Mari ikut blog ini

Saturday 19 April 2014

Remaja, beragendakah anda?




Assalamualaikum.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan terhadap sejumlah responden, di antara perkara yang paling ditakuti oleh seseorang adalah bercakap dihadapan khalayak ramai.Sehinggakan ada yang mengkategorikan ketakutan bercakap dikhalayak ramai adalah lebih menakutkan daripada terjun dari bangunan untuk membunuh diri!
 
Sekiranya kajian yang sedemikian rupa dijalankan di Malaysia, pasti bercakap dikhalayak ramai akan mendapat ‘top 3’ di dalam carta perkara yang paling ditakuti selain hantu pocong dan Pontianak. Hakikatnya, begitulah kenyataan.
Berhadapan dengan berpuluh-puluh hinggakan beratus-ratus bahkan mungkin beribu-ribu biji anak mata yang disasarkan tepat kepada orang yang bercakap dihadapan, siapa yang tidak gentar, cuak, kaku dan menggigil?

Menghilangkan perasaan gementar bukanlah perkara yang mudah.Persediaan yang cukup, latihan yang  berterusan serta doa kepada ya Rabb pastinya amat diperlukan. Sistem pendidikan di Malaysia  pada suatu ketika dulu kurang mendedahkan dan memberi peluang untuk membina anak muda yang  berani dan mahu untuk memimpin dan berucap di hadapan.

 
Antara aktiviti untuk memanfaatkan cuti sekolah remaja

Saya pernah berpeluang melihat bagaimana pelajar-pelajar ‘primary school’  diajar untuk terkehadapan semasa menuntut di Australia  suatu ketika dahulu.Pelajar-pelajar dipupuk dengan sikap untuk banyak bertanya ketika sesi pembelajaran.Teringat saya ketika menjadi tenaga pengajar tambahan untuk suatu program yang disediakan untuk pelajar ‘primary  school’. Apabila ditanya soalan, pasti berebut-rebut pelajar mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang diberikan. Bukan seorang dua, tetapi majoriti daripada jumlah pelajar yang ada.

Apabila diminta untuk bercakap di hadapan,  kebanyakkan daripada mereka akan mara kehadapan dan bercakap dengan penuh yakin dan jelas. Hebat! Ada masa-masa ketika, soalan yang  diajukan terlalu banyak dan kerap sehingga kita tidak larat menjawab.

Berbeza dengan suasana ketika saya bersekolah dahulu. Apabila cikgu yang  mengajar mengajukan solalan, pasti suasana di  dalam kelas menjadi senyap.Mungkin sekali pelajar tidak tahu bagaimana hendak menjawab atau barangkali takut! Takut untuk mengangkat tangan,  bangun dan memberikan jawapan.

Apa yang dibicarakan diatas hanya merupakan salah satu contoh daripada perkara yang perlu kita lihat pada generasi-generasi yang akan terbina. Namun, tidak patut untuk kita menuding jari dan menyalahkan system pendidikan kita. Semua pihak perlu proaktif untuk membina generasi harapan. 

Didikan atau pun tarbiyah Islam yang syumul(lengkap, menyeluruh) serta berterusan diperlukan  untuk membina jati diri seseorang remaja muslim. Pentarbiyahan itu tidak seharusnya focus hanya pada satu paksi, tapi hendaklah mencakupi aspek pengetahuan, ibadah, akhlak, akidah, perwatakan, jatidiri,  pengurusan diri serta fizikalnya.

Salah satu perkara paling penting dalam tarbiyah


Seseorang yang hanya cemerlang dari segi akademik dan pengetahuan,  tetapi mengabaikan penampilan diri serta kesihatan diri tidak dikira hebat.


“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu” (Riwayat Bukhari)


Tidak juga dikira hebatnya seseorang itu sekiranya masanya hanya dihabiskan berseorangan di tikar sejadah mahupun sudut-sudut masjid  sekiranya dia tidak menjaga akhlak serta peribadinya.


“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah,  sesungguhnya seorang wanita terkenal dengan banyak bersembahyang (sunat), berpuasa dan bersedekah, namun kata- katanya menyakiti jirannya.” Sabda Nabi SAW: “Dia dimasukkan ke dalam neraka”…  (Riwayat Ahmad)


Apakah erti pada berbadan sasa,  berstamina tinggi dan sentiasa memenangi kejohanan yang disertai sekiranya tidak mementingkan aspek penjagaan solatnya.

Team OLE, ketika di menuntut di Australia

Kita  juga tidak mahu sekiranya seseorang itu hanya pandai berbicara tetapi tidak mempunyai agenda yang jelas, ke mana hendak ditujuinya. Kita  tidak mahukan umat yang tiada agenda hidup,  hanyut dalam hiburan melampau serta tenggelam dalam arus kemodenan dan globalisasi Barat yang mengasyikkan itu tanpa menyedari betapa musuh-musuh Islam  sedang sibuk merancang bagaimana merosakkan jati diri anak bangsa dan menghilangkan agenda mereka.

Akhir kalam, antara soalan-soalan yang perlu kita sering bertanyakan pada diri kita:

  • Siapa kita?
  • Apa tujuan kita hidup?
  • Ke mana kita hendak membawa orang-orang yang kita pimpin?
  • Apa agenda serta perancangan musuh-musuh Islam?