Mari ikut blog ini

Friday 15 April 2011

Pemimpin. Aku ataupun engkau?

Salam,

sesi persekolahan bagi semester satu hampir mengakhiri fasa pertama. Hari ini hari terakhir persekolahan sebelum cuti semester bermula. Sibuk dengan 'assignments', sibuk dengan 'lectures', sibuk dengan aktiviti itu dan ini. Segalanya mula bercampur-baur. Urusan mula menjadi serabut. Yang malas dan lambat serta tidak terurus urusan akan ketinggalan ditelan arus yang laju dan kuat ini. Semakin dekat dengan cuti semester, semakin sibuk. Jika dulu boleh beriadah pada tiap-tiap petang, namun kini paling banyak hanya 3-4 kali seminggu. Itu pon jika ada yang bermain. Kekangan masa menjadi faktor utama.



Banyak perkara yang aku pelajari dahulu di sekolah dapat di zahirkan kedalam kehidupanku sehari-hari di Australia ini. Sedang aku mengayuh basikal, pulang ke rumah bersama rakan sekelasku. Aku terfikir, mengapa hidup ini memerlukan pemimpin? Mengapa ada yang didepan dan ada yang dibelakang? Apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk seorang pemimpin?

Mungkin teori aku ini hanya terbukti untuk sesetengah orang, dan tidak untuk sesetengah yang lain. Namun aku terpanggil disini untuk berkongsikan apa yang terbuku di benak fikiran aku.



Mengapa kita memerlukan pemimpin?

Sekiranya aku mengayuh basikal, tidak kira menuju ke universiti mahupun pulang ke rumah, aku akan memaksa diriku untuk mengayuh selaju mungkin dan secara tidak langsung ini akan mendatangkan kesan yang negatif kepada diri ketika mana telah sampai ke destinasi kelak. Tujuan akhir memang jelas ; untuk tiba di rumah. Namun bagaimana patut aku merancang perjalanan aku? Adakah patut aku membabi buta mengayuh, menggunakan seluruh tenaga dari permulaan? Jika itu apa yang diamalkan, nescaya apabila tiba satu tahap maka perasaan putus asa dan bosan akan mula menghadirkan diri. Kita akan cepat merasa letih, lebih-lebih lagi sekiranya kita tidak tahu limitasi kemampuan kita. Orang seperti ini kurang ciri-ciri untuk menjadi pemimpin.

Namun sekiranya aku pulang ke rumah berdua, ataupun berteman, aku akan membiarkan temanku untuk mengetuai perjalanan pulang. Sebabnya, aku akan mengikuti rentak dia, dan tidak memaksa diri ke tahap yang memenatkan diri. Disini letaknya kepentingan memilih ketua yang sesuai. Pilih yang hebat, cemerlang, tetapi tidak mampu memimpin, habislah mereka yang mengikuti. Ya, mungkin pemimpin yang dipilih itu kuat tenaganya, pantas kayuhannya, namun jika dia hanya 'syok sendiri' dengan kayuhannya tanpa mengambil kira mereka yang berada di belakang, dia seolah-olah 'bermain' sendirian di atas padang.

Berbeza pula dengan pemimpin yang 'slow and steady'. Kayuhannya perlahan, juga 'syok sendiri'. Kita yang mengikuti di belakang akan merasa seperti tidak bergerak.

Disinilah pentingnya kita melihat peranan ketua, dan pengikut. Jika ketua terlalu laju, maka pengikut perlu menegur untuk memperlahankan rentak, bukan terlalu perlahan sehingga melambatkan seluruh organisasi, tapi cukup untuk mereka yang dibelakang untuk mampu mencapai 'benchmark'. Jikalau ketua yang mengetuai itu terlalu perlahan, disini perlunya mereka yang dibelakang untuk 'push' ketua ini, supaya mereka meningkatkan rentak, melajukan kayuhan supaya meningkatkan momentum organisasi. Dan jika cukup lajunya dan iramanya senada, maka perjalananya juga akan menjadi lancar.

Bagaimana ciri-ciri pemimpin?

Seorang pemimpin itu mestilah berpandangan jauh, dan mempunyai perancangan yang jelas dan bijak merangka haluan dan strategi dalam mencapai objektif, sasaran dan destinasinya. Mengapa? Cuba kita bayangkan sekiranya seorang yang tidak mempunyai ciri-ciri tersebut memimpin, beberapa kayuhan pertama, mungkin masih bersemangat. Namun selang beberapa kayuhan, dirasakan begitu jauh perjalanan, meletihkan, sedangkan destinasi masih jauh dari jangkauan. Maka mereka akan menjadi kurang bermotivasi untuk meneruskan perjalanan, dan secara tidak langsung mempengaruhi perjalanan seluruhnya. Namun jika mereka ini diletakkan sebagai pengikut, dan orang yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas diletakkan di hadapan, maka seluruh perjalanan akan bertambah momentumnya, meningkat kayuhannya.

Mengapa?

Cuba bayangkan, sekiranya kita yang tidak berpandangan jauh ini berada di belakang, kita tidak melihat destinasi akhir iaitu rumah sebagai sasaran, tetapi kita melihat kepada orang yang berada di hadapan. Dengan begitu, kita akan merasakan bahawa kita tidak jauh dari 'benchmark' dan juga berasa kita mampu untuk istiqamah bersama pemimpin kita dan akhirya tiba di destinasi akhir sekiranya kita terus menerus mengikutinya. Bukannya kita tidak tahu destinasi akhir kita, cuma ini secara tidak langsung adalah kesan dari pemikiran kita yang kurang melihat kehadapan, namun dengan meletakkan seseorang yang lain di hadapan untuk kita kejar, kita juga mampu.

Orang yang dihadapan berlainan, kerana mereka mempunyai motivasi yang tinggi, tahu perancangannya seperti bila kita perlu memecut laju, bila kita perlu berehat, dan dimana masaya kita perlu memperlahankan kayuhan. Bukan hanya memecut laju dan akhirnya memenatkan diri sendiri, dan mungkin menyebabkan kita berputus asa.

Hidup berorganisasi dalam mencapai matlamat yang lebih besar


Memang boleh untuk kita mengayuh secara bersendiri, pergi kesana sini. Tapi, sekiranya kita merancang untuk pergi ke satu destinasi yang amat jauh jaraknya, panjang sekali perjalanannya. Adakah kita yakin kita mampu untuk terus menerus mengayuh untuk menuju ke destinasi? berhenti berehat sebentar tidak mengapa, bukannya berhenti terus dan mengalah. Jika dilihat jauhnya destinasi, maka kita akan mula berputus asa, berasa letih, motivasi diri menjadi rendah, dan akhirnya mungkin kita akan futur pada jalan itu.

Di situ pentingnya bergerak secara berkumpulan, dalam jamaah, berorganisasi. Akan tiba masanya apabila kita akan merasa penat, namun apabila melihat rakan-rakan yang bersama kita, semangat itu akan kembali bertambah. Biah yang membina akan mampu membina kita. Jikalau kita melihat kawan kita mula memperlahankan kayuhan atau kelihatan mula kehilangan motivasi diri, mungkin kita yang bergerak bersama mereka boleh memberikan mereka 'push', semangat, ataupun mungkin kita boleh berehat sebentar untuk mengambil nafas, membina keringat. Perancangan itu penting, ketahui limitasi diri. Ramai yang terkandas kerana mereka bersemangat pada permulaannya namun kerana tidak melihat kepada limitasi diri mereka, maka akhirnya mereka berasa letih, dan tidak 'seronok' untuk meneruskan perjalanan itu.

Mereka yang bersama perlulah prihatin, bukan hanya melihat pada diri sendiri, pada basikal yang dikayuh. Perhatikan juga mereka yang berada disisi. Cuba bayangkan sedang kita bersemangat mengayuh bersama, tiba-tiba salah seorang dari kita tayarnya terkena duri dan menyebabkan tiub basikalnya bocor, kemungkinan besar dia tidak dapat meneruskan perjalanan. Maka disini, amat pentinglah peranan kita yang bergerak bersama ini untuk memberikan sokongan. Mengkaji punca, dan kemudian menggantikan tiub yang baru ataupun menampal kesan bocor itu, supaya dia juga mampu untuk meneruskan perjalanan. Bukan hanya melihat dia terkandas keseorangan, terkapai-kapai lemah memohon pertolongan, dan akhirnya dia yang dahulunya penuh bersemangat akan turut berhenti, bukan hanya sebentar, mungkin untuk selamanya. Salah siapa? Bukan kehendaknya untuk terkena duri, peranan kita untuk membantu. Apa gunanya bersama sekiranya masing-masing bersendiri?

Wallahualam

Sekadar perkongsian pendapat dan ilmu berdasarkan pemerhatian.

AF

No comments:

Post a Comment