Mari ikut blog ini

Wednesday 24 July 2013

Dik, buat apa tuh?

Salam,

Malam itu, malam yang ke 14 Ramadhan mengikut perkiraan dari hari pertama berpuasa.

Seusai menunaikan solat sunat witir secara berjemaah di Surau Al-Kauthar aku bergegas pulang ke rumah untuk bersiap kerana perlu hadir ke dua tempat pada malam itu.

Pertama, moreh bersama usrati. Kedua, futsal persahabatan bersama sahabat baharu dari Mesir.

Dalam perjalanan balik, aku melalui laluan yang biasa aku guna setiap kali hendak ke surau. Laluannya agak gelap, dan jarang digunakan oleh orang ramai. 

Di sisi laluan itu sedikit bersemak yang mungkin menyebabkan orang tidak bisa menggunakan laluan itu.

Di tengah perjalanan, ternampak kelibat 3 orang lelaki.

Yang paling berumur, paling hampir ke laluan.

Yang muda sedikit, di tengah.

Yang paling kecil dan paling muda, di hujung sekali nun kedalam.

Semuanya sedang duduk. Si abang long sedang sibuk makan, barangkali makanan daripada surau al-kauthar yang dibawanya kesitu.

Aku hairan, mengapa mereka duduk disitu, dalam kegelapan malam yang terselindung dan pancaran cahaya mentol.

Aku menoleh ke arah mereka, mengukir senyuman dalam kesamaran malam dan lantas menyambung perjalanan pulang.

Tetapi, sebelum aku melangkah, ternampak nyalaan api kecil di hujung tangan si kecil.

"Eh, apa itu. Nampak macam api dari putung rokok", aku bermonolog dalaman.

Segera aku bergerak mendekati si kecil untuk mendapatkan kepastian.

Terlihat akan aku menghampirinya, si kecil kelihatan tidak keruan dan mencampakkan punca api itu kebelakang.

"Dik, apa tu?"

... Si kecil tidak menjawab.

"Apa benda yang macam api tu?", aku bertanya lagi.

... Si kecil tetap membisu. Riak wajahnya berubah pucat.

"Dik, hisap rokok ye?"

... Si kecil menggeleng.

"Umur berapa ni?"

...Si kecil masih berdiam.

"Ni umur berapa ni?", aku mengulangi soalanku.

"13 tahun bang", dia menjawab sambil wajahnya melihat kebawah.

Aku menggeleng kepala. Menarik nafas panjang.

"Dik, mana dapat rokok ni? Tau tak rokok ni tak elok. Fatwa Kebangsaan Malaysia pon dah menfatwakan bahawa rokok ini haram", aku bercakap sebagaimana seorang abang menasihati adiknya.

"Dik, di bulan Ramadhan ni, bulan penuh kebaikan dan kemuliaan ni, jangan la kita mula belajar buat benda tak elok.", terasa seperti aku sedang berleter. Ah! apa aku kisah. 

"Mana dapat rokok ni? Siapa yang bagi?", aku mengalih pandangan ke arah dua orang yang lebih tua disebelah si kecil.

"Adik beradik ke?"
Puasa, bukan sekadar menahan dari lapar dan dahaga

Si abang mengangguk. Mukanya selamba. Sambil menyuap makanan ke dalam mulutnya.

"Ni kitorang jumpa kat sini.", si abang long menjawab.

Kelihatan sekotak rokok disebelah kanannya. Beberapa puntung rokok bertaburan disekitar kotak rokok. Jenamanya? Aku tidak pasti. Yang pasti, itu kotak rokok. Ya, aku pasti.

Mahu sahaja aku marahkan mereka ini, namun aku bercakap dalam nada sepertimana aku bercakap dengan sahabat.

Sebelum aku beredar, sempat aku berpesan, "Ingat, jangan hisap-hisap rokok ni. Saya nak kamu buang rokok ni."

Si adik kelihatan membuang kahak, seperti mahu membuang segala apa yang dia sedut kedalam rongga mulutnya. 

"Ok bang", si kecil menjawab.

Aku segera beredar, kerana bimbang akan terlewat ke agendaku yang lain pada malam itu. Geleng kepala, memikirkan apa yang baharu aku lihat.

*********

Malam 15 Ramadhan. Alhamdulillah diberi kesempatan sekali lagi untuk menyempurnakan 14 hari berpuasa dan memasuki 15 Ramadhan.

Seperti biasa, seusai solat aku bergerak menuju kerumah melalui jalan yang biasa aku lalui. Keluar sahaja dari pintu surau, kelihatan si adik dan si abang ngah sedang berdiri di tangga masjid. Si abang ngah ternampak kelibat aku disitu. Aku senyum, dan dia juga turut senyum. Aku menuruni tangga dan terus berjalan.

...

Kedengaran bunyi tapak kaki orang berlari anak dibelakang aku.

Aku menoleh. Rupanya si kecil semalam, berlari mendapatkan aku.

"Bang, saya dah tak hisap rokok dah", wajahnya ceria dan tersenyum.

Aku membalas senyumannya sambil mengusap kepalanya.

"Wah, bagus lah. Bagus-bagus. Jangan hisap rokok lagi tau."

"Baik bang"

"Kamu datang dengan abang-abang kamu ke?"

"Ha ah. Ada kat atas tu"

"Ok, bagus-bagus. Tu yang saya nak."

Saya meneruskan perjalanan. "Semoga istiqamah, dik!"

Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ
Betapa banyak orang berpuasa yang tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar saja. (HR. Ahmad No. 9685, Ibnu Majah No. 1690, Ad Darimi No. 2720)


No comments:

Post a Comment