Mari ikut blog ini

Tuesday 12 April 2011

Dimanakah kita? Mampukah kita?

Salam,

Banyak perkara yang sedang ligat bermain di minda sekarang. Banyak perkara yang sedang meronta-ronta, ingin di kongsikan dengan yang lain. Mungkin semuanya kita mampu untuk kita kongsikan tapi adakah semuanya perlu dikongsikan?  Dua perkara berbeza. "Mampu" dan "perlu". Ada sesetengah perkara memang kita mampu lakukan tapi mungkin tidak perlu untuk dikongsikan, cukup sekadar hanya kita mengetahuinya.

**********************************************************
'Tidak' dan 'tahu' adalah dua perkataan
'Tahu' dan 'faham' dua perkataan berbeza
'faham' dan 'amal' dua lagi perkataan berbeza
 
'amal' dan 'istiqamah' dua lagi lagi perkataan berbeza


 Mengapa kita perlu 'tahu' ?

Dalam mengerjakan suatu amal itu mengetahui akan sebab kita melakukannya adalah penting. Juga, mengetahui cara-cara bagaimana, dan apakah yang perlu kita buat sekiranya sesuatu berlaku tanpa kita sangkakan.

Mengambil contoh berpuasa, sunat mahupun wajib. Mudah. Semua orang (inshaAllah) tahu apa itu puasa, dan bagaimana itu puasa. Tidak makan dan minum serta menahan diri dari perkara yang boleh membatalkannya dari terbit hingga terbenam matahari. Lagi sekali, mudah. Namun, adakah semua yang "tahu" tadi tahu apakah perkara yang boleh membatalkan puasa? Hari-hari yang diharamkan puasa? hari yang disunatkan? Sebab apa gugur kewajiban berpuasa ke atas seseorang? Dan banyak lagi perkara yang boleh ditanya mengenai puasa. Itu baru saja melihat kepada berpuasa, bagaimana dengan solat, berjemaah ke tidak?. Bersukan, menutup aurat ke tidak? Berkomunikasi, berhikmah atau tidak?

Bagaimana membezakan antara orang yang sudah 'tahu' dan yang 'tidak'?

Kedua-dua golongan ini boleh untuk menjawab pertanyaan mengenai sesuatu perkara itu, tetapi orang yang 'tahu' akan lebih mampu untuk menjawab pertanyaan mengenainya. Mereka mampu menjawab dengan yakin, sehingga orang yang bertanya itu sendiri menjadi 'tahu'. Berbeza dengan mereka yang 'tidak', mereka sendiri akan rasa kurang yakin dengan apa mereka sampaikan, dan akhirnya mereka akan sama-sama keliru mengenai sesuatu perkara itu.

Antara 'tahu' dan 'faham'

Selepas kita mempunyai ilmu mengenai sesuatu itu, adalah perlu untuk kita memahaminya. Misalannya aurat lelaki. Lutut hingga ke pusat. Ya, kita 'tahu'. Tapi adakah kita 'faham'?

"Err apa bezanya?"

Lebih ramai mereka yang 'tahu' berbanding yang 'tidak'. Tetapi 'tahu' mereka itu hanya sekadar 'tahu' dan tidak mampu untuk menjadikan mereka 'faham' dan yang kemudiannya untuk ber'amal' dengannya. Bagaimana itu? Adakah anda berasa lebih keliru? Saya gemar untuk memberikan contoh ataupun analogi kerana bagi saya contoh/analogi memudahkan penjelasan.

Kita ambil contoh mengenai aurat lelaki tadi. Bagaimana kita tahu aurat lelaki itu begitu dan begini? Kerana kita mempelajarinya di sekolah. Tapi adakah kita sekadar mahu 'tahu' dan tidak mahu 'faham'? Kita sekadar mahu 'tahu' kerana dirasakan 'tahu' itu sudah cukup untuk menjawab soalan peperiksaan di sekolah. Kita tidak mahu 'faham' kerana kita merasakan susah, kerana sekiranya kita 'faham' maka kita akan perlu ber'amal' dengan apa yang kita faham. Hidup bukan hanya mengenai segulung ijazah ataupun sebanyak mana A yang kita dapat dalam peperiksaan.

Teringat kepada kata-kata seorang ustaz, dia berbicara mengenai hukum-hukum bacaan di dalam Al-Quran. Apabila ditanya kepada seorang budak apakah hukum ayat-ayat tertentu, hebat sekali dijawabnya. Nama hukum bacaan itu, panjang harakatnya, dan lain-lain. Namun apabila disuruhnya budak itu membacanya, sepatutnya dibaca 4 harakat di bacanya 2 harakat. Ditanya kembali apakah panjang harakat yang perlu dibacanya, "empat ustaz" jawabnya. Tapi disuruh sekali lagi untuk budak itu membacanya, maka diulang lagi perbuatannya membaca sepanjang 2 harakat.

Begitulah perbandingannya antara 'tahu' dan 'faham'. 'Faham' akan membawa kita secara automatik ke arah 'amal', namun sekadar terhenti di 'tahu' tidak berguna.

Maka sesudah kita 'faham' akan hakikat suatu perkara itu dan kita ber'amal' dengannya, hendaklah kita 'istiqamah' dengannya.



Diceritakan di dalam sirah mengenai istiqamah ini.

Pada suatu ketika Nabi SAW sedang duduk. Umar bin Khaththab r.a. datang dan melihat rambut Nabi SAW. Kisah ini terjadi pada masa-masa terakhir kehidupan Nabi SAW dan Umar melihat banyak rambut uban di kepada Nabi SAW.

“Ya Rasulullah, Kamu telah beruban.” Kata Umar bermaksud mencandai beliau.
“Benar kamu, hai Umar. Surat Hud telah mampu membuatku beruban.”
“Mengapa begitu, ya Rasulullah?”
“Ya Umar, dalam surat tersebut ada sebuah ayat yang membuatku beruban.”
“Ayat yang manakah itu, ya Rasulullah?”
“Iaitu firman Allah Swt., ‘Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.’” (Surah Hud ayat 112).


Ada lagi sebuah kisah yang agak seringkali kita dengari.

Ada seorang lelaki yang mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata, “Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu ajaran dalam Islam yang tidak akan aku tanyakan lagi kepada siapa pun setelah kamu ini.” Beliau bersabda, “Katakan aku beriman kepada Allah kemudian istiqamahlah!” (HR. Imam Ahmad dalam Kitab Musnadnya dari Abdullah bin Sufyan, dari ayahnya)

Jika Nabi SAW itu sendiri, dengan kehebatan, ciri-ciri yang ada padanya sendiri sehinggakan beruban dibuatnya apabila memikirkan mengenai 'istiqamah' ini, kita pula bagaimana? Mungkinkah patut kita beruban satu kepala sehingga tiada lagi rambut hitam pada kita? Berat, berat sekali perkataan 'istiqamah' ini.

Memang kita boleh untuk bangun untuk berqiyam. Sekali, ok. dua kali, liat. tiga kali? Anda fikirkanlah. Mampukah kita? 

 Allah lebih menyukai suatu amalan yang kecil tapi dilakukan secara istiqamah, berbanding suatu amalan yang besar namun tidak dilakukan secara istiqamah. 

Juga untuk beristiqamah dalah sesuatu, perlulah melihat kepada kemampuan diri kita sendiri. Jangan fikir untuk untuk memenangi perlumbaan dengan kereta sekiranya kita berbasikal. Rencanakannya, dan tujui kearahnya, biar pun secara perlahan. Jika kita hendak bermarathon sejauh 10 kilometer, adakah kita akan berlari selaju-lajunya seawal 100 meter yang pertama? Buat begitu dan kemungkinan besar anda akan terduduk kaku, terlelah keletihan.

Wallahualam

Peringatan untuk diri ini dan anda. 

AF

Aku juga insan lemah 

 

No comments:

Post a Comment