Mari ikut blog ini

Sunday 28 October 2012

Aku dan Usrah

Salam,

Ada apa dengan usrah? Ramai yang tertanya-tanya akan persoalan ini. Majlis ilmu? Majlis makan-makan? Masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan? Bulatan gembira? Bulatan Alien?

Suatu masa dahulu, aku juga pernah berada di situ. "Usrah ni untuk budak baik-baik je"

Aku mula berusrah secara konsisten pada tahun pertama aku menyambung pelajaran di University of Adelaide, pada tahun 2009.

Bukannya aku tak pernah dengar apa itu usrah. Masa di sekolah dulu pon aku pernah usrah. Tapi main lari-lari. Setahun berapa kali sahaja. 'Bapak usrah' pon aku tak kenal.

Kemudian sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas, sekali lagi aku terlibat dengan usrah. Aku di 'assigned' kepada seorang naqib ketika minggu orientasi, dan kemudian beberapa minggu, aku dihubungi oleh beliau. Di UTP, ada satu badan/organisasi yang dikenali sebagai Rakan Masjid. Mereka inilah yang menguruskan perkara-perkara yang melibatkan aktiviti kerohanian di UTP.

Namun perkara sama yang berlaku, aku hanya sempat hadir usrah beberapa kali. Naqib aku pada ketika itu pun tidak aku kenali. Sama juga dengan rakan usrah yang lain. Semuanya asing bagiku. Pendek kata, sekali lagi aku main lari-lari.

Bagi aku pada ketika itu, usrah itu buat mereka yang punyai masa lapang dan ingin menambah ilmu agama. Jika rasa bebas dari tugasan-tugasan universiti, maka bolehlah menghadirkan diri, itu pon, malas-malas. Jika tidak, jangan harap.




Di Adelaide, sekali lagi aku mendengar istilah usrah. 

"Ah, ada apa dengan usrah?"

"Apa aku peduli, asalkan aktiviti harian aku tidak diganggu. Asalkan kerja aku siap. Asalkan aku boleh main bola. Asalkan aku main game tidak ada orang ganggu. Asalkan aku boleh chatting dengan kawan-kawan aku seperti biasa. Kalau semua ni tak diganggu dan aku ada masa lapang, boleh la nak duduk sekejap dalam usrah"

Bermulalah episod, Aku dan Usrah.

Tiap-tiap minggu, mesti naqib aku at least sekali datang rumah. Selalunya mesti ada benda yang dibawa sama. Selalunya mesti buah-buahan. Patutlah sihat walafiat sahaja aku sekarang!

Kebiasaannya, tiap-tiap hujung minggu kami aku duduk bersama. Aku, ahli usrah dan naqib(-naqib). Kami berbicara dan berkongsi tentang banyak benda. Berpesan dengan perkara-perkara, beraktiviti bersama, bertanya pendapat, berkongsi pandangan. Kadangkala kami ke pantai, kadangkala kami mendaki bukit, kadangkala kami berbarbeque.

"Seronok juga begini kan"

Walaupun ada masa aku tertidur dalam usrah. Bangun-bangun je, "eh,dah habis usrah rupanya."

Ada masa, rasa malas sungguh nak pergi usrah. Tapi mengenangkan masakan sedap menunggu, aku pergi jua.

Ada masa aku rasa menyampah dengan usrah. "Apa ni, tak nampak ke orang tengah sibuk ni?"

Tapi sebab satu rumah aku semua ikut usrah, aku pon ikut la berusrah. Ala biasa la, baru nampak macam budak baik bila ikut usrah.

Bila jumpa kawan yang usrah lain, 

"naqib kau siapa?"

"minggu ni kau usrah tentang pe?"

"Kau usrah hari apa minggu ni?"

Masa berlalu. Sampai suatu ketika, muncul suara-suara. 

"Siapa bapak usrah kau? Dia tu ustaz ke? Belajar agama kat mana? Umur berapa?Kau ingat kau nak jadi ustaz ke? Kita datang untuk belajar engineering, bukan belajar agama"

Apabila berlaku pertembungan antara majlis-majlis ilmu dengan usrah dan aku memilih untuk menghadiri usrah. Muncul suara-suara di belakang.

"Mana lebih aula', kau menuntut ilmu dengan tok syeikh yang berkelulusan dari Al-Azhar dalam bidang syariah ke menuntut dengan naqib kau yang belajar ilmu tak habis, umur baru setahun jagung tu?"


Persoalan mula timbul. Aku mula keliru. Adakah apa yang aku buat ini salah? Betul juga kata-kata mereka. Siapa la naqib aku jika dibandingkan dengan ustaz-ustaz. Rasanya dia tak pernah belajar dalam bidang syariah atau apa-apa. 



Aku mencari jawapan kepada persoalan ini. Bersendirian dan juga bertanyakan kepada meraka yang aku percayai.

Apa yang aku dapat?

Ya, pilihan aku tidak salah. Dan aku yakin dengan pilihan yang aku buat dua tahun yang lepas. 

Maaf kawan, tapi usrah aku bukan sekadar majlis ilmu. Bukan sekadar perkumpulan membincangkan bahan. Bukan sekadar duduk-duduk merapatkan ukhuwah. Usrah aku bermatlamat, mempunyai harapan. Membina batu-batu kearah Ustaziatul Alam. 


7 Maratib Amal. Kami punyai matlamat, bukan semberono


Jika ilmu agama yang aku cari, nescaya ramai lagi orang diluar sana, ustaz-ustaz, tok syeikh, para imam yang mampu aku cari untuk menimbanya. Namun, kemana ilmu itu hendak dibawa? Ditimba, disimpan, dipelajari dan disebarkan. Adakah sekadar itu sahaja amal yang mampu aku buat? Aku tidak menafikan kepentingan ilmu itu, tambahan pula ilmu agama itu. "Of course super duper penting"

Namun di sebalik itu, aku punyai matlamat yang lebih besar. Sehingga tiada lagi fitnah dimuka bumi. Sehingga Islam itu diletakkan pada tempat yang sebenarnya, dan tiada lagi yang lebih tinggi dari Islam. Dan bagaimana hendak kesitu? Bukan sekadar dengan menghadiri kelas-kelas agama, bukan sekadar hadir majlis-majlis ilmu, bukan sekadar mengaji kitab, menghafal hadis.

Usrah merupakan salah satu dari langkah kesitu, kerana usrah itu disusun untuk membina individu dengan menanamkan fikrah ke dalamnya. Supaya setiap individu itu mempunya agenda, mempunyai keinginan untuk melihat suatu hari nanti Islam itu sebagai pentadbir alam.

Di samping menghadiri usrah, aku juga memastikan diri aku menghadiri ceramah-ceramah agama, kuliah-kuliah, kelas-kelas dan daurah, supaya disamping memperkukuhkan fikrah, asas agama itu dapat dibina bersama. Supaya aku mempunyai tujuan, bukan tidak bermatlamat. Belajar, tetapi tidak tahu mahu ke mana.

Itu pilihan aku, dan itu apa yang aku yakini. Usrah, halaqah, muasykar, rehlah, jaulah, daurah, mukhayyam, qiam, semua ini untuk membina individu yang 'well-rounded'. Bukan membina individu yang pandai berdebat dengan hujah yang terbaik.

Pembinaan individu oleh kesemua wasilah tarbiyah ini meliputi membina individu yang mempunyai akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, memiliki akhlak yang mantap, mampu berusaha dan berdikari, sihat tubuh badan, mempunyai pengurusan masa yang cemerlang, berguna kepada orang lain, mengetahui pelbagai perkara yakni cakna ilmu dan masyarakat, mampu mengatakan tidak kepada godaan nafsu dan juga sentiasa tersusun urusan dirinya.


Syumul, bukan hanya pada satu aspek


Pembinaan individu yang syumul itu bukannya dengan sehari dua, namun melalui pentarbiyahan yang memakan masa. Pembinaan itu bukan hanya dengan satu wasilah sahaja. Tubuh badan yang sihat tidak mampu dibina di dalam majlis-majlis ilmu. Namun majlis ilmu mampu membina individu yang mampu melakukan ibadah yang sahih. Sifat untuk menyumbang yakni berguna kepada orang lain sukar untuk dipupuk di dalam usrah, namun boleh dibina ketika berjaulah, bermuasykar dan bermukhayyam.

Begitulah, saling melengkapi antara satu dan yang lain.

Mungkin sekarang kita masih penuh lopang, sana sini. Penuh kekurangan. Namun tak bermakna usaha kita terhenti disitu, kita mengalah. Mengatakan kita tidak mampu. 

Imbasan sirah menunjukkan walau sahabat Nabi sekalipun mempunyai kekurangan dan jahiliyah dalam diri. Mereka yang dekat dengan Nabi! 

Bagaimana kisah Abu Dhar menggunakan perkataan 'anak orang hitam' kepada Bilal, dan apabila perkara itu diajukan kepada Rasulullah SAW, beliau berkata,
 

“Wahai Abu Zar, kamu telah menghina Bilal dan menghina asal usulnya. Ketahuilah Abu Dhar, sesungguhnya kamu asal usulnya adalah orang jahiliyah sebelum masuk Islam, dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa-sisa jahiliyyah”.

[Di ambil dari Sahih Bukhari (8/76)]

Gerabak dakwah akan terus berjalan, samada kita bersamanya atau tidak. Perjalanan itu masih jauh, nafas perlu panjang, atau anda akan futur.

Pendek kata, kenapa pilih usrah? Sebab aku yakin, itu yang terbaik. 

Bukan yang terbaik? Bagi aku alternatifnya.









Extras:

10 Muwasafat Tarbiyah 

Sihat Tubuh Badan

Mujahadah melawan nafsu

Mampu berdikari

Akhlak yang mantap

2 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih @Rafiq kerana membaca. Moga bermanfaat dan kekal dengan usrah jika sudah usrah. Jika belum, pastikan anda 'berusrah'! :)

      Delete