Mari ikut blog ini

Wednesday 24 July 2013

Dik, buat apa tuh?

Salam,

Malam itu, malam yang ke 14 Ramadhan mengikut perkiraan dari hari pertama berpuasa.

Seusai menunaikan solat sunat witir secara berjemaah di Surau Al-Kauthar aku bergegas pulang ke rumah untuk bersiap kerana perlu hadir ke dua tempat pada malam itu.

Pertama, moreh bersama usrati. Kedua, futsal persahabatan bersama sahabat baharu dari Mesir.

Dalam perjalanan balik, aku melalui laluan yang biasa aku guna setiap kali hendak ke surau. Laluannya agak gelap, dan jarang digunakan oleh orang ramai. 

Di sisi laluan itu sedikit bersemak yang mungkin menyebabkan orang tidak bisa menggunakan laluan itu.

Di tengah perjalanan, ternampak kelibat 3 orang lelaki.

Yang paling berumur, paling hampir ke laluan.

Yang muda sedikit, di tengah.

Yang paling kecil dan paling muda, di hujung sekali nun kedalam.

Semuanya sedang duduk. Si abang long sedang sibuk makan, barangkali makanan daripada surau al-kauthar yang dibawanya kesitu.

Aku hairan, mengapa mereka duduk disitu, dalam kegelapan malam yang terselindung dan pancaran cahaya mentol.

Aku menoleh ke arah mereka, mengukir senyuman dalam kesamaran malam dan lantas menyambung perjalanan pulang.

Tetapi, sebelum aku melangkah, ternampak nyalaan api kecil di hujung tangan si kecil.

"Eh, apa itu. Nampak macam api dari putung rokok", aku bermonolog dalaman.

Segera aku bergerak mendekati si kecil untuk mendapatkan kepastian.

Terlihat akan aku menghampirinya, si kecil kelihatan tidak keruan dan mencampakkan punca api itu kebelakang.

"Dik, apa tu?"

... Si kecil tidak menjawab.

"Apa benda yang macam api tu?", aku bertanya lagi.

... Si kecil tetap membisu. Riak wajahnya berubah pucat.

"Dik, hisap rokok ye?"

... Si kecil menggeleng.

"Umur berapa ni?"

...Si kecil masih berdiam.

"Ni umur berapa ni?", aku mengulangi soalanku.

"13 tahun bang", dia menjawab sambil wajahnya melihat kebawah.

Aku menggeleng kepala. Menarik nafas panjang.

"Dik, mana dapat rokok ni? Tau tak rokok ni tak elok. Fatwa Kebangsaan Malaysia pon dah menfatwakan bahawa rokok ini haram", aku bercakap sebagaimana seorang abang menasihati adiknya.

"Dik, di bulan Ramadhan ni, bulan penuh kebaikan dan kemuliaan ni, jangan la kita mula belajar buat benda tak elok.", terasa seperti aku sedang berleter. Ah! apa aku kisah. 

"Mana dapat rokok ni? Siapa yang bagi?", aku mengalih pandangan ke arah dua orang yang lebih tua disebelah si kecil.

"Adik beradik ke?"

Tuesday 16 July 2013

Dzatiyah: menggerakkan diri, beroleh manfaat

Salam,

Aku pernah ditanya oleh seorang ikhwah, bagaimana perasaan apabila tinggal di 'kubu' (di Bandar Baru Bangi terletak pejabat pusat Ikatan Muslimin Malaysia serta mempunyai populasi aktivis ISMA yang ramai). 

Di sini terdapat sungguh ramai ikhwah dan banyak program yang berlangsung di kawasan sekitarnya.

Bukan itu sahaja, Bandar Baru Bangi juga turut dikenali sebagai bandar ilmu. Disini juga terdapat ramai ilmuwan, ulama dan aktivis dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), IKRAM, HALUAN, Young Muslim Project (YMP) serta banyak lagi pertubuhan yang lain.

Setiap hari, pasti akan ada program ceramah, kuliah, tazkirah dan lain-lain yang boleh dihadiri.

Namun, di atas semua kelebihan dan kemudahan yang tersedia disekeliling penduduk Bandar Baru Bangi, ada satu lagi perkara yang besar yang menentukan bagaimana biah (persekitaran) itu mampu memberi manfaat kepada kita.

Bagaimanakah itu mendapatkan manfaat daripada persekitaran kita?

Cuba bayangkan sekiranya kita tinggal di kawasan perumahan yang hanya mengambil masa beberapa minit berjalan kaki ke masjid yang berhampiran. Namun, kita tidak atau jarang sekali mengimarahkan masjid tersebut apabila masuknya waktu solat, menghadiri tazkirah mahupun ceramah yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid, ataupun terlibat sama dalam program gotong-royong membersihkan kawasan masjid. 

Inilah yang dipanggil, tidak mengambil manfaat daripada persekitaran kita. 

Seorang alim dari Pakistan, Abul A'la Maududi pernah berkata berkenaan sikap generasi hari ini terhadap Al Quran.

"Al-Quran mampu memberikan kepada anda manfaat apa pun yang anda inginkan dan sebanyak apa pun yang anda mahu. Kalau dari al-Quran, yang anda cari hanya manfaat yang kecil dan remeh, seperti untuk mengusir jin dan hantu-hantu, ubat untuk orang sakit batuk dan demam, kemenangan dalam pengadilan dan berjaya dalam mencari kerja, maka yang anda peroleh, memang, hanya hal-hal kecil itu saja. Bila yang anda cari hanya kekuasaan di atas dunia dan penguasaan terhadap  alam semesta, maka anda juga akan memperolehnya. Dan kalau anda menginginkan untuk mencapai puncak kebesaran rohani, Al-Quran juga akan membawa anda ke sana. Ini hanyalah soal kemampuan anda untuk mengambil manfaat daripadanya. Al-Quran adalah bagaikan lautan: anda hanya mengambil dua titis air daripadanya, padahal, sebenarnya ia mampu memberikan air sebanyak lautan itu sendiri."

Ataupun, kita mungkin tinggal dikalangan bijak pandai namun kita memilih untuk menyendiri dan tidak bertanyakan kepada mereka apabila kita menemui jalan buntu.



Ketika mendengar pertanyaan dari ikhwah tersebut, aku membalas pertanyaannya dengan mengatakan bahawa semua perkara itu bergantung pada dzatiyah kita sendiri. 

Boleh sahaja kita tinggal berhampiran dengan ikhwah, tetapi kita mengambil sikap untuk menjauhkan diri atau tidak berjumpa dengan ikhwah yang lain.

Kita mungkin tinggal di 'kubu', namun 'kubu' itu tidak mampu memberikan manfaat kepada kita sekiranya kita sendiri yang tidak menggerakkan diri kita untuk beroleh manfaat yang ada padanya.

Boleh sahaja, seorang ikhwah itu tercampak ke suatu tempat yang asing, jauh dari ikhwah yang lain, namun dengan dzatiyyah yang ada, dia mampu menggerakkan amal disitu. Ikhwah tiada berdekatan? Dia keluar mendapatkan ikhwah yang jauh.

Adakah kita memetik buah-buahan yang sudah masak atau kita membiarkan buah-buahan yang sudah masak itu sehingganya busuk, lalu jatuh ke tanah.

Tanya pada diri, adakah persekitaran yang tidak mampu memberi manfaat kepada kita atau kita yang tidak mengambil manfaat yang ada padanya?

Monday 8 July 2013

The Apple's Story: G'day Mate!

Redward Avenue

"Kita kena bertolak paling lewat pukul 6.30 pagi esok. Jadi kau datang la ke rumah aku awal sikit. Kita gerak sekali, naik kereta budak rumah aku", kedengaran suara serak basah Mizan melalui corong telefon.

"Wah awalnya. Start kerja pukul berapa? Nak kena bawa apa-apa ke? Sejuk tak? Rehat macam mana? Kau makan apa tengahari nanti?", bertalu-talu soalan aku ajukan kepada Mizan. Bimbang dan risau kerana bakal bekerja buat pertama kali di ladang kepunyaan syarikat Flavel and sons.

"Start kerja pukul 8 pagi. Tapi kalau boleh aku nak sampai awal, nanti taklah kelam kabut. Takyah bawa apa-apa, tapi bawa la sweater takut sejuk kat atas sana nanti. Kau bawa la makanan yang kenyang sikit untuk tengahari. Nanti penat nanti. Aku biasa bawa nasi untuk lunch", Mizan menjawab semua pertanyaan aku, ringkas dan padat.

"Sempat ke aku nak bersiap dan sampai kat rumah Mizan sebelum pukul 6.30 pagi ni. Solat subuh di masjid pon habis sekitar 6.20 pagi, perjalanan balik pula sekitar 5-10 minit. Perjalanan ke rumah Mizan lagi", aku bermonolog dalaman. Bimbang terlambat pada hari pertama bekerja dan memberi persepsi buruk kepada Mizan dan majikan baru.

"OK-ok. Aku cuba gerak ke rumah kau secepat mungkin. Jumpa esok pagi inshaAllah. Assalamualaikum"

"Waalaikummussalam"

Aku melihat ke jam dinding. Jarum panjang sudah menghampiri angka 10. Melangkah ringan menuju ke dapur untuk melihat apa yang ada untuk dijadikan menu makanan tengahari hari esok.

Ternampak sebungkus plastik separuh penuh berisi roti buku di sudut meja berhampiran dengan dapur.

"Ha! jadi la tu. Makan roti disapu dengan jem pon cukup dah", aku bercakap sendirian.

Aku mengeluarkan empat keping roti dari plastik dan menyapunya rata jem berperisa strawberry berjenama Coles itu. 

...

Alarm dari telefon bimbit berbunyi. Tangan kiri meraba-raba dalam kegelapan pagi mencari butang dismiss.

Bangkit dari baring, menggosok-gosok mata yang masih berat. 

"Naim, bangun. Jom siap nak pergi masjid", aku mengejut teman sebilikku.

Di masjid-masjid tertentu di Australia, solat berjemaah di masjid bagi setiap waktu telah pun ditetapkan waktunya dan selalunya sedikit lewat berbanding masuknya waktu solat yang asal, kemungkinan besar untuk memudahkan jemaah hadir kerana waktu solat akan berubah dari hari ke hari dan ada masanya berubah dengan drastik sekali.

Seusai solat dan tiba di rumah, jam menunjukkan pukul 6.30 pagi.

"Alamak lambat dah ni. Tak siap lagi ni. Bising Mizan nanti"

Ringtone telefon bimbit berbunyi. Tertera nama Mizan di screen telefon.

"Ada kat mana? Jom. Dah pukul 6.30 dah ni", Mizan menyuarakan kerisauan.

"Kejap-kejap. Baru balik masjid. maaf lambat. Kejap lagi aku sampai"

Menyalin pakaian, memasukkan bungkusan untuk lunch dan sebotol air ke dalam beg, aku bergerak menuju ke kereta hijau cilik di luar rumah.

Sejuk. Suhu berkisar sekitar 10 darjah Celsius pada penghujung musim luruh. Ditambah pula dengan tiupan angin yang menambah kesejukan pagi menusuk hingga ke tulang sum sum.

6.50 pagi

Kelihatan Mizan sedang menunggu dihadapan rumah. Telah beberapa kali telefon berbunyi sepanjang perjalanan ke rumah Mizan.

Kereta diletakkan di bahu Regency Road berhampiran Northpark Shopping Centre

"Maaf Mizan sebab lambat. Jom"

"Kau kena bawa kereta sebab aku tak ada lesen kereta"