Mari ikut blog ini

Saturday 8 November 2014

Antara Cinta dan Tanggungjawab


"Alhamdulillah, hari ini boleh masuk rumah baru. Allah mudahkan urusan, jadi tak perlu duduk berasingan lama-lama selepas nikah", ujarku dalam hati.

Baru sahaja melangsungkan majlis menyambut tetamu semalam harinya. Hari ini sudah pulang ke Johor kerana keesokan harinya perlu bekerja.

Dua minggu pertama, sibuk setiap hari keluar ke pasaraya-pasaraya mencari barang-barang keperluan rumah. Al maklumkah, rumah baru (masuk). Kosong serba serbi.

Kelam kabut juga mahu menyesuaikan diri diantara urusan rumah, kerja, tarbiyah dan dakwah. Beberapa kali juga terlewat tiba ke pejabat dan program-program sehinggakan ada yang menegur, "Kau ni, lepas kahwin ni asyik lambat je memanjang"

Dush. Kena tepat sebijik dikepala.

"Kau kata kau orang yang ditarbiyah, kenapa begini pula jadinya? Aku ingat, lepas berkahwin semakin gencar amal. Allahu Allah. Teruk ni. Kalau berterusan, fitnah besar kepada tarbiyah dan dakwah itu", marahku pada diri.

Mana kan tidak. Jika ketika bujang dahulu, akulah antara yang pertama tiba di tempat pertemuan usrah. Akulah antara yang pertama tiba di pejabat dan menyusun kerusi untuk berprogram.

Namun sejurus selepas berkahwin, muka siapa lagi yang lambat kalau bukan aku. Paling awal, cukup-cukup makan. 

"Argh. Buat apa kahwin kalau begitu. Makin teruk, bukan makin baik. Makin lambat, bukan makin laju", tidak habis lagi memarahi diri.


Bertindak

Ini tak boleh jadi dan perlu diperbaiki. Susun semula jadual, rancang semula perjalanan.

Apa tujuan kau berkahwin?

Antaranya supaya si isteri dapat menampung kekurangan kau dan kau dapat menampung kekurangan si isteri, melengkapkan sebahagian dari agama.

Muhasabah kembali. Refleksi mana yang silap. Kita muda, banyak perlu belajar tapi itu bukan alasan untuk terus buat silap dan alpa dalam kesilapan. 

InshaAllah, apabila tujuan perkahwinan itu kerana dakwah, disatukan atas akidah dan fikrah yang sama maka dipermudahkan banyak urusan. Yang penting saling mempercayai dan sanggup berkorban.

Macam-macam ada!


Berkorban

Semalam usrah. Hari ini mesyuarat agensi. Esok bawa halaqah remaja. Lusa mesyuarat program. Tulat liqa' tarbiyah. Belum campur lagi dengan riadah mingguan, bertemu dan bermuayasyah dengan anak-anak buah, berfutsal, perlawanan persahabat bola sepak, daurah, mukhayyan, jaulah, program-program agensi, katibah, kafilah dakwah dan bermacam-macam lagi.

Dalam sehari, mungkin hanya sempat jumpa sebentar selepas kerja sebelum keluar balik untuk pergi ke usrah dan program. Mungkin bila balik dari usrah ataupun program, isteri sudah tertidur. 

Dalam seminggu, mungkin sempat betul-betul meluangkan masa bersama isteri hanyalah pada petang hari di hujung minggu. Itu pon jika tidak ada program.

Begitulah rutin. Siapa suruh, kau yang nak. Padan muka.

Ada masa apabila pulang ke rumah, si isteri sedang mengadap komputer mempersiapkan 'presentation slides' untuk pembentangan yang perlu dibuatnya di tempat kerja.

Ada ketika, si isteri sedang menelaah buku-buku kerana akan ada ujian yang perlu didudukinya.

Terdetik akan suara-suara yang tidak enak dalam benak.

"Kesian isteri aku, asyik berseorangan di rumah. Berjumpa sekejap, berpisahnya lama. Kadangkala, hanya punyai masa dimeja makan tika lauk diceduk dan makanan disuap"

Malam itu, aku menghampiri buah hatiku itu, Ku pegang bahunya, ku usap pipinya. 

"Sayang, maafkan saya sebab selalu tiada disisi ketika awak memerlukan", nadaku sedih.

Dia menoleh kepadaku. Senyum dan membalas dengan kata penuh makna.

"Awak, tidak mengapa. Sesungguhnya saya meredhai keadaan kita dan mensyukuri kerana kesibukan awak adalah kerana dakwah"

Bergetar hati!

Benarlah sejarah sejak sekian lama membuktikan, wanita itu insan yang kuat.

Siapakah yang menenangkan Rasulullah SAW tika mana badannya menggigil apabila pulang dari bertemu dengan sosok Malaikat Jibrail? - wanita!

Siapakah yang berulang 7 kali antara Safa dan Marwah sehingga diangkat pengorbanan itu menjadi rukun haji? - wanita!

Tersentak. 

Mungkin saja aku terjerumus barangkali ke dalam lirik-lirik sumbang yang dialunkan oleh syaitan?

Untung. Isteriku juga disentuh tarbiyah. 

Malu. Alangkah teruknya pemikiranku untuk berfikir sedemikian walhal dia, jauh lebih kuat dari itu.

Terngiang kembali sepotong ayat yang sering berlegar di zaman bujangku:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)
[At-Taubah:24]

Hanya cebisan dari ayat itu Allah hadirkan padaku dan aku hampir tewas.


Libatkan diri dengan aktivisma

Maaf sayang!

Seolah disebut ke terowong masa, teringat kembali apa yang ditutur olehku kepada si dia, isteriku tika awal detik penyatuan di antara kami.

"Awak, maafkan saya"

"Awak, kenapa ni?", wajahnya resah.

"Maaf sayang, awak bukan yang pertama.."

"Awak! Apa ni. Bukan apa?", dia semakin tidak keruan.

"Maaf sayang, awak bukan yang pertama. Kerana saya telah berkahwin dahulu dengan dakwah ini", bunyinya skema, seperti ayat yang sering diucap dalam novel cintan-cintun yang kononnya islami.

Aku senyum. Bergurau dalam nada, tetapi bukan isinya.


Hak

Kesibukan demi kesibukan, apakah itu alasan untuk terus mengelat dengan menuding jari kepada kesibukan?

"Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia"
[Petikan khutbah terakhir Rasulullah SAW] 

"Wahai Abdullah, benarkah apa yang aku dengar bahawa engkau selalu berpuasa di siang hari dan mengerjakan solat malam?" Aku menjawab: "Benar, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Jangan engkau lakukan! Berpuasa dan berbukalah, bangun dan tidurlah, kerana tubuh mempunyai hak atasmu, kedua matamu mempunyai hak atasmu, isterimu mempunyai hak atasmu, dan tamumu mempunyai hak atasmu..."
[HR. Al-Bukhari (no. 1975)]


Setiap sesuatu itu mempunyai hak yang perlu ditunaikan. Begitu juga dengan hak seorang isteri. Mungkin bukan hanya pada kuantiti masa bersama sahaja yang perlu dititikberatkan, tetapi yang lebih utama itu adalah pada kualiti masa bersama.

Alangkah ruginya andai masa lapang yang ada dan terhad ketika bersama itu digunakan untuk membuat urusan sendirian dan berhubung dengan mereka yang jauh semata!


Kontradik


Andai kita punyai sungguh banyak sekali masa bersama, mungkinkah bisa kita yang tersalah dalam menunaikan hak?

Kita cemas andai kita tidak punyai masa di rumah untuk duduk diatas sofa empuk, berbaring di atas tilam tebal juga kurang bersama bersama isteri.

Tetapi!

Bisakah kita tanya pada diri, dimana pula hak pada dakwah dan tarbiyah itu? 

Kemana pengorbanan masa, keringat dan harta kita?

“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia Ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit” 
[At-Taubah: 38]
Adakah dengan beralasankan memenuhi tuntutan hak, maka kita merasa berat?



Kata mutiara dari murabbi suatu ketika dahulu:

"Jika kita tidak menyibukkan diri dengan perkara kebaikan, maka kita akan disibukkan dengan perkara kemaksiatan"

Sebaliknya, rancang dan susun aturlah kehidupan kita agar hari ini lebih dari hari semalam dan hari mendatang lebih baik dari hari terkemudian.

Bulatkan dzatiyyah, kerana itu sumber tenagamu.

Tsabat


Tsabat? Berusaha bersungguh dan berdoalah kerana pengakhiran itu, ketentuan dan milik Allah. 

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah swt. maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah janjinya” 
[Al Ahzab : 23]

Semoga kita tsabat.


No comments:

Post a Comment