Salam,
Ada apa dengan usrah? Ramai yang tertanya-tanya akan persoalan ini. Majlis ilmu? Majlis makan-makan? Masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan? Bulatan gembira? Bulatan Alien?
Suatu masa dahulu, aku juga pernah berada di situ. "Usrah ni untuk budak baik-baik je"
Aku mula berusrah secara konsisten pada tahun pertama aku menyambung pelajaran di University of Adelaide, pada tahun 2009.
Bukannya aku tak pernah dengar apa itu usrah. Masa di sekolah dulu pon aku pernah usrah. Tapi main lari-lari. Setahun berapa kali sahaja. 'Bapak usrah' pon aku tak kenal.
Kemudian sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas, sekali lagi aku terlibat dengan usrah. Aku di 'assigned' kepada seorang naqib ketika minggu orientasi, dan kemudian beberapa minggu, aku dihubungi oleh beliau. Di UTP, ada satu badan/organisasi yang dikenali sebagai Rakan Masjid. Mereka inilah yang menguruskan perkara-perkara yang melibatkan aktiviti kerohanian di UTP.
Namun perkara sama yang berlaku, aku hanya sempat hadir usrah beberapa kali. Naqib aku pada ketika itu pun tidak aku kenali. Sama juga dengan rakan usrah yang lain. Semuanya asing bagiku. Pendek kata, sekali lagi aku main lari-lari.
Bagi aku pada ketika itu, usrah itu buat mereka yang punyai masa lapang dan ingin menambah ilmu agama. Jika rasa bebas dari tugasan-tugasan universiti, maka bolehlah menghadirkan diri, itu pon, malas-malas. Jika tidak, jangan harap.
Di Adelaide, sekali lagi aku mendengar istilah usrah.
"Ah, ada apa dengan usrah?"
"Apa aku peduli, asalkan aktiviti harian aku tidak diganggu. Asalkan kerja aku siap. Asalkan aku boleh main bola. Asalkan aku main game tidak ada orang ganggu. Asalkan aku boleh chatting dengan kawan-kawan aku seperti biasa. Kalau semua ni tak diganggu dan aku ada masa lapang, boleh la nak duduk sekejap dalam usrah"
Bermulalah episod, Aku dan Usrah.
Tiap-tiap minggu, mesti naqib aku at least sekali datang rumah. Selalunya mesti ada benda yang dibawa sama. Selalunya mesti buah-buahan. Patutlah sihat walafiat sahaja aku sekarang!
Kebiasaannya, tiap-tiap hujung minggu kami aku duduk bersama. Aku, ahli usrah dan naqib(-naqib). Kami berbicara dan berkongsi tentang banyak benda. Berpesan dengan perkara-perkara, beraktiviti bersama, bertanya pendapat, berkongsi pandangan. Kadangkala kami ke pantai, kadangkala kami mendaki bukit, kadangkala kami berbarbeque.
"Seronok juga begini kan"
Walaupun ada masa aku tertidur dalam usrah. Bangun-bangun je, "eh,dah habis usrah rupanya."
Ada masa, rasa malas sungguh nak pergi usrah. Tapi mengenangkan masakan sedap menunggu, aku pergi jua.
Ada masa aku rasa menyampah dengan usrah. "Apa ni, tak nampak ke orang tengah sibuk ni?"
Tapi sebab satu rumah aku semua ikut usrah, aku pon ikut la berusrah. Ala biasa la, baru nampak macam budak baik bila ikut usrah.
Bila jumpa kawan yang usrah lain,
"naqib kau siapa?"
"minggu ni kau usrah tentang pe?"
"Kau usrah hari apa minggu ni?"
Masa berlalu. Sampai suatu ketika, muncul suara-suara.
"Siapa bapak usrah kau? Dia tu ustaz ke? Belajar agama kat mana? Umur berapa?Kau ingat kau nak jadi ustaz ke? Kita datang untuk belajar engineering, bukan belajar agama"
Apabila berlaku pertembungan antara majlis-majlis ilmu dengan usrah dan aku memilih untuk menghadiri usrah. Muncul suara-suara di belakang.
"Mana lebih aula', kau menuntut ilmu dengan tok syeikh yang berkelulusan dari Al-Azhar dalam bidang syariah ke menuntut dengan naqib kau yang belajar ilmu tak habis, umur baru setahun jagung tu?"
Persoalan mula timbul. Aku mula keliru. Adakah apa yang aku buat ini salah? Betul juga kata-kata mereka. Siapa la naqib aku jika dibandingkan dengan ustaz-ustaz. Rasanya dia tak pernah belajar dalam bidang syariah atau apa-apa.
Menulis untuk merungkai, berkongsi dan mencari jawapan kepada persoalan agar dapat bersama berkongsi manfaat. “Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain. ” (Riwayat Al-Tabarani)
Mari ikut blog ini
Showing posts with label muwasafat. Show all posts
Showing posts with label muwasafat. Show all posts
Sunday, 28 October 2012
Tuesday, 13 September 2011
10 Muwasafat Muslim
1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat.
Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:
"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."
Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.
2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.
3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)
Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah.
Pesan Imam Banna:
"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."
Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.
4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.
5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.
6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.
7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.
8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi) Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.
10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.
Huraian diambil dari : iluvislam
Subscribe to:
Posts (Atom)