Mari ikut blog ini

Saturday 26 January 2013

Kisah Jumaat

Salam,

Hari Jumaat selalu disebut sebagai penghulu kepada hari-hari yang lain. Selain itu, hari Jumaat juga dikenali sebagai 'hari raya' bagi setiap minggu.

Dalam hari Jumaat, ada beberapa adab-adab dan sunnah-sunnah yang diajarkan kepada kita sebagai orang Islam yang boleh kita patuhi dan ikuti.

Siang tadi, aku menunaikan solat Jumaat di di Masjid Ar-Rahimah, Gombak. Ketika itu, aku sedang dalam perjalanan ke UniKL-BMI untuk program yang dikenali sebagai Mini Semai Mesra (MSM) dan bertugas sebagai fasilitator.

Akibat sedikit masalah teknikal, jadi aku dan seorang sahabat bertolak sedikit lewat dari yang perancangan dan terpaksa berhenti di masjid tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Sampai sahaja di perkarangan masjid, kedengaran azan (kedua) sedang dilaungkan. Aku masuk ke ruangan solat luar surau. Kelihatan banyak ruangan-ruangan kosong di antara jemaah di hadapan, juga di belakang. Teringat aku pada kuliah maghrib tidak berapa lama yang lepas yang mensyarahkan sebuah hadis berkenaan kisah tegahan Nabi Muhammad SAW kepada mereka yang melangkah dan melintas di hadapan orang ketika Nabi sedang berkutbah.

Bahawa seorang lelaki masuk masjid pada hari Jumaat, sementara Rasulullah saw sedang berkhutbah, lalu orang tersebut melangkahi orang banyak; Maka Rasulullah saw bersabda, “Duduklah! Kamu telah menyakiti (orang yang dilangkahi) dan datang terlambat.” [Sahih Ibnu Majah]

Aku berhenti, tidak mahu hilang pahala Jumaat, aku sekadar berdiri di tempat di mana aku tidak perlu melangkah dan melintas di hadapan orang, menunggu sehingga azan (kedua) habis dan menunaikan solat tahiyatul masjid. Kelihatan ramai yang sampai lewat (lagi lewat dari aku!) dan melangkah-langkah untuk bergerak ke saf-saf dihadapan. Ada masa, terkejut juga aku apabila dicuit bahuku. Rupa-rupanya ada orang yang ingin bergerak ke hadapan melalui sebelah aku.

Nampak sopan, meminta izin, namun betulkah tindakan kita itu?

”Datang seorang lelaki(memasuki masjid) sedangkan ketika itu Nabi sedang menyampaikan khutbah kepada jemaah pada hari Jumaat,lalu Nabi bertanya kepada lelaki tersebut: ” Apakah kamu sudah solat wahai fulan?” Jawab beliau: ” Belum.” Sabda Nabi: ” Bangunlah dan solatlah dua rakaat”. [Sahih Bukhari]

Pada hari Jumaat, kita di sarankan untuk datang awal ke masjid/surau disamping memakai wangian, mandi serta mengenakan pakaian yang terbaik. Ketika kuliah maghrib minggu lepas, ustaz menegur kepada para jemaah berkenaan berapa ramai yang datang untuk menunaikan solat Jumaat dengan memakai baju kerja, datang lambat sehinggakan imam telahpun naik ke atas mimbar serta melangkah dan mengganggu jemaah lain dengan pergerakan mereka mencari ruangan kosong di antara jemaah.


“Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah.”
[Sahih Ibnu Majah]


No tidur-tidur ye. Nanti kena marah.


Seorang pakcik bertanyakan, bagaimana kita hendak mengelakkan daripada kehilangan pahal Jumaat kita? Bagaimana jika kita melihat ada ruangan kosong di saf hadapan dan kita hendak ke situ?

"Orang Melayu kita mempunyai perangai yang aneh. Mereka yang hadir awal gemar untuk duduk di saf belakang dan mereka yang hadir lambat gemar untuk berada di saf hadapan. Pelik bukan?", ustaz menjawab.

Sambungnya lagi, "Jawapannya mudah sahaja. Mereka yang hadir ke surau/masjid awal, penuhilah saf-saf di hadapan terlebih dahulu. Usahakan untuk hadir seawal boleh. Maka dengan itu, kita tidak perlu melangkah jemaah lain dan mengganggu mereka yang sedang mendengar khutbah. Selain itu, kita juga mendapat ganjaran yang besar daripada Allah (rujuk hadis di atas)"

Selesai tahiyatul masjid, aku memberikan tumpuan pada khutbah yang dibacakan oleh tuan Imam. Topiknya adalah berkenaan kecintaan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sempena maulid nabi. 

Dihadapan aku, kelihatan seorang pakcik yang baru sahaja selesai menunaikan solat tahiyatul masjid. Dia menyapa lelaki disebelahnya dan menghulurkan salam. Kemudian, dia mencapai keratan iklan yang terletak berhampiran dan membacanya.

Disebelah aku pula, terdapat dua orang yang aku kira dalam peringkat remaja. Mereka galak berborak. Cuit mencuit. Kadangkala bergelak ketawa. Rancak mereka berborak. Sungguh terganggu fokusku pada khutbah!

Jika ikutkan hati, ingin sahaja aku menegur mereka ketika itu. Namun teringat akan sebuah hadis yang pernah dibacakan oleh ustazku dahulu berkenaan larangan menegur orang yang bercakap ketika khutbah sedang dibacakan.


“Apabila kamu berkata kepada teman mu, ‘Diamlah di hari Jumaat, imam sedang berkhutbah!’, maka kamu telah berbuat sia-sia.”
[Sahih Ibnu Majah]
Jika menegur pon sudah dikategorikan 'berbuat sia-sia', bagaimana pula mereka yang berbual ketika khutbah sedang dibacakan? Naudzubillahminzalik. Apatah lagi mereka yang berbuat sesuatu dan mengganggu jemaah lain daripada fokus pada khutbah yang sedang dibacakan.

Sehinggakan ada pendapat yang melarang walau menolak kotak derma ketika khutbah sedang dibacakan kerana perbuatan itu mengalihkan tumpuan daripada mendengar khutbah, walaupun hanya sebentar. Bayangkan! Mungkin pendapat ini sedikit keras dan ada ulama lain yang berpendapat lain, namun betapa seriusnya kesilapan kita yang mengganggu jemaah lain ketika imam sedang berkhutbah.

Selesai imam berkhutbah dan sedang menuruni mimbar, aku mencuit dua orang remaja disebelah aku dan berkata, "Jangan bercakap masa sedang khutbah. Fokus!"

Teringat ketika aku masih di zaman persekolahan, pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah. Rakan-rakan aku ligat berborak. Aku duduk berhampiran mereka. Selesai sahaja imam berkhutbah dan jemaah sedang bangun untuk menunaikan solat, seorang pakcik yang berada di hadapan kami menoleh kebelakang dan berkata, "Jangan bercakap semasa sedang mendengar khutbah. Rugi pahala Jumaat"

Semoga bermanfaat!

Wassalam,






No comments:

Post a Comment