Mari ikut blog ini

Sunday, 28 October 2012

Aku dan Usrah

Salam,

Ada apa dengan usrah? Ramai yang tertanya-tanya akan persoalan ini. Majlis ilmu? Majlis makan-makan? Masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan? Bulatan gembira? Bulatan Alien?

Suatu masa dahulu, aku juga pernah berada di situ. "Usrah ni untuk budak baik-baik je"

Aku mula berusrah secara konsisten pada tahun pertama aku menyambung pelajaran di University of Adelaide, pada tahun 2009.

Bukannya aku tak pernah dengar apa itu usrah. Masa di sekolah dulu pon aku pernah usrah. Tapi main lari-lari. Setahun berapa kali sahaja. 'Bapak usrah' pon aku tak kenal.

Kemudian sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas, sekali lagi aku terlibat dengan usrah. Aku di 'assigned' kepada seorang naqib ketika minggu orientasi, dan kemudian beberapa minggu, aku dihubungi oleh beliau. Di UTP, ada satu badan/organisasi yang dikenali sebagai Rakan Masjid. Mereka inilah yang menguruskan perkara-perkara yang melibatkan aktiviti kerohanian di UTP.

Namun perkara sama yang berlaku, aku hanya sempat hadir usrah beberapa kali. Naqib aku pada ketika itu pun tidak aku kenali. Sama juga dengan rakan usrah yang lain. Semuanya asing bagiku. Pendek kata, sekali lagi aku main lari-lari.

Bagi aku pada ketika itu, usrah itu buat mereka yang punyai masa lapang dan ingin menambah ilmu agama. Jika rasa bebas dari tugasan-tugasan universiti, maka bolehlah menghadirkan diri, itu pon, malas-malas. Jika tidak, jangan harap.




Di Adelaide, sekali lagi aku mendengar istilah usrah. 

"Ah, ada apa dengan usrah?"

"Apa aku peduli, asalkan aktiviti harian aku tidak diganggu. Asalkan kerja aku siap. Asalkan aku boleh main bola. Asalkan aku main game tidak ada orang ganggu. Asalkan aku boleh chatting dengan kawan-kawan aku seperti biasa. Kalau semua ni tak diganggu dan aku ada masa lapang, boleh la nak duduk sekejap dalam usrah"

Bermulalah episod, Aku dan Usrah.

Tiap-tiap minggu, mesti naqib aku at least sekali datang rumah. Selalunya mesti ada benda yang dibawa sama. Selalunya mesti buah-buahan. Patutlah sihat walafiat sahaja aku sekarang!

Kebiasaannya, tiap-tiap hujung minggu kami aku duduk bersama. Aku, ahli usrah dan naqib(-naqib). Kami berbicara dan berkongsi tentang banyak benda. Berpesan dengan perkara-perkara, beraktiviti bersama, bertanya pendapat, berkongsi pandangan. Kadangkala kami ke pantai, kadangkala kami mendaki bukit, kadangkala kami berbarbeque.

"Seronok juga begini kan"

Walaupun ada masa aku tertidur dalam usrah. Bangun-bangun je, "eh,dah habis usrah rupanya."

Ada masa, rasa malas sungguh nak pergi usrah. Tapi mengenangkan masakan sedap menunggu, aku pergi jua.

Ada masa aku rasa menyampah dengan usrah. "Apa ni, tak nampak ke orang tengah sibuk ni?"

Tapi sebab satu rumah aku semua ikut usrah, aku pon ikut la berusrah. Ala biasa la, baru nampak macam budak baik bila ikut usrah.

Bila jumpa kawan yang usrah lain, 

"naqib kau siapa?"

"minggu ni kau usrah tentang pe?"

"Kau usrah hari apa minggu ni?"

Masa berlalu. Sampai suatu ketika, muncul suara-suara. 

"Siapa bapak usrah kau? Dia tu ustaz ke? Belajar agama kat mana? Umur berapa?Kau ingat kau nak jadi ustaz ke? Kita datang untuk belajar engineering, bukan belajar agama"

Apabila berlaku pertembungan antara majlis-majlis ilmu dengan usrah dan aku memilih untuk menghadiri usrah. Muncul suara-suara di belakang.

"Mana lebih aula', kau menuntut ilmu dengan tok syeikh yang berkelulusan dari Al-Azhar dalam bidang syariah ke menuntut dengan naqib kau yang belajar ilmu tak habis, umur baru setahun jagung tu?"


Persoalan mula timbul. Aku mula keliru. Adakah apa yang aku buat ini salah? Betul juga kata-kata mereka. Siapa la naqib aku jika dibandingkan dengan ustaz-ustaz. Rasanya dia tak pernah belajar dalam bidang syariah atau apa-apa. 


Friday, 12 October 2012

Semangat yang dicari!

Salam,

Aku ada ramai kawan, dan kawan aku berbagai-bagai.

Hari ini, kisahnya bukan mengenai aku, tetapi mengenai dia.


********************************************

Nama dia Abu (bukan nama sebenar). Seperti orang biasa, Abu ada kawan, Abu berkawan, Abu bersukan, Abu juga belajar.

Suatu ketika, satu perubahan berlaku pada Abu. Seolah-olah transformasi 360 darjah berlaku. Dari menjadi Decepticon kepada Autobot seperti di dalam cerita Transformers. Bukannya maksud aku sebelum ini dia jahat, kemudian dia berubah menjadi baik. Tidak se-drastik itu.

Jika sebelumnya, sungguh jarang sekali melihat kelibatnya bersolat jemaah di masjid. Namun pada hari itu, dialah antara yang paling awal tiba di masjid. Isyak, Subuh, dialah yang terkehadapan. Setiap hari setibanya aku di masjid, pastu Abu sudahpun berada di sana. Aku kagum.

Jika dahulu dia gemar bergelak ketawa, kini dia lebih banyak berdiam dan mendengar. Jika dahulu, dia lah pemegang mikrofon, kini dia lebih banyak menjadi penonton.

"Hebat Abu! Jika dahulu dia seorang yang jarang mengimarahkan masjid, kini dialah pengunjung setia dan terawal!", benakku dalam hati.

Jika ada mana-mana masjid berdekatan yang menganjurkan berqiam bersama, pastinya kelibat dia akan kelihatan. Teguh, utuh bersolat mengadap Tuhan yang Esa.

Hari demi hari, Abu masih bersemangat dan istiqamah dengan amalannya.

"Moga engkau terus istiqamah Abu!"

Aku tertanya-tanya, apakah perkara yang membawa kepada transformasi ini? Dari mana datangnya 'motivasi' Abu ini untuk terus istiqamah dengan amalan berjemaah di masjid ini?

Bukan senang, untuk bangun di awal pagi melawan godaan bantal dan tilam yang empuk, serta belitan syaitan itu. Sekali-sekala itu mungkinlah, tapi itu berterusan, perlukan kekuatan yang tersendiri!

Tambahan pula di Adelaide, boleh dikatakan setiap pagi itu sejuk. Jika tidak berselimut, alamatnya bekulah anda. Lebih seronok dan mengasyikkan untuk beradu di dalam keselesaan dan ke-suam-an selimut itu! Berbanding kesejukan pagi. Bukan itu sahaja, perlu keluar dari rumah dan memandu menuju ke masjid yang jaraknya bukanlah dekat.

http://www.adelaidenow.com.au/news/south-australia/snow-at-mt-lofty-more-wild-weather-coming/story-e6frea83-1226493307107
(Salji turun di Adelaide, pada 11/10/2012)

Monday, 1 October 2012

Hati ini

Salam,

Ukhuwwah itu soal hati dan aku terkandas dalam berbicara dengannya

Aku bukan orang jiwa, aku gagal menyentuh jiwa

Aku tidak pandai dalam berkata-kata, mungkin kataku terguris di hati

Walau aku tidak pandai serba-serbi, namun aku tetap membuatnya dan melakukannya. Jika bunganya belum mekar, putiknya tidak kelihatan, apatah lagi kelibat buahan yang ranggup dan ditunggu-tunggu.

يامقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.”



"Wahai Tuhan yang menetapkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMU. Mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, kami beriman denganmu dan apa yang kamu bawa, apakah kamu masih takut lagi tentang kami?Jawab baginda: Ya, sesungguhnya hati-hati manusia berada di antara dia jari Allah, Dia membolak balikkannya." (Sunan Ibn Majah) 




****************************

Tetapkan hati ini! 

Thursday, 13 September 2012

Dakwah di tempat kerja 4

Salam,

"Hey A.J, what topping do you want?", soal Hong.

"What topping do you have?", aku membalas. 

Suasana senyap seketika. "Give me some vegies ok?", aku kembali menyambung ungkapanku.

"Are you a vegetarian? Don't you want any meat?". Hong, seorang pekerja senior yang juga seorang chef di tempat kerjaku menarik muka pelik.

" Nah i'm not a vegetarian but that will do just fine for me"

Itulah soalan yang ditanyakan kepadaku pada hari pertama aku bekerja. Kebetulan John, manager Lakeside Cafe menyuruh Hong membuatkan aku sebuah pizza bersaiz medium.

Aku gembira, tapi pada masa yang sama kurang berpuashati. "Lainkali aku nak explain lebih sikit pasal 'diet khas' aku pulak"


********************************************************

"A.J, help me with the dishes ok? First you need to plug the stopper here (sambil menyumbat penyumbat getah ke lubang sinki), then turn the tab on and put in some soap. Not too much. When water get to this level, put in the dishes", David memulakan sesi induksi berkenaan bagaimana dia bekerja di situ.

Aku pon sekadar menjadi pak turut dan hanya mengangguk.

"Send all the glasses to the front, the plates there, bowls there, this thing here...", David bersungguh dalam mengajar aku.

"Adoi banyaknya benda kena ingat. Gelas-gelas hantar ke kaunter, pinggan-pinggan kena susun kat rak, sudu garfu hantar depan..."

Kebiasaan orang baru mula pekerja, banyak perkara perlu dipelajari. Ada peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi, ada larangan dan norma yang perlu diingati.

David adalah seorang pekerja berbangsa Filipina. Seorang yang rajin dan jujur dalam bekerja. Tidak curi tulang, dan ringan tulang. Dia juga seorang yang sangat efisyen dalam bekerja.

"I'm leaving now. Remember what i told you before. It is all about prioritizing. Group the dishes and wash them in group. So that you don't have to go to too many places later after washing them. Leave the greasy one to be washed later on. I know you can do it."

"Ehem. Yep yep". Aku mengangguk-angguk sambil berasa kagum. Walaupun hanya berkenaan membasuh pinggan, namun urusannya sungguh sistematik dan tersusun. Malu pada diri sendiri pun ada. Kalau ada subjek berkenaan 'tersusun urusan', pasti aku bersusah payah hendak mendapat lulus dalam subjek tersebut.

Tidak semua pekerja di cafe tersusun seperti David. Ada pekerja yang seperti langit dan bumi, sentiasa hendak curi tulang. Jika boleh, hanya mahu membuat 'delivery' sahaja. Itu apa yang John perkatakan padaku.

Pizza, anyone?

Monday, 23 July 2012

Yunus, bukan sebarangan budak

Salam,

5 Ramadhan 1433 Hijrah. Berbuka di rumah bersama 'keluarga'ku di bumi Kangaroo ini. Seusai bersolat dan berbuka, kami bergerak menuju ke Masjid Al-Khalil, Adelaide untuk menunaikan solat Isyak dan solat tarawikh di situ.

Selesai solat Isyak, aku bergerak ke saf hadapan sedikit apabila ruang mengizinkan. 2 orang kanak-kanak berumur sekitar 9 tahun bersolat secara bersebelahan di saf hadapanku. Mereka ligat bergerak-gerak, dicuit si B, si B membalas. Di cuit si A, si A membalas.

"Kalau di Malaysia habis dah budak dua orang ini kena"

Seusai solat sunat tarawikh 2 rakaat, seorang lelaki dewasa yang solat bersebelahan mereka berkata sesuatu pada mereka. 

Imam bangun untuk menunaikan solat sunat tarawikh buat kali kedua. Kali ini, si dewasa tadi memisahkan dua kanak-kanak tadi. Seorang di bahagian kirinya, seorang di bahagian kanannya. Aku tersenyum lebar. 

"Bijak tindakan beliau" ujarku dalam hati.

Al Khalil Mosque

Tiada lagi pergerakan ligat saling cuit-mencuit kerana si A dan si B dipisahkan oleh lelaki dewasa tadi. Yang ada pon mungkin sesekali si A atau si B menoleh ke arah kiri dan kanan seolah-olah berkata "apalah nasib badan".

Selesai 4 rakaat. Kelihatan berlaku pergerakan beberapa orang jemaah dalam saf. Muncul pula perkumpulan kanak-kanak lain. Kali ini lebih ramai, berjumlah 5 orang. Aku memerhati gelagat mereka. 

"Ini macam tak boleh duduk diam je"

Imam bangun untuk menunaikan solat sunat tarawikh buat kali ketiga. Seperti yang dijangka, mereka tidak boleh 'duduk diam'.

Boy A asyik dengan menggoyangkan badannya kedepan kebelakang. Boy B pula seolah-olah berlumba dengan Boy C siapa yang lebih cepat mengikuti perbuatan imam, sampaikan mereka sendiri mendahului imam. Boy D pula tak habis-habis mencuit-cuit kawan-kawan mereka yang lain. Sekali-sekala kedengaran mereka ketawa kecil.

Imam memberi salam menandakan penghujung rakaat ke 6 solat tarawikh.

Boy B: "Hey, why were you laughing?", sambil dia sendiri ketawa.

Boy C: "No i'm not. You are"

Boy D: "Why you did that?" (ditujukan pada Boy A kerana asyik sangat bergerak di dalam solat)

"Hurm, budak-budak. Sama je macam di Malaysia"

Tiba-tiba Boy E bersuara.

"Why did you do that for?"

"Don't you know you are standing in front of Allah when you are praying?"

Dia melihat pada setiap seorang dari kawan-kawannya. Dalam diam, sekali lagi aku tersenyum. Hebat anak ini, walau pada umur yang aku kira sebaya dengan rakan-rakannya yang lain, pemikirannya jauh lebih matang dari mereka. Setidaknya dari aspek ibadah itu sendiri.

Imam bangun untuk mengerjakan solat tarawikh untuk kali ke empat. Kali ini, tiada lagi bergoyang tak tentu arah. Tiada lagi cuit sana cuit sini. Tiada lagi berlumba-lumba dengan imam. Semuanya elok, lurus, baik sahaja.

Imam memberikan salam.

Aku bergerak sedikit menghampiri Boy E.

"What is your name boy?"

"Yunus"

"Alhamdulillah"



Syahadah Pemuda


Salam,

Hari ini 4 Ramadhan. Pagi hari dimulakan dengan bersahur dan solat sunat. Menu bersahur adalah menu berbuka hari semalam, lumrah hidup bujang. Housemate yang dijadualkan memasak akan memasak juadah berbuka untuk hari itu serta bersahur untuk keesokan harinya. Jadi pada kebiasaannya, juadahnya sama.

Selesai bersahur, kami bersiap untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Wandana (Masjid Abu Bakr Assiddiq). Seusai solat, aku bergerak ke pintu masjid. Terdengar sedikit riuh-rendah kanak-kanak berbicara. Aku memerhatikan gelagat mereka.

Boy A: "This is an ipad"

Boy B: "No, this is an ipod"

Boy C: "ipad is big and ipod is small. My father owned them"

Boy A: "I know. My father too. But this is an iphone"

Dari gaya dan lagak mereka, aku menyangka mereka berada dalam lingkungan umur 10 tahun. Apa yang kanak-kanak berumur 10 tahun ini berbicara? Berkenaan ipad, iphone dan ipod. Ada yang tergelak memerhatikan gelagat mereka.

Aku berhenti seketika dan berlalu pergi.

Inikah apa yang sering dibualkan oleh kanak-kanak sekarang? Perihal gajet-gajet, perihal permainan video, perihal siapa yang punyai semua itu? Adakah kanak-kanak yang sama seantero dunia turut mempunyai gejala yang sama?

Generasi sekarang vs generasi lampau

Pertama kali aku memiliki telefon bimbit adalah ketika aku berumur 15 tahun (tingkatan 4). Itupun hasil dari duit yang aku perolehi, bukannya hadiah dari sesiapa.

Dan pertama kali mamaku memiliki telefon bimbit adalah ketika beliau sudahpun lama bekerja! Aku masih ingat telefon bimbit pertama yang dimilikinya. Hanya punyai fungsi-fungsi asas, sekadar menghantar sms dan juga membuat dan menerima panggilan.

Namun, adikku yang bongsu sudahpun memiliki telefon bimbit sendiri ketika berada di sekolah rendah lagi.


Arus perubahan berlalu dengan pantas, mereka yang tidak peka akan ketinggalan. Mereka yang terlalu mengikut akan lemas dibuai arus.

Sunday, 13 May 2012

Majlis tanpa orang yang di rai

Salam,

siapa yang tidak suka apabila dirinya diraikan. Misalannya ketika majlis hari jadi. Antara orang yang paling gembira adalah orang yang menyambut ulangtahun kelahirannya dan diraikan di dalam suatu majlis.

Pada masa yang sama, pasti akan ada orang yang dijemput atau turut sama dalam memeriahkan majlis. Ada pihak-pihak yang merancang majlis itu, ada yang sekadar memenuhi jemputan, dan ada yang datang kerana ikut-ikutan.

Perkara ini sama sahaja di mana-mana. Cuma mungkin perbezaannya pada kekerapan berlakunya suatu majlis itu. Apa yang aku maksudkan disini bukan hanya merujuk kepada majlis sambutan harijadi. Itu hanya contoh, hakikatnya banyak lagi. Majlis ilmu itu, kelas pengajian ini, aktiviti sukan itu, riadah ini, perkelahan itu, perkhemahan ini dan macam-macam lagi yang anda mampu fikirkan.

Ada segolongan yang akan terlibat dalam merancang, ada golongan yang akan dijemput, dan kebiasaannya paling ramai sekali adalah mereka yang turut terlibat sama, namun mereka sendiri tidak berapa pasti atau mungkin juga tidak tahu apa tujuannya majlis itu diadakan. Apa yang mereka tahu, majlis itu bunyinya menyeronokkan, majlis itu mampu mengenyangkan mereka. Itu sudah cukup bagi mereka.

Dan hal ini menjadi suatu tradisi.

"Ada makan-makanlah hujung minggu ni kat rumah Abu, jom kita pergi"

"Ada makan apa ye? Abu selalunya masak sedap. Jom!"

Itulah yang selalu menjadi topiknya. Tetapi apa yang Abu rancangkan adalah  Majlis khatam Quran untuk anaknya. Tapi apa yang difikirkan oleh orang ramai adalah majlis makan-makan. Makan menjadi tujuan utama, dan khatam Quran itu hanyalah suatu sampingan. Walhal mengikut perancangan Abu, majlis itu adalah majlis khatam Quran beserta makan-makan!

Itu berlaku apabila mesej yang hendak disampaikan tidak jelas atau orang yang hadir memilih untuk mendengar only what is pleasant to the ear. Mungkin juga kerana penganjur sendiri kurang jelas dengan tujuan dia menganjurkan sesuatu itu.



Apa yang parah apabila sesuatu program itu disusun hanya kerana telah menjadi tradisi di tempat itu. Pihak penganjur, orang yang di jemput dan orang yang meramai kan program itu sendiri kurang jelas atau mungkin tidak mengetahui langsung apakah tujuan sebenar keberadaan mereka disitu. Mereka hadir, hanya kerana perkara itu telah mereka lakukan sejak dahulu lagi. Orang hilang punca, yang hadir cuma jasad-jasad, sesuatu itu hilang roh nya.

Ada juga masa apabila sesuatu perkara itu disusun, namun orang yang sepatutnya hadir itu tiada. Umpama kita membuat majlis sambutan hari jadi untuk Kasim, tapi siapa yang ada di dalam majlis itu adalah kawan-kawan Kasim, saudara-saudara, jiran-jiran tetangga. Majlis berlangsung dengan meriah. Semua orang gembira, semua orang kenyang. Semua yang hadir pulang ke rumah dalam keadaan puas hati.

Tapi, siapa sebenarnya yang di raikan disitu? Adakah kawan-kawan Kasim? Adakah saudara-saudara serta jiran-jiran Kasim? Tidak! Mereka terlupa pada tujuan asal majlis hari jadi itu, untuk meraikan ulangtahun kelahiran Kasim sendiri.

Apakah makna yang ada pada sebuah majlis tanpa kehadiran orang yang dirai.
Kita seringkali merencana sesuatu, tapi seringkali juga kita lupa pada tujuan perencanaannya.

Dan Allah lah yang memegang hati-hati manusia.

"(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir". Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan daku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itupun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. "
[Hud:42-43]

Sebagaimana Nabi Nuh sendiri tidak mampu meyakinkan anaknya sendiri untuk bersama-samanya menaiki bahtera ketika mana azab Allah tiba dan akhirnya ditenggelamkan oleh (air bersama-sama orang-orang kafir yang lain.

Ingatlah pada kekuasaan Allah, yang memegang hati-hati manusia. Kita seringkali yakin dengan persiapan kita, namun kita lupa dengan izin siapa akan berjayanya tiap sesuatu.

Wassalam,