Mari ikut blog ini

Saturday 30 April 2011

Mempelajari sirah, mencontohi yang terbaik.

" Abang Ayit, kenapa kita masih buat sesuatu benda tu sedangkan semuanya dah tertulis di Lauh Mahfuz?", adik aku mengemukakan persoalan.

Aku tersenyum. "Agak-agak kenapa?", aku cuba membuatkan dia berfikir lebih jauh.

Dia terdiam. Lama juga. Wajahnya runsing. Dia kembali melihat kepadaku. "Alaa tak tau la"

Aku tersenyum kembali. "OK macam ni la, memang telah tertulis di Lauh Mahfuz akan segala-galanya yang akan berlaku sejak sebelum kita lahir lagi. Tapi, ingat ini satu perkara. Kita tak tahu apa yang tertulis di Lauh Mahfuz. Kita cuma tahu telah tertulis apa yang akan kita lakukan, apa yang akan berlaku namun pengetahuan itu adalah beyond our knowledge". Aku menerangkan. Aku bukanlah seorang alim yakni seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Namun aku berusaha menerangkan sebaik mungkin pada tahap pengetahuan aku.

"Oooo, betul jugak tuh. Bukannya kita dah tau apa yang tertulis disitu" katanya sambil mengangguk tanda faham.

"Tapi, ada sesetengah pihak yang menyalah faham akan perkara ini. Sebagai contoh, mereka mencuri dan apabila ditangkap dan ditanya mengapa mereka mencuri. Mereka berkata: Jangan salahkan aku kerana mencuri kerana aku telah ditakdirkan untuk mencuri", aku menambah dengan contoh supaya mudah dihadam olehnya.



Masa cuti aku ketika musim panas pada awal tahun 2011 aku cuba manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Sekiranya ada kelapangan dan waktu yang sesuai, aku akan menceritakan kisah-kisah sahabat kepada adik-adik aku. Mempunyai seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan, aku lebih banyak meluangkan masa bersama adik lelaki itu. Sudah menjadi fitrah, jantina sama, lebih banyak perkara yang kami dapat lakukan bersama. Sambil menunggu melelapkan mata, aku selalunya akan menyelitkan sedikit kisah-kisah yang aku boleh petik dari sirah-sirah terdahulu untuk dikongsikan bersamanya.

Cukup untuk memberikannya motivasi di kala jatuh, memberinya contoh ikutan dikala menemui kebuntuan. Tentu sekali Rasulullah SAW adalah Qudwah Hasanah, yakni contoh ikutan yang terbaik. Namun sekali-sekala aku bercerita mengenai para sahabat kerana mungkin banyak yang pernah didengarinya mengenai nabi kita, tapi kurang mengenai para sahabat. Talhah bin Ubaidah, Saad bin Abi Waqqas, Usman bin Affan, Abu Bakar As-Siddiq dan ramai lagi.

Aku juga cuba menghidupkan kembali tradisi membaca Al-Quran di rumahku. Kebiasaannya selepas solat Maghrib di masjid, aku akan memperdengar bacaan Quran adik-adik, memperbetul mana yang salah, menambah mana yang kurang, menunjuk mana yang perlu ke tahap yang aku mampu dan aku ketahui. Aku juga masih lagi belajar, namun apa yang telah aku pelajari itupun sudah mampu membawa manfaat kepada yang lain.

Hanya gambar hiasan. dan aku tidak memakai serban

Mempunyai minat yang sama iaitu bermain bola, aku sering membawanya bersamaku untuk bermain futsal bersama rakan-rakan. Kebanyakannya berkisar sekitar Bandar Baru Bangi, tempat tinggal aku sejak kecil. 3 kali seminggu adalah angka biasa akan kekerapan aku bermain futsal di Malaysia. Ada sahaja jemputan akan cuba aku penuhi. Sehinggakan ada pada satu-satu masa 5 orang mengajak aku untuk bermain bersama mereka. Hanya satu dapat aku penuhi kerana aku hanya berbadan satu, tidak dua dan tidak tiga.

Ketika Rasulullah dilantik menjadi Rasul, beliau mula menyebarkan Islam ke orang-orang yang paling rapat dengan mereka. Siapa?
Isteri beliau Khadijah.
Sepupu beliau Ali.
Anak angkat beliau  Zaid.
Sahabat baik beliau Abu Bakar.

Cuba bayangkan sekiranya orang pertama yang Rasulullah cuba sebarkan Islam adalah Raja Rom misalannya, sudah pasti samada beliau akan ditolak bulat-bulat atau lebih teruk lagi dihukum bunuh.

Begitu juga dengan kita, the best next step selepas diri kita adalah keluarga kita.

Namun, hakikat dunia pada sekarang ini, keluargalah yang paling susah untuk kita dekati untuk menyebarkan risalah ini. Itu pendapat sesetengah orang. Mungkin cara mereka kurang tepat atau mereka kurang sabar.

Perkara inilah yang aku cuba amalkan ketika aku pulang bercuti di Malaysia. Bukan kita hanya membabi-buta merempuh benteng-benteng, pintu-pintu besi, menerkam ke mangsa tanpa berfikir atau merancang. Apa yang Rasulullah buat? Tunjukkan qudwah yang baik. Rapati mereka. Perolehi siqah/kepercayaan dari mereka. Kamu kira senang untuk seorang yang asing untuk memperoleh kepercayaan seseorang? Tentu sekali tidak. Perkara ini memakan masa.



Tugas kita adalah 'buat'. Hasilnya bukan tugas kita. Kita ada projek besar, yang jauh lebih penting berbanding berbalah siapa yang lebih betul. Akhirnya, kerja tak jalan, projek tergendala, agenda tak tercapai. Ustaziatul alam? Entah ke mana.

Dan aku bukanlah orang yang terbaik, namun aku cuba. Berbanding mereka yang hanya mampu berkata tapi praktikaliti? kosong.
Hidup adalah proses pembelajaran dan kita adalah pelajar.

Wassalam

No comments:

Post a Comment