Mari ikut blog ini

Tuesday 16 July 2013

Dzatiyah: menggerakkan diri, beroleh manfaat

Salam,

Aku pernah ditanya oleh seorang ikhwah, bagaimana perasaan apabila tinggal di 'kubu' (di Bandar Baru Bangi terletak pejabat pusat Ikatan Muslimin Malaysia serta mempunyai populasi aktivis ISMA yang ramai). 

Di sini terdapat sungguh ramai ikhwah dan banyak program yang berlangsung di kawasan sekitarnya.

Bukan itu sahaja, Bandar Baru Bangi juga turut dikenali sebagai bandar ilmu. Disini juga terdapat ramai ilmuwan, ulama dan aktivis dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), IKRAM, HALUAN, Young Muslim Project (YMP) serta banyak lagi pertubuhan yang lain.

Setiap hari, pasti akan ada program ceramah, kuliah, tazkirah dan lain-lain yang boleh dihadiri.

Namun, di atas semua kelebihan dan kemudahan yang tersedia disekeliling penduduk Bandar Baru Bangi, ada satu lagi perkara yang besar yang menentukan bagaimana biah (persekitaran) itu mampu memberi manfaat kepada kita.

Bagaimanakah itu mendapatkan manfaat daripada persekitaran kita?

Cuba bayangkan sekiranya kita tinggal di kawasan perumahan yang hanya mengambil masa beberapa minit berjalan kaki ke masjid yang berhampiran. Namun, kita tidak atau jarang sekali mengimarahkan masjid tersebut apabila masuknya waktu solat, menghadiri tazkirah mahupun ceramah yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid, ataupun terlibat sama dalam program gotong-royong membersihkan kawasan masjid. 

Inilah yang dipanggil, tidak mengambil manfaat daripada persekitaran kita. 

Seorang alim dari Pakistan, Abul A'la Maududi pernah berkata berkenaan sikap generasi hari ini terhadap Al Quran.

"Al-Quran mampu memberikan kepada anda manfaat apa pun yang anda inginkan dan sebanyak apa pun yang anda mahu. Kalau dari al-Quran, yang anda cari hanya manfaat yang kecil dan remeh, seperti untuk mengusir jin dan hantu-hantu, ubat untuk orang sakit batuk dan demam, kemenangan dalam pengadilan dan berjaya dalam mencari kerja, maka yang anda peroleh, memang, hanya hal-hal kecil itu saja. Bila yang anda cari hanya kekuasaan di atas dunia dan penguasaan terhadap  alam semesta, maka anda juga akan memperolehnya. Dan kalau anda menginginkan untuk mencapai puncak kebesaran rohani, Al-Quran juga akan membawa anda ke sana. Ini hanyalah soal kemampuan anda untuk mengambil manfaat daripadanya. Al-Quran adalah bagaikan lautan: anda hanya mengambil dua titis air daripadanya, padahal, sebenarnya ia mampu memberikan air sebanyak lautan itu sendiri."

Ataupun, kita mungkin tinggal dikalangan bijak pandai namun kita memilih untuk menyendiri dan tidak bertanyakan kepada mereka apabila kita menemui jalan buntu.



Ketika mendengar pertanyaan dari ikhwah tersebut, aku membalas pertanyaannya dengan mengatakan bahawa semua perkara itu bergantung pada dzatiyah kita sendiri. 

Boleh sahaja kita tinggal berhampiran dengan ikhwah, tetapi kita mengambil sikap untuk menjauhkan diri atau tidak berjumpa dengan ikhwah yang lain.

Kita mungkin tinggal di 'kubu', namun 'kubu' itu tidak mampu memberikan manfaat kepada kita sekiranya kita sendiri yang tidak menggerakkan diri kita untuk beroleh manfaat yang ada padanya.

Boleh sahaja, seorang ikhwah itu tercampak ke suatu tempat yang asing, jauh dari ikhwah yang lain, namun dengan dzatiyyah yang ada, dia mampu menggerakkan amal disitu. Ikhwah tiada berdekatan? Dia keluar mendapatkan ikhwah yang jauh.

Adakah kita memetik buah-buahan yang sudah masak atau kita membiarkan buah-buahan yang sudah masak itu sehingganya busuk, lalu jatuh ke tanah.

Tanya pada diri, adakah persekitaran yang tidak mampu memberi manfaat kepada kita atau kita yang tidak mengambil manfaat yang ada padanya?