Mari ikut blog ini

Monday 6 February 2012

Berhikmah dalam berurusan dengan manusia.

Salam,



genap 31 Januari maka tamatlah tempoh lebih kurang 2 bulan aku menjalani praktikal di Sapura Machining Corporation. Banyak juga ilmu yang aku dapat. Juga bertambah kenalan aku. Selepas tamat tempoh praktikal, aktiviti harianku banyak dihabiskan di rumah. Kadangkala menerima ajakan bermain futsal, menemani mak ke kenduri kahwin, bermain volleyball, pingpong dan berjumpa sahabat handai.


Masa lapang yang ada ini aku manfaatkan untuk meluangkan lebih banyak masa dengan ahli keluarga. Aku ada dua orang adik. Seorang sedang menunggu keputusan SPM (lelaki), dan seorang lagi berada di tingkatan 2 (perempuan). Jika di rumah, aku mensyaratkan untuk mereka mengaji Al-Quran sekurang-kurangnya 1 page sehari. Jika pada masa ketiadaanku, mereka perlu mengaji sendiri. Namun biasa la remaja, jiwa mahukan keseronokan. Zaman kuat memberontak. Aku faham keadaan ini, sebab dahulu aku juga pernah melaluinya (macam sekarang dah tua).


Yang kecil sekali, bergantung pada mood nya. jika baik, barulah mudah untuk menyuruhnya mengaji. Jika tidak, berbagai alasan yang akan diberikan. "Alaa hari ni banyak homework la", "Kejap lagi la", "Awin nak habiskan cerita ni dulu", "Orang dah ngantuk dah ni", "Esok boleh tak?". Macam-macam. Tapi aku faham, perkara sebegini kita tidak boleh terlalu bertegas, juga tidak boleh terlalu berlembut. Bergantung kepada situasi. Jika aku melihatnya sedang membuat kerja sekolah, maka aku memberinya kelonggaran untuk 'skip' mengaji pada hari itu dengan syarat keesokan harinya ditambah lagi bacaan sebanyak semuka. 


Namun jika aku mendapati dia sedang menonton televisyen, maka aku akan bertegas. Dia akan menarik muka, masam seperti mangga muda, tapi yang pasti dia tetap akan naik keatas dan bersiap untuk mengaji. Sebagai seorang abang, adalah tanggungjawab aku untuk memimpin mereka.


Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.