Mari ikut blog ini

Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Wednesday, 24 July 2013

Dik, buat apa tuh?

Salam,

Malam itu, malam yang ke 14 Ramadhan mengikut perkiraan dari hari pertama berpuasa.

Seusai menunaikan solat sunat witir secara berjemaah di Surau Al-Kauthar aku bergegas pulang ke rumah untuk bersiap kerana perlu hadir ke dua tempat pada malam itu.

Pertama, moreh bersama usrati. Kedua, futsal persahabatan bersama sahabat baharu dari Mesir.

Dalam perjalanan balik, aku melalui laluan yang biasa aku guna setiap kali hendak ke surau. Laluannya agak gelap, dan jarang digunakan oleh orang ramai. 

Di sisi laluan itu sedikit bersemak yang mungkin menyebabkan orang tidak bisa menggunakan laluan itu.

Di tengah perjalanan, ternampak kelibat 3 orang lelaki.

Yang paling berumur, paling hampir ke laluan.

Yang muda sedikit, di tengah.

Yang paling kecil dan paling muda, di hujung sekali nun kedalam.

Semuanya sedang duduk. Si abang long sedang sibuk makan, barangkali makanan daripada surau al-kauthar yang dibawanya kesitu.

Aku hairan, mengapa mereka duduk disitu, dalam kegelapan malam yang terselindung dan pancaran cahaya mentol.

Aku menoleh ke arah mereka, mengukir senyuman dalam kesamaran malam dan lantas menyambung perjalanan pulang.

Tetapi, sebelum aku melangkah, ternampak nyalaan api kecil di hujung tangan si kecil.

"Eh, apa itu. Nampak macam api dari putung rokok", aku bermonolog dalaman.

Segera aku bergerak mendekati si kecil untuk mendapatkan kepastian.

Terlihat akan aku menghampirinya, si kecil kelihatan tidak keruan dan mencampakkan punca api itu kebelakang.

"Dik, apa tu?"

... Si kecil tidak menjawab.

"Apa benda yang macam api tu?", aku bertanya lagi.

... Si kecil tetap membisu. Riak wajahnya berubah pucat.

"Dik, hisap rokok ye?"

... Si kecil menggeleng.

"Umur berapa ni?"

...Si kecil masih berdiam.

"Ni umur berapa ni?", aku mengulangi soalanku.

"13 tahun bang", dia menjawab sambil wajahnya melihat kebawah.

Aku menggeleng kepala. Menarik nafas panjang.

"Dik, mana dapat rokok ni? Tau tak rokok ni tak elok. Fatwa Kebangsaan Malaysia pon dah menfatwakan bahawa rokok ini haram", aku bercakap sebagaimana seorang abang menasihati adiknya.

"Dik, di bulan Ramadhan ni, bulan penuh kebaikan dan kemuliaan ni, jangan la kita mula belajar buat benda tak elok.", terasa seperti aku sedang berleter. Ah! apa aku kisah. 

"Mana dapat rokok ni? Siapa yang bagi?", aku mengalih pandangan ke arah dua orang yang lebih tua disebelah si kecil.

"Adik beradik ke?"

Thursday, 23 May 2013

Kalam Murabbi: Hati

(http://langitilahi.com/pustaka/2013/04/lukisan-Hati.jpg)

Salam,


Dakwah itu, mengajak manusia kepada Allah. 

Dakwah itu, hubungan dari hati ke hati.

Dakwah itu, tugas kita.

Ada masa, kita menghabiskan masa yang banyak untuk menyiapkan diri kita sebelum turun menghadap manusia. Rambut disikat, baju digosok, bahan di telaah sehingga muak, skrip dibaca dan dihafal sehingga lumat. Namun apabila kita turun bertemu sang manusia, kita mendapati sentuhan itu kurang. Penerimaan mereka kering. Pemahaman mereka celaru.

Maka kita berfikir, di mana silapnya?

Seringkali apabila kita membicarakan mengenai mengajak manusia kepada Pencipta, kita hanya memfokuskan pada aspek luaran dan teknikaliti semata-mata. Bagaimana gaya bahasa kita, bagaimana pembentangan kita, bagaimana isi yang kita sampaikan, bagaimana penampilan kita. 

Duit habis dibelanjakan, tenaga habis dikerahkan, otak habis diperah.

Tetapi, masih. Kurang. Memuaskan.

Kita bertanya lagi, di mana silapnya?

Kita runsing dan pening. Berlari mendapatkan murabbi. meluahkan perasaan, menyatakan permasalahan.

Mendengar, mendengar dan terus mendengar.

Bagai batu jatuh menimpa kepala. Benar kalammu, wahai murabbi!

Kita, mengajak manusia kepada Allah, berkata berkenaan soal hati. Siapakah penjaga hati kita dan hati mereka? Serahkan pada pemilik empunya sebenar hati kita untuk berbicara pada apa milikNya. Persoalan untuk kita, di mana Allah di dalam hati kita?

Di mana solat berjemaah kita? Di mana solat sunat kita? Di mana bacaan Quran kita? Di mana puasa sunat kita? Di mana qiamulail kita?

Benar kalammu, wahai murabbi!

Semoga kita tidak lalai, leka, lupa dan alpa, hati kita milik siapa?









Sunday, 14 August 2011

Flashback: Diari Ramadhan 5: Puasa masa kecik!

Salam,

Sewaktu berumur 5 tahun (ke enam?) sehinggalah berumur 9 tahun salah satu perkara yang memotivasikan aku untuk berpuasa tidak lain dan tidak bukan adalah duit. yes, duit!. Haaa, usah menafikan perkara ini. Mesti ramai diluar sana yang pernah melalui fasa ini. 

"Siapa puasa separuh hari dapat lima posen. Puasa penuh dapat seringgit"

Seboleh-bolehnya aku akan berusaha untuk mendapatkan seringgit. (Mata duitan betul). Tapi bila dah masuk darjah satu, aku dah berjaya puasa penuh sebulan. Maka dapatlah RM30.
 
Di malam hari, aku seperti kebanyakkan umat Islam di Malaysia akan pergi ke masjid/surau untuk menunaikan solat Tarawikh secara berjemaah. Tetapi sebenarnya bagi seorang kanak-kanak (aku la tu), tujuan utama untuk pergi ke surau adalah untuk bermain bersama kawan-kawan yang lain. Jarak surau As-Syakirin (sekarang dah jadi masjid) hanyalah dalam 200 meter begitu. Jadi kebiasaannya aku akan pergi secara bersendiri.

Surau As-Syakirin terbahagi kepada beberapa partitions, antaranya adalah ruangan solat utama, ruangan solat wanita, bilik besar dibahagian belakang (kelas agama) dan ruangan solat biasa di sekeliling ruangan solat utama. Kebiasaannya, kanak-kanak tidak dibenarkan solat di dalam ruangan solat utama, maka aku akan bersolat di bahagian solat di luar bersama rakan-rakan yang lain. Biasa la bagi budak yang masih kecil, solat berjemaah (tambah lagi dengan tarawikh dan witir!) ni agak memenatkan dan membosankan. 

Jadi selepas solat Isyak kami ramai-ramai akan pergi singgah sebentar di Stesyen minyak untuk membeli gula-gula (konon nak hilang mengantuk). Masa ni la nak guna duit hasil berpuasa di siang hari.

Saturday, 6 August 2011

Flashback: Diari Ramadhan 3: Puasa di perantauan

Salam,

ketika tahun pertama berpuasa di Adelaide (1st year), semangat sungguh bila nak dekat puasa.

"mama jangan lupa kirim kuih raya ye!", pesan kepada emak even sebelum start puasa lagi. Bukan sekali, tapi berkali-kali. (Eh ni bukan semangat nak puasa)

Duduk serumah dengan kawan-kawan yang buat persediaan sekali di Kolej Bandar Utama. Syukur hampir semua antara mereka pandai memasak. Kalau tak sudah pasti aku akan kebulur ataupun terpaksa menghabiskan duit untuk makan diluar. Di Adelaide ni bukan sahaja kedai halal sangat sedikit (Tak explore pon), malah agak mahal. Makan sekali-sekala tu mungkin masih boleh diterima.

Kami bersepakat untuk memasak untuk juadah bersahur dan untuk berbuka kami akan makan di Masjid Khalil. Kebiasaannya kami akan masak malam sebelum hari bersahur tu kerana bimbang kalau masak pagi nak sahur tu takut tak berkesempatan.

Dengan harapan yang besar untuk bersahur lauk yang sedap keesokan harinya aku pon tidur. 

Pagi esoknya tersedar dari tidur. Tekan butang lampu pada jam tangan digital jenama Casio, "alamak! dah pukul 6 sudah".

Kecewa. Sambung tidur semula. (Ish teruk betul). Bila housemates kejut baru nak bangun solat Subuh. Pagi tu masing-masing muka masam. Lepas tu kami berazam untuk bangun bersahur keesokan harinya. Benda sama berlaku lagi. 

Perkara yang sama berlaku hampir setiap minggu. Ada sekali itu berlaku straight 3 hari (ke lebih?). Susah payah je masak malam tu. Terlepas keberkatan bersahur.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Thursday, 28 July 2011

Flashback: Diari Ramadhan 1: Berbuka di Masjid Khalil

Salam,

"That's all for today. Any questions?...If no, see you guys next week. Enjoy your holiday" 

"Cepat Naim, cepat!". Aku separa menjerit kepada seorang rakan. " Dah nak azan maghrib dah ni, karang lambat pulak sampai kat Khalil (Khalil Mosque)".

Kami pon bergegas keluar dari Horace Lamb Lecture Theatre dan berlari anak menuju ke bahagian belakang university, di mana terdapat ruangan parkir untuk motosikal. Vroom, enjin dihidupkan. 


************************************************************

Ramai orang berkerumun di sekeliling satu meja besar. Seperti burung hering menunggu masa yang sesuai untuk menerkam mangsanya. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka dari tepi. Malas untuk bersesak-sesak. "Allahuakbar Allahuakbar", azan dilaungkan menandanya telah masuk waktu Maghrib. Mereka yang tadi mengerumuni meja mula mengorak langkah. Tangan-tangan dihulurkan untuk mencapai kuih-muih yang dihidangkan di atas meja.