Mari ikut blog ini

Sunday 14 August 2011

Flashback: Diari Ramadhan 5: Puasa masa kecik!

Salam,

Sewaktu berumur 5 tahun (ke enam?) sehinggalah berumur 9 tahun salah satu perkara yang memotivasikan aku untuk berpuasa tidak lain dan tidak bukan adalah duit. yes, duit!. Haaa, usah menafikan perkara ini. Mesti ramai diluar sana yang pernah melalui fasa ini. 

"Siapa puasa separuh hari dapat lima posen. Puasa penuh dapat seringgit"

Seboleh-bolehnya aku akan berusaha untuk mendapatkan seringgit. (Mata duitan betul). Tapi bila dah masuk darjah satu, aku dah berjaya puasa penuh sebulan. Maka dapatlah RM30.
 
Di malam hari, aku seperti kebanyakkan umat Islam di Malaysia akan pergi ke masjid/surau untuk menunaikan solat Tarawikh secara berjemaah. Tetapi sebenarnya bagi seorang kanak-kanak (aku la tu), tujuan utama untuk pergi ke surau adalah untuk bermain bersama kawan-kawan yang lain. Jarak surau As-Syakirin (sekarang dah jadi masjid) hanyalah dalam 200 meter begitu. Jadi kebiasaannya aku akan pergi secara bersendiri.

Surau As-Syakirin terbahagi kepada beberapa partitions, antaranya adalah ruangan solat utama, ruangan solat wanita, bilik besar dibahagian belakang (kelas agama) dan ruangan solat biasa di sekeliling ruangan solat utama. Kebiasaannya, kanak-kanak tidak dibenarkan solat di dalam ruangan solat utama, maka aku akan bersolat di bahagian solat di luar bersama rakan-rakan yang lain. Biasa la bagi budak yang masih kecil, solat berjemaah (tambah lagi dengan tarawikh dan witir!) ni agak memenatkan dan membosankan. 

Jadi selepas solat Isyak kami ramai-ramai akan pergi singgah sebentar di Stesyen minyak untuk membeli gula-gula (konon nak hilang mengantuk). Masa ni la nak guna duit hasil berpuasa di siang hari.