Mari ikut blog ini

Friday 10 February 2012

Masjid dan Danial, si kecil cilik

Salam,


di rumah sebelah aku ada seorang budak lelaki. Namanya Danial. Tahun ini 6 tahun. Sebelum ini aku tidak pernah ditegur mahupun melihatnya kerana jarang sekali untuk aku berpeluang berbuat demikian. Menurut adikku, ketika masih kecil si Danial ini agak pemalu orangnya. Biasalah budak, takut berdepan dengan sesuatu yang tidak dikenalinya. Itu kisah dahulu.


Seringkali apabila aku keluar rumah aku akan melihat si Danial ini bermain di halaman rumahnya bersama kakaknya, Balqis yang berumur 8 tahun. Juga kadangkala akan kelihatan rakan sebayanya seorang lagi yang juga merupakan jiran aku, Iman bertandang ke rumahnya untuk bermain bersama. Teringat zaman kanak-kanakku di mana rakan-rakan jiran yang lebih kurang sebaya seringkali bertandang ke rumah untuk bermain bersama. Mana tak nya, abang aku merupakan 'ketua' bagi kumpulan kami. Segala arahannya dipatuhi dan dihormati.


Pada permulaannya, Danial hanya bisa menegur adikku, Zarif kerana sudah pun membiasakan diri dengannya. Setiap kali kami hendak bergerak keluar ke mana-mana akan kedengaran suara si kecil ini.


" Hai abang Zarif!"


"Nak ke mana tu?"


dan bermacam lagi celotehnya.


Kadangkala aku akan menyampuk dengan menegur si kecil ini.


"Hai Danial"


"Danial tengah buat apa tu?"


"Danial dah makan?"


"Mana Balqis?"


dan lain-lain.


Danial ini merupakan seorang kanak-kanak yang periang.


Suatu hari, ketika aku sedang berjalan beredar dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Zohor aku terserempak dengan Danial dan bibiknya di pertengahan jalan.


"Nak ke mana tu?", tanya Danial.


"Nak pergi semayang. Kat masjid depan tu", sambil menunjukkan ke arah masjid. "Danial nak ikut?"


Diam sejenak. "Nak!", terukir senyuman lebar dibibirnya.


"Nak semayang apa nya, pakai seluar pendek tu", sapa si bibik sambil menunjukkan pada seluarnya.


"Alaaa, macam ni xboleh la pergi semayang", wajahnya hampa.


"Xpe la Danial, nanti lain kali kita pergi semayang ye", aku memujuknya.


***********************************************


Azan Zohor dilaungkan. Aku bersiap-siap dan menuju ke luar rumah. Lalu sahaja di depan rumah Danial.


"Nak pergi mana? masjid eh? Nak ikut 2x". Wajah nya tampak ceria. Seolah-olah menunggu approval dari aku.


"Danial nak ikut? Jom".


Danial menoleh kearah bibiknya yang duduk berhampiran sambil membuat muka kesian. Bibik mengangguk tanda setuju. Kemudian Danial masuk ke dalam rumah sebentar untuk menukar seluar pendek yang dipakainya dengan seluar panjang. Selesai bersalin, dia berlari mendapatkan aku. Aku senyum padanya.


Kami pon berjalan menuju ke masjid. Jarak dari masjid ke rumah ku hanya mengambil masa lebih kurang dalam 1-2 minit berjalan kaki. Sampai sahaja di perkarangan masjid.


"Danial dah ambil air semayang?"


"Errr. Belum."



"Danial tau macam mana nak ambil air semayang?"


"Tau 2x. Mula-mula basuh muka dulu kan?"


"Betul! Pandai Danial" Si kecil itu pon kemudiannya membasuh mukanya.


"Lepas tu apa?"


"Tangan kanan"


"lepas tu?"


"Tangan kiri"


"Lepas tu?"


"Rambut"


"lepas tu?"


"Kaki kanan dan kaki kiri"


-Selesai-


Kami masuk ke dewan solat dan aku menyuruhnya berdiri di samping rakan-rakannya yang seusia dengannya.


"Diorang bukan kawan Danial. Danial tak kenal pun diorang"


Tersengih aku dengar dia cakap macam tu.


"Ok la bukan kawan Danial. Danial pergi semayang tepi diorang ye"


Selesai solat, berzikir dan berdoa, kami bergerak menuju ke rumah.


"Tadi Danial aminkan doa x?"


"Mesti lah. Tak nampak ke." Balasnya dengan nada selamba sambil berjalan di atas longgokan daun-daun yang berguguran.


***********************************************


Azan asar sedang berkumandang. Aku segera bergegas keluar dari bilik setelah selesai bersiap. Aku mencapai seketul gula-gula yang aku beli beberapa hari yang lepas dengan tujuan untuk memberikannya kepada Danial sekiranya dia ingin menigkutiku ke masjid.


Aku berjalan keluar dari rumah dan melalui hadapan rumahnya. Kelihatan Balqis sedang seronok bermain bersama kawannya. Ternampak kelibat aku, belum sempat aku berkata apa-apa,Balqis segera bercakap.


"Danial taknak ikut. ayah dia tak bagi"


Terkejut aku mendengarnya. Biar betul. Takkanlah seorang ayah akan bersikap begitu. Tambahan pula setahu aku ayahnya bekerja dari pagi sehingga ke lewat petang dan tiada di rumah ketika itu. Namun, aku tetap menunggu seketika.


Danial keluar dari rumah.


"Mana ada orang taknak ikut! Balqis tipu!", nadanya sedikit marah. "tunggu kejap eh nak tukar seluar"


Danial kemudiannya mengekori aku menuju ke masjid. Aku mengeluarkan sebiji gula dari kocekku dan memberikannya pada Danial.


"Nah ni hadiah untuk Danial sebab rajin pergi semayang"


Danial kembali tersenyum. Fitrah kanak-kanak sukakan pemberian, lagi-lagi pemberian seperti gula-gula. Mana mungkin akan ditolaknya.


"Hari ni Danial  nak semayang kat mana?", aku bertanyakan soalan kepadanya ketika berada di dalam dewan solat.






"Danial nak semayang kat sini boleh?" Sambil menunjukkan kearah tempat dia berdiri. Walaupun sedikit jauh dari kanak-kanak yang lain, aku mengangguk menyetujui.


***********************************************


Aku dikejutkan oleh adik perempuanku mengatakan telah masuk waktu Zohor. Tengok pada jam, 1.30 petang. "Ush dah lambat ni, harap-harap la sempat solat dengan imam", aku berbicara sendirian. Keluar dari rumah, kelihatan Danial di halaman rumahnya.


"Kenapa lambat harini?", si kecil mengajukan persoalan padaku.


Aku senyum. "Tertidur tadi. Tu yang lambat sikit tu"


"Ooo baru bangun pagi ke"


"Eh bukanlah. Tadi tidur jap sebelum Zohor. Kan pagi tadi ada jumpa dengan Danial"


Kami menuju ke masjid bersama. Soalan yang sama aku ajukan padanya. "Danial dah ada air semayang?"


Dia tersengih. "Belum"


"Danial ingat lagi tak macam mana nak ambil air semayang?"


"Ingat-ingat"


"Mula-mula muka kan? Lepas tu tangan. lepas rambut. Lepas tu telinga kan?". Sambil membasuh anggota-anggota yang disebutnya.


"Eh siapa ajar dia basuh telinga?", aku bermonolog dalaman. "Ha 'ah. Lepas tu basuh dua-dua kaki ye". Pandai budak ni. Sekali ajar sahaja sudah ingat.


***********************************************


Ada sekali Danial bertanyakan padaku. "Kenapa Nabi baca semayang kuat?"






Erk? Aku rasa budak ni cakap pasal imam kot. "Nabi baca kuat sebab orang lain nak dengar dia baca. Kalau Danial semayang sorang-sorang Danial baca perlahan je. Kalau semayang ramai-ramai Nabi kena baca kuat. Tapi Danial xpayah baca kuat. Nabi je". Tidak mahu memeningkannya dengan istilah. Mungkin lain hari akan aku jelaskan padanya istilah yang betul iaitu imam.


Ada juga suatu ketika aku berhenti di rumahnya dan tidak melihatnya di luar.


"Danial tengah siap-siap pakai baju." Balqis menoleh ke dalam dan separa menjerit, " Danial! tak payah pakai baju jubah pon takpe. Tengok abang ni pakai baju biasa je"


Erk? Aku jugak yang kena.


Danial keluar dengan memakai baju melayu lengkap tanpa sampin dan songkok.


"Mana songkok?", tanya kakaknya.


"Alaa tak yah pon takpe"


Sedang dalam perjalanan menuju ke masjid.


"Nak gula", kata Danial. "Balqis pon nak jugak."


erk?


"Danial nak gula?". Dia mengangguk.


"Danial pergi semayang sebab nak gula ke?"


"Ha'ah". Alahai budak ni. menyesal aku bagi gula tempohari.


Kemudian aku mengeluarkan dua biji gula-gula dari poketku dan memberikan padanya. Memang dalam perancanganku untuk memberikan gula-gula kepadanya dan kepada si Balqis. Aku bertanyakan padanya sekali lagi.


"Danial pergi semayang sebab nak gula ke? Mana boleh macam tu Danial."


"Mana ada la. Danial main-main je". Dia senyum melebar. Hadoi, terkena jugak aku.


***********************************************


Tetapi, ada satu peristiwa yang sedikit menyedihkan aku. Suatu hari tu, macam biasa aku berjalan ke masjid bersama si Danial ni. Selesai dia berwuduk, kami masuk ke dewan solat. Kebiasaannya kerana menunggu Danial bersiap, solat telah pon bermula tapi hari itu berbeza. Kami masuk dikala yang lain sedang menunggu untuk menunaikan solat Asar. Aku perhatikan di dalam tiada kanak-kanak yang kebiasaannya ada. Jadi aku pon tanya pada Danial.


"Danial nak semayang kat depan tak?". Dia mengangguk sambil membulatkan matanya. Tanda dia agak teruja untuk berbuat sedemikian. Apabila bilal melaungkan iqamah, kami bergerak menuju ke saf hadapan (saf pertama). Aku meminta Danial untuk berdiri di sebelahku disamping aku membetulkan kedudukan kakinya.


Dia berada di sebelah kiri aku. Tiba-tiba seorang pakcik yang berdiri di sebelah kanan aku bersuara.


"Nanti saf terputus nanti.", aku buat-buat seperti tidak mendengar apa yang dituturkan oleh pakcik itu.


"Nanti saf terputus nanti. Tengok ada budak ni". Pakcik itu bersuara lagi. Aku tidak menoleh ke kanan tetapi terus menyiapkan diri untuk bersolat. Imam bertakbir tandanya solat telah dimulakan. Aku pon tanpa mengendahkan percakapan pakcik itu meneruskan solat seperti biasa.


Aku pernah beberapa kali mendengar, membaca, melihat perdebatan tentang isu ini. Dimana ada pihak yang tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur tertentu untuk berada di saf bersama orang dewasa. Ada yang tidak boleh masuk dewan solat utama dll. Siap ada sesetengah surau/masjid yang mempunyai papan tanda 'Saf kanak-kanak bermula disini'. Kedua-dua pihak ada dalil mereka sendiri. Tapi aku lebih bersetuju dengan pihak yang membenarkan kanak-kanak untuk turut samping bersolat bersama orang dewasa. Seperti yang di coretkan oleh Dr Asri di dalam laman blognya [KLIK SINI]


Mujur di masjid yang aku sering solat ini tiada papan tanda sebegitu.


^^


Pendidikan seorang kanak-kanak itu perlulah dimulakan dari rumah lagi. Kita perlu memupuk sikap untuk mencintai masjid dan selalu mengimarahkan masjid dalam diri setiap orang. Seorang pendidik itu terutamanya ibu atau bapa perlulah bijak dan kreatif dalam menarik minat anak-anak mereka untuk melakukan amalan-amalan yang baik disisi agama, di samping mendidik mereka dengan akhlak yang mulia dan mengajarkan ibadah yang sahih.


Wallahualam

3 comments:

  1. nice. moga Allah berkati usaha

    ReplyDelete
  2. Subhanallah....impressive, moga Allah sentiasa merahmati kamu & Danial...

    ReplyDelete
  3. Subhanallah...impressive, moga Allah sentiasa merahmati kamu & danial...

    ReplyDelete