Mari ikut blog ini

Tuesday 19 February 2013

Pandai berkatanya seorang pemimpin

Salam,

Apabila seseorang itu pandai dalam berkata-kata dan menyampaikan hasratnya kepada seseorang atau sekumpulan manusia yang lain, dia pasti mampu membuatkan mereka yang mendengar untuk bersetuju dan mengikutinya.

Kelebihan dalam berkata-kata ini tidak dimiliki dalam diri semua orang. Mereka yang hebat dalam berkata-kata ini seringkali dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat.

 Namun, bukan semua yang pandai berkata-kata itu mempunyai apa yang diperlukan apabila melibatkan perkara-perkara yang khusus seperti ilmu agama. Kadangkala, mereka yang diakui kehebatannya dan kefasihannya dalam berkata-kata itu tidak mampu menyampaikan hasrat dan memegang tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Dikisahkan di dalam Al Quran kisah mengenai Nabi Musa A.S. dan Firaun. Kisah mengenai Nabi Musa ini ditulis di dalam banyak surah di dalam Al-Quran, antaranya di dalam Surah Maryam, Surah Yunus, Surah Al-Qasas dan lain-lain.

Ketika Nabi Musa diperintahkan oleh Allah untuk pergi berhadapan dengan Firaun untuk menyampaikan seruan dakwah kepadanya, Nabi Musa memohon supaya ditemani oleh Nabi Harun.

“Dan saudaraku Harun lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai penyokong untuk membenarkan aku; sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.” (Al-Qasas: 34)

Nabi Harun dikisahkan sebagai seorang yang lebih fasih dan pandai berkata-kata berbanding Nabi Musa.

Namun, apabila berhadapan dengan Firaun, dikisahkan hanya dialog diantara Nabi Musa, Firaun dan ahli-ahli sihir Firaun sahaja. Kelebihan Nabi Musa bukanlah pada lidahnya, namun beliau tetap menjalankan perintah Allah yakni menyampaikan dakwah kepada Firaun.

 Dinukilkan di dalam Surah Toha, dialog diantara Nabi Musa dan Firaun:


 47," Maka datanglah kamu berdua kepadanya (Fir'aun) dan katakanlah: Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israil bersama kami dan janganlah kamu menyiksa mereka . Sesungguhnya kami telah datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) dari Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk''

48. Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahwa siksa itu (ditimpakan) atas orang-orang yang mendustakan  dan berpaling .

49. Berkata Fir'aun: "Maka siapakah Tuhanmu berdua, hai Musa?

50. Musa berkata: "Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk

51. Berkata Fir'aun: "Maka bagaimanakah keadaan umat-umat yang dahulu?"

52. Musa menjawab: "Pengetahuan tentang itu ada di sisi Tuhanku, di dalam sebuah kitab Tuhan kami tidak akan salah dan tidak (pula) lupa.

Sebuah lagi kisah yang boleh diambil adalah ketika mana Nabi Musa meninggalkan kaumnya untuk ke Thur Sina selama 40 hari dan Nabi harun ditinggalkan sebagai wakil kepadanya untuk menjaga kaumnya.


Pemimpin?

Selepas 40 hari, Nabi Musa kembali kepada kaumnya dan terkejut apabila mendapati sebahagian daripada kaumnya telahpun menyembah patung lembu buatan seorang lelaki bernama Samiri.


Dan tatkala Musa telah kembali kepada kaumnya dengan marah dan sedih hati berkatalah dia: "Alangkah buruknya perbuatan yang kamu kerjakan sesudah kepergianku! Apakah kamu hendak mendahului janji Tuhanmu? Dan Musapun melemparkan luh-luh (Taurat) itu dan memegang (rambut) kepala saudaranya (Harun) sambil menariknya ke arahnya, Harun berkata: "Hai anak ibuku, sesungguhnya kaum ini telah menganggapku lemah dan hampir-hampir mereka membunuhku, sebab itu janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah kamu masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim" (Al A'raf:150)

Kisah yang diceritakan ini menggambarkan bahawa Nabi Harun, seorang Nabi yang lebih fasih berkata-kata daripada Nabi Musa tidak mampu untuk menahan kaumnya daripada menyembah patung lembu itu.

Disini menunjukkan bahawa kefasihan seseorang dalam berkata-kata tidak bermakna dia mampu menjadi seorang pemimpin yang lebih baik.

Tidak dinafikan bahawa antara kualiti yang patut ada pada setiap pemimpin adalah mampu berkata-kata dengan baik dan berkesan kepada masyarakat disekeliling. 

Namun yang menyedihkan, tidak semua tokoh-tokoh masyarakat kini yang hebat berkata-kata mempunyai kualiti dalam memastikan agama Islam dan umat Islam akan sentiasa terpelihara. Suasana yang dilihat pada masyarakat kini sudah berbeza. Sesiapa yang lebih hebat bercakap dicorong-corong mikrofon, lebih hebat berdebat di pentas-pentas debat, lebih lantang suaranya maka dialah juara, dialah pemimpin yang berwibawa, layak dan bersesuaian.

Hal peribadi, akhlak dan perwatakannya  diletaknya ketepi. Yang penting, kata-katanya berdesup. Itu sudah cukup.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita pada hari ini?



No comments:

Post a Comment