Mari ikut blog ini

Wednesday 24 July 2013

Dik, buat apa tuh?

Salam,

Malam itu, malam yang ke 14 Ramadhan mengikut perkiraan dari hari pertama berpuasa.

Seusai menunaikan solat sunat witir secara berjemaah di Surau Al-Kauthar aku bergegas pulang ke rumah untuk bersiap kerana perlu hadir ke dua tempat pada malam itu.

Pertama, moreh bersama usrati. Kedua, futsal persahabatan bersama sahabat baharu dari Mesir.

Dalam perjalanan balik, aku melalui laluan yang biasa aku guna setiap kali hendak ke surau. Laluannya agak gelap, dan jarang digunakan oleh orang ramai. 

Di sisi laluan itu sedikit bersemak yang mungkin menyebabkan orang tidak bisa menggunakan laluan itu.

Di tengah perjalanan, ternampak kelibat 3 orang lelaki.

Yang paling berumur, paling hampir ke laluan.

Yang muda sedikit, di tengah.

Yang paling kecil dan paling muda, di hujung sekali nun kedalam.

Semuanya sedang duduk. Si abang long sedang sibuk makan, barangkali makanan daripada surau al-kauthar yang dibawanya kesitu.

Aku hairan, mengapa mereka duduk disitu, dalam kegelapan malam yang terselindung dan pancaran cahaya mentol.

Aku menoleh ke arah mereka, mengukir senyuman dalam kesamaran malam dan lantas menyambung perjalanan pulang.

Tetapi, sebelum aku melangkah, ternampak nyalaan api kecil di hujung tangan si kecil.

"Eh, apa itu. Nampak macam api dari putung rokok", aku bermonolog dalaman.

Segera aku bergerak mendekati si kecil untuk mendapatkan kepastian.

Terlihat akan aku menghampirinya, si kecil kelihatan tidak keruan dan mencampakkan punca api itu kebelakang.

"Dik, apa tu?"

... Si kecil tidak menjawab.

"Apa benda yang macam api tu?", aku bertanya lagi.

... Si kecil tetap membisu. Riak wajahnya berubah pucat.

"Dik, hisap rokok ye?"

... Si kecil menggeleng.

"Umur berapa ni?"

...Si kecil masih berdiam.

"Ni umur berapa ni?", aku mengulangi soalanku.

"13 tahun bang", dia menjawab sambil wajahnya melihat kebawah.

Aku menggeleng kepala. Menarik nafas panjang.

"Dik, mana dapat rokok ni? Tau tak rokok ni tak elok. Fatwa Kebangsaan Malaysia pon dah menfatwakan bahawa rokok ini haram", aku bercakap sebagaimana seorang abang menasihati adiknya.

"Dik, di bulan Ramadhan ni, bulan penuh kebaikan dan kemuliaan ni, jangan la kita mula belajar buat benda tak elok.", terasa seperti aku sedang berleter. Ah! apa aku kisah. 

"Mana dapat rokok ni? Siapa yang bagi?", aku mengalih pandangan ke arah dua orang yang lebih tua disebelah si kecil.

"Adik beradik ke?"