Sejak perkhidmatan internet diperkenalkan di Malaysia pada sekitar tahun 1991, sumber rujukan ataupun medium memperolehi maklumat tidak lagi hanya bergantung kepada media-media cetak seperti akhbar dan buku-buku.
Dari semasa ke semasa, semakin banyak bahan-bahan yang diterbitkan di dalam bentuk media elektronik di mana pengguna boleh mendapatkannya secara atas talian tanpa perlu meluangkan masa untuk mencarinya di kedai-kedai buku.
Internet, banyak manfaat atau keburukan? |
Sebut sahaja apa perkara yang kita mahu ketahui atau judul buku apa yang mahu kita cari, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Hampir semua maklumat mampu diketahui dan diperolehi dalam tempoh yang singkat dengan hanya beberapa klik jari di papan kekunci.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sekitar 67 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia mempunya akses kepada kemudahan internet. Lebih daripada 70 peratus pengguna merupakan mereka yang berada di dalam lingkungan umur 15 tahun sehingga 34 tahun.
Laporan itu juga menyebut bahawa rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari Internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan suratkhabar dengan penggunaan Internet yang meluas untuk rangkaian sosial.
“Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial. 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari Internet untuk mengakses Facebook.
Adakah anda ketagihan 'Facebook'? |
Daripada statistik-statistik yang dinyatakan di atas, kita dapat melihat gambaran secara kasar akan apa yang sering dilakukan oleh pengguna ketika melayari internet.
Pendedahan yang dibuat ini merupakan suatu perkara yang wajar diambil berat dan dibimbangi bersama. Khususnya bagi para remaja, hampir semua remaja kini telah pun mempunyai telefon pintar yang memudahkan lagi mereka untuk mengakses internet dimana sahaja mereka berada.
Para remaja perlulah lebih bijak di dalam membahagikan masa mereka ketika melayari internet. Disamping meluangkan masa untuk membuka laman-laman serta aplikasi-aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whatsapp dan Telegram, para remaja perlulah mengambil manfaat yang boleh mereka perolehi melalui kemudahan internet.
Antaranya termasuklah perkembangan isu-isu semasa, ilmu-ilmu berkaitan matapelajaran yang mereka ambil, aktiviti-aktiviti bermanfaat yang boleh disertai, rakaman ceramah dan pengajian serta banyak lagi.
Berapa lama anda melayari internet dalam sehari? |
Tambahan pula selaku seorang yang bergelar remaja muslim, kemudahan internet boleh dimanfaatkan untuk menambah dan memantapkan lagi asas-asas ilmu agama disamping mengasah skil-skil yang ada untuk membantu mereka untuk membina jatidiri muslim yang hebat.
Seorang remaja muslim yang hebat bukan hanya seorang yang mampu mendapatkan keputusan yang baik di dalam peperiksaan, malah turut mempunyai peribadi sertai sahsiah yang unggul, cergas badan dan cerdas mindanya, mampu memberikan pandangan yang matang serta idea yang bernas serta cakna akan apa yang berlaku disekeliling mereka.
Pilihan di tangan anda. Anda yang menentukan bagaimana masa anda diisi dan dimanfaatkan.
Remaja masa kini adalah pemimpin pada masa hadapan. Maka posisikanlah diri anda sebaiknya untuk masa hadapan anda!
No comments:
Post a Comment