Mari ikut blog ini

Friday 3 October 2014

Qudwah

Assalamualaikum.

Qudwah merupakan sebuah perkataan arab yang kini telah sinonim penggunaannya dikalangan masyarakat di Malaysia terutamanya bagi mereka yang beragama Islam. Qudwah (القدوة) sekiranya diterjemahkan kedalam Bahasa Malaysia akan membawa maksud 'contoh tauladan' ataupun 'role model' jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris.


Qudwah dalam kehidupan

Contoh mudah kepada bagaimana qudwah ini berperanan di dalam kehidupan kita sehari-hari adalah dengan melihat bagaimana seseorang itu mempengaruhi mereka yang berada di sekeliling mereka secara langsung atau tidak langsung.

Ibubapa dan anak-anak

Ibubapa pada kebiasaannya merupakan qudwah yang paling dekat kepada anak-anak mereka. Sejak dari kecil sehinggalah anak-anak dewasa, hampir kebanyakan daripada apa yang dibuat oleh ibubapa akan ditiru oleh anak-anak. Bagaimana cara berinteraksi dengan orang lain, cara mereka bertindakbalas terhadap sesuatu perkara, amalan yang menjadi kebiasaan mereka, serta banyak lagi.

Sekiranya ibubapa seringkali marah-marah serta menggunakan perkataan yang kurang elok, maka lama-kelamaan anak-anak juga akan mengadaptasi sifat marah-marah dan menggunakan perkataan kurang elok di dalam percakapan mereka.

Begitu juga sekiranya ibubapa mengamalkan bahasa serta tutur kata yang elok dan lembut di dalam rumah, maka anak-anak akan mengikuti apa yang sering merika lihat dan dengar itu dan menjadikannya sebagai suatu ikutan.

Ibubapa perlu menunjukkan qudwah yang baik dirumah
Perlakuan baik dan buruk ibubapa di rumah akan menjadi kayu ukur (benchmark) kepada anak-anak sebagai sesuatu yang boleh diamalkan di dalam kehidupan.

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Riwayat Muslim).

Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak-anak mereka dengan panduan dan didikan dengan betul. Menunjukkan qudwah yang betul merupakan salah satu cara yang paling berkesan di dalam mencorakkan anak-anak ke arah yang sepatutnya.


Kita dan kawan-kawan

Kawan-kawan yang sering kita dampingi merupakan cerminan kepada siapa diri kita yang sebenarnya. 

Kita merupakan qudwah kepada kawan-kawan kita dan kawan-kawan kita merupakan qudwah kepada kita. Mereka yang selalu bersama dengan sahabat yang selalu pergi ke masjid dan surau pasti lama kelamaan akan terpanggil untuk turut sama ke masjid dan surau. 

Begitu juga mereka yang sering meluangkan masa dengan mat rempit pasti akan banyak menghabiskan masanya di jalan-jalan, di atas motorsikal, melepak dan merempit ke sana ke mari.

Akibat tersalah pilih kawan, musibah melanda

Walaupun pada permulaanya mungkin kita tiada kecenderungan atau meminati perbuatan tersebut, namun lama kelamaan perbuatan yang sering kita lihat dan alami itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi kita sebagaimana menurut sebuah hadis Nabi SAW:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang mendampingi pencinta ilmu akan banyak menghabiskan masanya di kuliah-kuliah serta majlis-majlis ilmu manakala seorang yang mendampingi pencinta permainan video akan banyak menghabiskan masanya bermain permainan video serta apa sering dituturkannya juga akan berlegar disekitar permainan video.

Menjadi peranan kita untuk memilih dengan siapa kita sering berdamping dan disamping itu memperelokkan peribadi kita kerana mana tahu kita menjadi qudwah kepada mereka yang berada disekeliling kita.

Bersama dengan mereka yang baik akan membina biah solehah (suasana yang baik) untuk memupuk sifat-sifat yang baik dalam diri kita.


Qudwah Hasanah (contoh tauladan yang baik)

Sesiapa sahaja boleh menjadi qudwah kepada seseorang yang lain samada dari tuturkatanya mahupun amal perbuatannya.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita hendaklah menjadikan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah yang terbaik untuk kita ikuti.

“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Al-Ahzab:21)

Dengan meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah hasanah bagi diri kita akan melahirkan banyak sifat-sifat positif dalam diri kita.

Qudwah hasanah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW boleh kita amati serta terokai melalui pembacaan kitab-kitab Sirah, perkongsian-perkongsian dalam majlis ilmu sertai dengan menghayati ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menceritakan mengenai baginda.

Usrah/Halaqah itu mengumpulkan individu-individu yang mahukan kebaikan

Tindakan kita?

Setelah mengetahui akan qudwah hasanah dan mengambil contoh dari Nabi Muhammad SAW, ada beberapa perkara yang boleh kita aplikasikan di dalam kehidupan kita seharian, antaranya:


  • berusaha untuk meninggalkan sifat-sifat mazmumah (terkeji) dan berusaha mengamalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji)
  • perbanyakkan membaca sirah Sahabat disamping membaca sirah Nabi Muhammad SAW
  • Banyakkan bersama di dalam perkumpulan dengan orang-orang soleh sertai orang-orang yang mahukan kebaikan seperti usrah/halaqah dan majlis-majlis ilmu
  • Mengelakkan daripada terjebak di dalam aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan kita terjeremus kepada perkara sia-sia (membuang masa), apatah lagi perkara-perkara kemaksiatan


Wallahu'alam.