan isu penggunaan kalimah Allah tadi", aku memulakan perbualan.

"Oh boleh"


Kita perlu peka akan perancangan musuh-musuh Islam. Bukankah perancangan kebatilan yang tersusun dan terancang akan menewaskan kebenaran yang tidak tersusun dan tidak terancang?

"Saya setuju dengan pendapat ustaz, yang mengatakan bahawa Umat Islam mempunyai 'kekebalan', tapi tidak dinafikan berlaku isu murtad di Malaysia. Tapi, saya merasakan bahawa perkara ini mampu mengelirukan umat Islam. Lihat pada rakyat Malaysia yang teruk-teruk, mat rempit, ke kelab malam, dan yang lain-lain yang kurang didikan agama. Saya rasa mereka ni akan terpengaruh sekiranya bukan Islam dibenarkan menggunakan khalimah Allah untuk digunakan di dalam Bible, jika mengambil kira keadaan di Malaysia". Aku cuba menyatakan pandangan dan mengatakan berkenaan isu kristianisasi, dan bagaimana orang Melayu Muslim terutamanya yang masih lagi Islam, namun rosak jatidirinya. Rosak akidahnya. Namun mungkin kerana sedikit 'nervous', jadi kata-kataku sedikit berterabur

"Bagi ana, ana tak rasa isu ini akan menjadi masalah. Kalau orang Islam itu faham, maka dia tidak akan mudah dipengaruhi oleh perkara sebegini."

"Maksud ustaz jatidiri orang muslim itu la ye. Saya setuju. Tapi, saya tak rasa ramai orang melayu terutamanya yang mempunyai kefahaman dan mampu menangkis perkara sebegini. Jika lihat di Indonesia, dimana kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. Lagu-lagu di gereja di namakan nasyid. Saturday prayer ditukar kepada Friday Prayer dan seumpamanya. Tak ke keliru orang Islam. Lagi-lagi yang duduk pendalaman dan tidak cukup didikan Islam"

"Kalau mereka nak ubah ke hari Jumaat, kita boleh halang ke?"

Aku menggeleng menandakan tidak

"Kalau dakwah jalan, pasti tiada masalah. Tapi kalau dakwah tidak berjalan, guna atau tidak guna kalimah Allah, pasti tidak memberi kesan. Pasti mereka yang rosak akan terus rosak."

"Setuju ustaz. Kalau dakwah jalan, pasti boleh", aku cuba hendak mengatakan bahawa pada keadaan sekarang, bukannya dakwah tidak berjalan, tetapi tidak cukup laju dan masih ramai yang jauh dari ajaran Islam itu. Namun aku gagal menyusun ayat, menyampaikan apa yang terbuku di fikiranku.

"Ana tak melihat dari aspek yang begitu. Orang Melayu kita selalu melihat dari sudut dimana Islam tengah rugi. Bagaimana kalau itu, bagaimana kalau ini."

"Tetapi ana melihat dari sudut lain. Seperti yang ana cakap tadi, bagaimana kawan bukan Islam ana yang bimbang sekiranya anaknya terkeliru akibat dari penggunaan kalimah Allah. 'Bagaimana kalau anak aku pening dan masuk Islam?'. Bukan kah ini sesuatu yang positif ?", ustaz menambah

"Sebilangan orang Kristian menggunapakai konsep Trinity (Tuhan, Tuhan anak dan tuhan emak/ 3 Tuhan). Saya tak pandai nak cakap tentang ini, tapi ada ustaz yang mengatakan bahawa ini adalah sesuatu yang salah. Menganggap tuhan itu mempunyai anak dan sebagainya", aku mengajukan persoalan lain.

"Macam yang ana terang tadi, Sejak dari zaman Nabi Adam sehingga ke Nabi Isa, manusia menyembah Allah. Cuma kefahaman mereka sedikit terpesong dan lain. Tapi, mereka masih merujuk pada Allah. Tuhan yang satu. Mungkin kita boleh berdebat dengan mereka mengatakan mana yang lebih tepat? Jadi baru boleh menarik dan membetulkan mereka"

"Ini pandangan ana dan ana hormati pandangan yang lain", ustaz menutup kata-katanya

Kami berborak dan kemudian aku meminta izin untuk beredar. Aku menghormati pendapatnya. 

Ikhwah perlu untuk berani menyuarakan pandangan, dan bertukar buah fikiran serta berinteraksi. Dengan berinteraksi, baru kita mampu mencambahkan ilmu dan menimba buah fikiran orang lain. Betul salah, tepat atau kurang tepat itu persoalan kedua. 

Apa yang penting adalah kita berani untuk kehadapan dan bersuara. Jika kita salah atau kurang tepat, dengan berinteraksi lah kita akan belajar di mana kekurangan kita.

Namun apa pon, aku masih yakin bahawa isu ini bukan merupakan isu kecil. Ini melibatkan 'survival' umat Islam dan generasi akan datang. 

Apabila melihat dari sudut kemaslahatan agama, adalah lebih utama untuk menolak kerugian pada Islam daripada mendapat manfaat untuk Islam. Apa yang perlu dielak adalah daripada umat Islam itu rugi walaupun disana wujud kemungkinan perkara ini akan menguntungkan umat Islam.

Timbangtara perlu dilakukan, dan mengelak kemudaratan adalah lebih utama.

Isu pokoknya bukan pada boleh atau tidak orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, tetapi boleh atau tidak orang Kristian menggunakan kalimah Allah untuk menggantikan perkataan Lord, Yesus, God di dalam Bible.

Wallahualam







No comments:

Post a Comment