Mari ikut blog ini

Saturday 10 December 2011

Surau lain dari yang lain

Salam,

semalam ada dua rakan lama, Hasbi dan Paku dari Perak yang datang ke Bangi. Pada asalnya mereka dijadualkan tiba pada pukul 4 petang dengan menaiki bas. Namun akibat sedikit masalah teknikal, Hasbi memberitahu mereka akan tiba antara pukul 5-6 petang. Dalam pukul 6, Paku menghantar khidmat pesanan ringkas menyatakan mereka akan tiba dalam pukul 7 lebih. Macam-macam. Driver g tandas la, jam la. Biasa la, kehidupan. Many unexpected things tend to happen.

Yang penting, kita kena sentiasa bersedia menghadapi benda yang tidak dijangka. Jadi aku pon menunaikan solat Maghrib di sebuah surau di Taman Tenaga, Kajang kerana lokasinya yang berhampiran dengan Stesyen Bas Kajang. Disini, hampir separuh dari ahli jemaahnya terdiri daripada warga asing. Syumulnya Islam, tak kisah bahasa apa yang anda tuturkan, kita tetap solat 5 waktu sehari semalam. Selesai solat, imam berzikir, bertasbih dan bertahmid (aku rasa) secara bersendiri. Ada jemaah yang bangun terus meninggalkan perkarangan surau, anda yang bangun untuk solat rawatib dan ada juga yang berzikir sendirian.

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, ada masanya Nabi berzikir secara kuat (memperdengarkan kepada orang lain) selepas solat dan ada juga masanya beliau tidak melakukan sedemikian. Namun Nabi berzikir secara kuat adalah dengan tujuan untuk mengajarkan kepada makmum/jemaah lain tentangnya dan dalam tempoh masa tertentu.

Dalam Syarah al-Nawawi ‘ala Shahih Muslim (Jld. 5, m.s 84) dalam bab “Raf’ush-Shaut bidz-zikr” (menyaringkan suara dalam berzikir), berkata al-Nawawi berkenaan hadis Ibnu Abbas:

 Ini merupakan dalil tentang pendapat sebahagian salaf tentang sunat mengeraskan suara takbir dan zikir setelah selesai solat wajib. Di antara ulama muta’akhirin yang menganjurkannya ialah Ibnu Hazm al-Zahiri. Ibnu Bathal dan lain-lainnya menyatakan bahawa rakan-rakannya dan juga lain-lainnnya sepakat tentang tidak adanya anjuran mengeraskan suara zikir dan takbir tersebut. al-Syafi’i rahimahullah menafsirkan hadis ini bahawa hal itu merupakan pengulangan dalam jangka waktu yang tidak seberapa lama kerana Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam hendak mengajar sifat zikir kepada para sahabat, bukan bererti mereka terus menerus mengeraskannya. Dia berkata: “Imam dan makmum hendaknya memilih untuk berzikir kepada Allah setelah solat dengan menyembunyikannya (secara sirr). Kecuali jika ada orang yang hendak belajar zikir itu dari imam, hingga imam tahu bahwa orang yang belajar itu sudah mampu mempelajari darinya. Setelah itu imam harus menyembunyikannya. Begitulah semestinya.” Perkataan ibnu Abbas: “Aku tahu jika mereka menyelesaikan (solat)..” menurut zahir kalimatnya bahawa Ibnu Abbas tidak hadir dalam solat berjemaah pada sesekali waktu, kerana usianya yang masih kanak-kanak.